Tuesday, February 14, 2012

Sajak: Doa Tertangguh Sekeping Roh

Sajak ini telah muncul dalam Buletin Jendela Selatan Edisi Disember 2011 terbitan DBPWS


Doa Tertangguh Sekeping Roh  

Aku tidak tahu mengeja
Kerna tidak diajari alif ba ta
Aku tidak mampu berkata-kata
Kerna lidah belum dibasahi bahasa ibunda
Aku tidak pandai mengarang doa
Kerna tidak sempat ditunjukinya
Aku hanya terdaya menangis menagih simpati
Kerna belum sempat mengerti
Kenyataan yang teramat ngeri 

Namun kutitip jua doa kudus buat ibubapaku
Kerna DIA dan para malaikat pernah membisik ke cupingku
Lalu kupanjarkan syukur sesempurnanya
Meski pun mereka pernah tergamak mencabulnya
Moga ibubapaku sejahtera bahagia dan diampuni-Nya 

Kini kutunggu mereka di pintu syurga setaatnya
Untuk kucium harum tangan mereka
Memeluk mesra hangat jasad mereka
Kerna melalui mereka aku tercipta
Kuakan buat semampunya
Demi memohon sejagat raya taufik dan keampunan-Nya 

Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat
5 Mei 2010 

Sinopsis:
Belakangan ini kes-kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut telah menggoncang hati nurani segenap lapisan rakyat.  Perkara yang amat menyayat hati berlaku hasil daripada keserakahan dan keruntuhan akhlak anak-anak muda kita dewasa ini.  Kasihan bayi atau kanak-kanak yang tidak berdosa telah menjadi mangsa.  Mereka dibuang persis sampah di surau, perhentian bas awam dan dalam semak.  Yang malang dijerut sehingga mati sebelum disumbat ke dalam mangkuk tandas atau longkang; dan ada yang dibiarkan sendirian dihurungi semut dan lalat sehingga menemui ajal. 
Sajak ini cuba memberi suara kepada bayi-bayi yang malang ini.  Di alam barzakh ini, mereka tidak diajar mengeji,mengecam dan membenci ibubapa kandung mereka.  Akan tetapi mereka dengan penuh kasih-sayang sedaya upaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ibubapa mereka di dunia di samping memohon kepada Tuhan moga diampunkan dosa-dosa ibubapa dan mengharapkan agar Tuhan melorongkan mereka ke jalan taubat dan akhirnya menerima taubat mereka.  Bayi-bayi ini berjanji dengan penuh gembira untuk setia menanti ibubapa mereka di pintu syurga demi mencipta pertemuan yang abadi.

Wednesday, January 11, 2012

Kenapa menulis?

hijau yang mendamaikan jua mengilhamkan

Saya menulis kerana saya suka menulis. Topik yang ditulis santai dan pelbagai. Idea menulis datang pada saat-saat yang aneh dan kekadang idea itu langsung tidak tumbuh. Andai itu berlaku, saya lebih suka membaca atau memerhati alam untuk memungkinkan idea-idea baharu terilham untuk dizahirkan.

Kita tahu, SN A. Samad Said menulis kerna ingin merakamkan sedapat-dapatnya dan setepat-tepatnya zaman pedih yang dilaluinya. Zaman peperangan, pergolakan sosial dan politik amat menggugah perhatiannya. Pendokumentasian bernuansa kreatif dan imaginatif sebegini bakal menghibur dan menginsafkan selain beliau cuba mencari kejernihan daripada suasana yang keruh dan kelabu.

Manakala SN Arenawati pula berkelana jauh ke Malaysia dari Indonesia demi mencari sepicing ruang atau pojok untuk berkongsi wawasan dan harapannya setelah karyanya disisihkan di sana.  Mencari padang lain untuk meragut rumput segar dan mencabar merupakan suatu hijrah yang sukar namun bakal membuahkan hasil andai disertai keazaman yang kental dan usaha mempertingkat ilmu yang gigih.
Penulis novel terkenal Baharuddin Kahar pula menceritakan beliau menulis untuk mencari kejernihan dalam suasana semasa yang kacau.  Isu semasa yang sarat konflik dan kekecohan perlu ditonjolkan lalu dipertemukan kaedah penyelesaian agar isu dan permasalahan yang berlaku tidak berlarutan. Penulis memikul beban bersama-sama pemerintah dan pemimpin sedaya upaya mencari penyelesaian kepada permasalahan dan kebejatan yang semakin menular.  Ia juga bertujuan menyerahkan baton yang bersih dan bermanfaat kepada generasi muda untuk meraih seberapa banyak kejayaan dan kecemerlangan.

Monday, January 2, 2012

Ujana 2012

gambar diambil dari Berita Harian 2 Jan 2012

langit dicahayai gemilang percikan api
diselang-seli dengan dentuman ngeri
begitulah latar ujanamu
yang bakal bersilih tanpa jemu
tiga ratus enam puluh hari hayatmu
menyaksikan hujan menyuburkan tanaman
mendung yang menenangkan
mentari yang terik bergelora
sinau harapan bercempera
bebilah masa berguguran
dijinaki semilir mengimbau
kekadang badai mengacau
seusai badai ujanamu terus aman
dan nyaman menganyam harapan
panjarkan doa dan nafas kesyukuran
nikmat menghuni di ujana pinjaman-Nya



Wednesday, November 23, 2011

Kenangan 'Badai Semalam'

Perasaan usai menonton teater Badai Semalam karya Khadijah Hashim berbaur tapi menghiburkan.  Karya KH yang segar menghangatkan rak-rak buku lewat dekad 70-an, dan berjaya 'mengghairahkan' rasa cinta insan yang masyuk bercinta. Bersandarkan cita-cita, cinta dan pengharapan, maka BS telah mengangkat darjat seorang perempuan ke tahap yang terkedepan sarat pengharapan.  Mazni, peran utama BS yang menyalakan sumbu harapan ibu agar berjaya dalam lapangan hidup melalui kejayaan yang diraih dalam pelajaran. Ibu Mazni penuh yakin bahawa masa hadapan yang cerah terletak kepada kejayaan Mazni menjejakkan kaki di tangga menara gading.  Ibunya tidak mahu Mazni mengikut jejak langkahnya bekerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga Encik Haris sehingga penjuru hayat. Namun, gendala dan cabaran yang terrentang mampu melemahkan, memesongkan atau menggagalkan cita-cita Mazni. Halangan yang dihamparkan seperti fitnah, bujukan dan kutukan Pn Mahani; cinta terlarang Mazni dengan Karim; juga kehadiran Zaki sebagai pelerai masalah dan dalam masa yang sama menjadi racun kepada perhubungan Mazni dan Karim- semuanya menjadi cabaran yang maha hebat bagi seorang anak gadis berusia lewat belasan tahun. BS diakhiri dengan suntikan cahaya pengharapan yang terang buat Mazni dan juga pengharapan yang dipromosihebatkan khusus buat kaum wanita di sebelah timur ini.  Mazni akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading sehingga tertunailah hasrat dan pengharapan seorang ibu kepada anak tunggalnya. Maka segala cabaran dan airmata yang tertumpah hanya salah satu episod dalam kehidupan Mazni mungkin juga kepada semua kaum wanita di luar sana!

 
 
 
 
bersama-sama Datuk Shuhaimi Baba-pengarah Puntianak Harum Sundal Malam,
Hati Malaya, Ringgit Kasorga dll
Zarikh dan Erma Fatimah
sesi autograf bersama-sama Erra, Umi Aida, Fizz dan Aeron

Friday, November 18, 2011

Teater Badai Semalam di Istana Budaya


Karya Khadijah Hashim sedang dipentaskan di IB, KL. Kami akan ke sana petang ini untuk menonton sesi jam 8 malam. Moga dipermudahkan.

Wednesday, November 16, 2011

Pulang Ke Desa Sarat Mengendung Makna

Penjuru minggu lalu sempat pulang ke desa Kg Serkai Jadi yang terletak di pinggiran pekan Tronoh yang lesu. Kepulangan yang biasa namun sarat makna. Pokok-pokok rambutan mulai berputik, dijangka ranum pada penjuru bulan Disember. Kuntuman yang pelbagai bentuk dan warna,dan dedaun yang mengirai amat mengasyikkan. Kokokan ayam dan kicauan burung menjadi muzik alami yang menenangkan. Rumah yang sarat kenangan berjaya membibitkan rasa kasih dan sayang antara penghuninya, juga menjadi perantara dengan alam yang didiami. Di dindingnya bergentangan peristiwa masa lalu: saat berbuka puasa di meja yang penuh dengan pelbagai juadah, berbaring di sudut anjung seusai dikhatan, terbayang lerekan senyuman saat kanda Azai disandingkan, terdengar nyanyian dan marhaban serta berzanji saat acara berendoi anak sulung saya di tengah anjung rumah berlangsung...Alangkah bahagianya!

bunga kantan megah memekar di celahan rimbunan dedaun yang menghijau
bunga raya ranggi menyapa mentari pagi
teratai mercup mengucup hari
tenang berzikir menjulang langit tinggi
rimbunan yang menyamankan
hasil sentuhan bonda yang tercinta
tiada chef di dunia ini yang terdaya mengatasi masakan bonda,
kan? Chef Gordon Ramsey atau Chef Wan pun tewas!
rumah baharu bonda sempat dibangun sebelum raya menjelang
syukur Tuhan!
jalan yang terentang lurus di hadapan rumah bonda
menghantar daku ke zaman silam
berjalan menuju ke rumah ninda Manan dan Saodah
untuk mengaji Quran
belajar berbasikal dan kereta
anjung yang menganjur ke utara buat meneduh dan beristirehat

Tuesday, November 1, 2011

Batu Hitam Itu

Batu hitam tersergam
dibaluti ayat-ayat-Mu sepenuh qiam
terisi sejagat raya ilmu
kiblat seluruh insan dan kejadian
menepu iman dan takwa kepada-Mu Tuhan. 
Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat