Wednesday, April 30, 2008

Sajak A. Samad Said

Judul : A Samad SaidPenyelenggara : DharmawijayaPenerbit : Utusan Publications & Distributors.Genre : Antologi PuisiMukasurat : 443 halamanCetakan Pertama : 2005ISBN : 9676117390
Kulit Nipis

Segala yang dihasrat
tapi tak dapat
adalah nikmat
yang paling padat

"Buku ini adalah antologi puisi yang menghimpunkan karya-karya selama lebih setengah abad"

Pak Samad mengakui bahawa kesemua puisinya terhimpun dalam koleksi ini, kecuali puisi panjang "Al-Amin" dan tiga buah karya lain yang belum tersiar, tetapi telah pun dideklamasi di beberapa upacara. Dengan pengakuan itu, kumpulan ini bolehlah dikira lengkap kerana menghimpunkan karya-karya beliau, bermula dari yang pertama, iaitu "Untuk Angkatan lima Puluh" yang dihasilkan pada tahun 1950 di Singapura hinggalah kepada yang terkini, iaitu "Penyubur Bumi Bertuah" yang ditulis pada Januari 2005 di Kuala Lumpur. Dalam tempoh yang sempat melangkaui dua abad itu, Pak Samad telah menghasilkan sebanyak 221 buah puisi, hampir semuanya terbit dalam pelbagai media, dan sebahagian besarnya terkumpul dalam kumpulan Liar di Api, Daun-daun Berguguran, Benih Harapan, Daun Semalu Pucuk Paku, Benih Semalu, Balada Hilang Peta, dan Suara dari Dinding Dewan.
Selain berfungsi sebagai perakam zaman, karya sastera turut berperanan sebagai penanda bagi peradaban sesebuah bangsa. Atas kedudukannya yang sedemikian, karya sastera ialah khazanah negara, apalagi jika dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Sebagaimana proliferasi mensyaratkan sifat tekal pada diri penulis, menempuhi dekad demi dekad, mengharungi ujian masa; begitu jugalah halnya dengan usaha mengumpul dan menyusun karya, agar khazanah tidak ternilai itu didokumentasikan dengan baik dan dapat diakses oleh khalayak pada bila-bila masa. Inilah sebenarnya maksud pembinaan siri "Mandala Sukma", yang bercita-cita menjadi wadah kepada himpunan lengkap karya pengarang mapan, khususnya mereka yang dapat dianggap indeksikal bagi kesusasteraan Melayu. Dan cita-cita tersebut tidak mungkin terpenuhkan jika karya-karya tersebut tidak dikutip, dikumpul dan disusun. Penerbit, juga dunia. sastera tanah air, terhutang dengan Pak Dharma yang tekal mengumpul khazanah seni negara ini. Pastinya ketekalan itu menuntut kesabaran dan kecekapan mendepani tempoh yang panjang dan rumit pula.
Antologi ini disusun secara kronologis berdasarkan tarikh puisi ditulis, dan usaha telah dibuat bagi memuatkan maklumat berguna untuk dimanfaatkan oleh para pengkaji. Sebagaimana amalan biasa dalam penulisan puisi, tarikh tulis dicatatkan di bawah karya dan diikuti tempat di mana ia dihasilkan; manakala di bawah tajuk, dicatatkan tarikh dan media di mana puisi diterbitkan

Tuesday, April 29, 2008

Ah e-jari


Mesin e-jari merupakan suatu alat merakam masa kehadiran pekerja dan masa pekerja habis bertugas. Ia dijangkakan berkesan dan melancarkan urusan catatan rekod kehadiran dan pulang pekerja di sesebuah organisasi atau syarikat. Namun, di sebalik 'kecanggihan' dan 'terkedepan' penggunaannya ia juga terselit kesulitan dan kelemahan yang bakal menyusahkan pekerja. Ini kerana mesin e-jari itu sering mengalami masalah seperti tidak dapat mengesan jari empunya pekerja atau rekod-rekod yang sepatutnya ada telah tiada atau tidak dicatat sepatutnya. Ia nampak mudah dan ringkas sahaja namun ia bakal mengundang masalah besar bila seseorang itu akan bersara atau pada penghujung tahun pabila segala perekodan akan dimutahirkan. Seandainya rekod awal telah tidak diselenggarakan sebaiknya dan tiada catatan rekod dibuat makanya yang menjadi mangsa adalah pekerja itu sendiri. Oleh itu, kita harus mempertimbangkan penggunaannya semula dan semasaknya seandainya ia banyak mengundang masalah dan kebimbangan daripada menyediakan kemudahan. Maka sebaiknya ia dihentikan penggunaanya demi kesejahteraan bersama. Ia bertujuan untuk mengelakkan penganiayaan dan masalah yang di kemudian hari. Mohon diseluk dalam-dalam kotak pemikiran itu.

Saturday, April 26, 2008

salah bertingkah


apalah salahku diri ini diperlakukan sedemikian rupa

apalah silapku diri ini disisihkan seusai sengketa

apalah dosaku diri ini dihumban ke penjara rengsa

kenapa kau biarkan api kemarahan membakar tugu cinta

kenapa kau biarkan kesenyapan menghantar cinta ke terjal nestapa

kenapa kau biarkan kedinginan rasa mendakap tubuh racun berbisa

kalau mohon angin beralih-arah

bebaskan diri daripada api amarah

agar diri bebas mengikut arah

meskipun sanubari merah berdarah

kuubati kelaraan di pojok pasrah

Friday, April 25, 2008

Bengkel Penulisan Artikal di IKIM, KL

Syukur kepada tuhan kerana diberi kelapangan dan kesihatan untuk menghadiri bengkel penulisan artikal di IKIM Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. Majlis yang dihadiri lebih 100 orang peserta dari pelosok negara dan pelbagai latar belakang sememangnya menakjubkan. Ia bertambah manis kerana para penceramahnya seperti Saudara Mohd Fuad dan Mohd Asham amat lincah dan tekun mengajar di samping menurunkan beberapa petua dan pengalaman yang dikira agak menarik dan memanfaatkan. Seperti biasa bagi penceramah yang berpengalaman dan peka, akan menyelitkan dan menyuntik 'ubat lelucon' agar suasana yang hambar dan longgar mampu diperketat dengan 'penawar' iaitu ketawa kelakar yang puas dan bermakna. Urusan urusetia juga harus dipuji kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Suasana dewan diceriakan dengan limpahan cahaya lampu dan persembahan multi-media yang mengasyikkan dan sarat maklumat. Semasa waktu rehat pula makanan yang disajikan sesungguhnya menepati selera ditambah ramuannya serba serasi dan ada rasa. Meskipun jutaan jemari hujan membelai jumantara namun kedinginan yang dirasai amat menyegarkan sehingga berbaur seribu rasa. Ia seolah-olah mampu menggalakkan pertumbuhan idea dan resa untuk menitipkan sesuatu yang baik dan berharga untuk tatapan semua. Walaupun begitu, saya masih kehausan dan memerlukan bimbingan.

Friday, April 18, 2008

Renungan Abadi

Tidak ramai manusia yang sempat memikirkan apa ertinya kehidupan mereka. Makanya, dengan caranya sendiri, dengan kehalusan seninya dan kekayaan daya imaginasi dan pemikirannya, penulis yang seniman berupaya menyingkapkan pengalaman baharu kepada sesiapa saja yang meresapi atau menghayati karyanya ---A.Samad Said

Wednesday, April 16, 2008

Izinkanlah kekasih

izinkan aku berteduh di bawah redup pandanganmu
agar hati ini jenuh mengecap nikmat cinta syahdu
izinkan aku menumpang di sesayap senyumanmu
agar kalbu ini damai dibelai cinta menyatu
izinkan aku menunggumu di petala bianglala jingga
agar penantian ini bersulam makna berjuta
izinkan aku menyimpan potret wajahmu yang mesra
agar senang aku membeleknya tatkala kerinduan tercipta
izinkan aku mencecahkan kaki sanubariku di lekukan lesung pipitmu
agar jiwa ini sejuk dipilis pawana senja bertamu
demi cinta kita
izinkanlah kekasihku

Tuesday, April 15, 2008

Kesihatan itu Indah

Pada hujung minggu lepas diri ini disinggahi penyakit dan kesakitan yang teramat sangat. Tatkala kesakitan dan kerengsaan bertamu barulah terasa kenikmatan memiliki kesihatan. Namu,diri ini sekelumit pun tidak merasai gundah maupun benci akan musibah yang menimpa. Malah kedewasaan dan kewarasan mengetuk pintu lelah dan sibuk seharian untuk memikirkan apakah selepas sibuk bekerja dan bernyawa,adakah hidup lain yang lebih bermakna?Mungkin apa yang saya maksudkan adalah proses pembajaan seni membaca dan penghayatan seni sastera itu sendiri. Sesungguhnya proses menghayati dan melahirkan karya adalah sesuatu proses yang amat membahagiakan. Kebahagiaan yang terletak di petala yang lebih indah dan memartabatkan. Cubalah dekatinya...

Thursday, April 10, 2008

Salam Pertemuan

Mula-mula saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Esa. Keduanya salam pertemuan kepada anda sekalian. Moga dikurniai kesihatan dan kewarasan yang berkekalan. Saya terpanggil untuk membina blog sendiri setelah kesian lama tergendala. Tergendala oleh pelbagai urusan rutin dan tugas seharian. Mungkin dalam kesibukan itu saya terjumpa dan menjumpai lalu menyimpan pelbagai sumber dan bahan untuk kegunaan kemudian hari. Alhamdullilah, hari ini termakbul harapan itu. Oleh itu, bersabarlah dan cuba dekatilah detik hati dan rasa saya yang berurna dan berbianglala. Indah yang tak terungkap. Bahagia yang amat mendalam. Ghairah yang tak terpadam.