Monday, August 24, 2009

Ke Wilayah Rahmah Mengibar Sesayap Taubat


Kusinggah ke wilayah rahmah penuh barakah
Setahun mengingsut-ingsut menanti penuh resah
Kerna sibuk mengumpul debu-debu dosa
Sepatu waktu dikotori hasad dan haloba
Menyerakahi fana dan menjamah waktu bersisa
Bukan kembali berlumba-lumba kepada-Nya
Namun wilayah ini hadir tanda ehsan-Nya
Tulus menumpukkan padi kasih di kepuk lena
Beruntunglah mereka yang menampinya
Sawah diairi ibadah dengan jalur air kesyukuran
Mengalir meladeni kehidupan menyegar sosok batin
Memupuk ukhuwah sesama insan bergentayangan sesayap taubat
Hinggap bahagia di ranting senja galau terubat.

Ilham Ainol
Segamat,Johor
23 Ogos 2009

Friday, August 21, 2009

Ujana Cinta

Sepasang uda dan dara menghuni ujana cinta
Mencicip harum kasih pertama kalinya
Segenap perhatian tertumpu indah tak terkata
Saat berpisah gelepar sesayap rengsa
Pucuk-pucuk rindu terbit menghijau
Saat dinihari hening kejap mengimbau
Kerak-kerak memori mendasari lantai waktu
Titisan embun melebur pepuing sendu
Sejeda cuma termampu menggempur lelahar rindu
Harap berkekalan memujuk kalbu
Sirna kala mentari setia merungkai palsu


Ilham Ainol

Segamat, Johor
21 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

Petualang Bernafas Darah




Petualang itu pernah terjelma singa luka
Terpatah taring saat mengungsi persada kuasa
Diaib di segenap liang pelosok nusa
Diadili di kamar adil yang bergema-gema
Meronta-ronta sang singa saling menuding
Sebuah konspirasi di tampuk tertinggi ia melengking
Suara beresonan ke seantero jagat raya seolah terbirit
Usai bersidang muktamad jasad dicekat dalam jeriji sempit
Setiap saat menghitung daun waktu melakar rencana untuk bangkit
Konon ingin menjungkir-balik segunung siasah yang sakit

Tanpa diduga sinar baharu menjengah bucu senja
Sekujur jasad longlai sempat menghela nafas kedua
Setiap saat beriltizam merencana menggenggam kuasa semula
Yang terlepas dari kura yang haloba
Demi sebuah gunung harap membalas dendam huma
Sanggup melapah nasib murba yang sedia lemah melata
Sanggup dicalar-balar muka masa depan pemuda
Persis Si Kitul dan Raja Mendaliar membibit onar dan dosa
Menguak luas lawang kota mengundang padah
Susuk kecil Hang Nadim dianggap musibah
Kerna akal melebihi para kuasawan yang gah
Juga si Peludah bahasa yang terlalu menyakini bahasa penjajah
Melemparkan lidah bonda ke lembah resah

Sirah berulang setelah 500 tahun menyepi
Masih sempit hati mempanen huma di sawah iri
Demi marahkan seekor nyamuk durjana tidak terperi
Habis rentung kelambu bangsa dilangiri
Yang bisa ditumpuk hanya debu-debu sesalan
Meratap sebatang nisan tertanam berkekalan
Tercatat selama-lamanya luka bangsa akibat
gagal mengutip iktibar di dada hikmat
Andai masih memakai busana kebobrokan
Nantikan ulang-tayang sebuah sandiwara yang mengaibkan.

Ilham Ainol
Segamat, Johor
18 Ogos 2009

Friday, August 14, 2009

Menjaring Bayu Perubahan


Tugas mustahil seolah menimba segara luas dan buas
dengan gayung hasrat yang mengelupas
atau seperti menjaring sejengkal bayu perubahan
dengan bebenang kudrat yang semakin menipis
Andai ingin memasang sedaun lawang pada rumah ubah
Tiang nurani diri pantas dulu dipasak niat dan hasrat indah
Dibumbungi atap adab dan budaya yang megah
Kerna semenjak Parameswara sampai ke Hang Tuah dan Jebat
Hinggalah saat ini ke tangga rumah pemimpin siasah sebangsa yang hebat
Jauh sekali kelihatan maupun terkilas sejalur bianglala untuk berubah
Yang kedengaran cuma puing-puing laungan yang rapuh
patih menumpuk sedikit demi sedikit
sehingga terdiri sebuah gunung kebebalan yang sakit
Oleh itu,
Tumpukkan segala kebobrokan dan ketololan semaunya
ke lembah semalam untuk dipuruk selama-lamanya
Agar helaian sirah tidak lagi mengisahkannya
Yang dihebah dan dijunjung adalah jejalur sinar perubahan
galak bersinau di celahan tikungan gelap yang memanfaatkan
dan untuk memasakkan tiang jatidiri yang dibanggakan
ke ranah leluhur yang pasti dipertahankan
kendati berlumuran darah pada susuk Taming Sari, dan
lidah bahasa yang berpamur kerawang tersaring indah rupawan.



Ilham Ainol
Segamat, Johor
14 Ogos 2009

Monday, August 10, 2009

Sinar Hijau Di celahan Bilah Atap


Semilir lewat menghantar sebuah perkhabaran ke kotak benak
Wilayah ini diasak dari segenap penjuru semak
Malam pula menyaksikan sebuah kebangkitan tsunami liberalisme
Menjungkirbalik jasad kebiasaan bernuansa tradisionalisme
Gerakan halus selicik virus membaham kulit-kulit konservatif-fundamentalisme
Merayap ke seluruh urat saraf kehidupan senada
Sebuah kemara(h)an yang sulit diubati oleh ribuan tangan-tangan lama

Gerakan hijau ini perlu dipimpin diwarasi sesaksamanya
Landasan disediakan moga kegelinciran kaedah dan akidah kejap dielakkan
Mengnyahkan bibit kesangsian demi menjambatani sebuah kesetiakawanan
Mencipta kehangatan kemesraan berkekalan
Menghulurkan dulang kuasa kepada mereka sehemahnya
Secangkir perkongsian yang beroma ketulusan dan kasih-sayang
Pasti membasahi kerongkong ketidakpuasan hati mereda arus penentangan
Demi menghalatujukan tenaga hijau ke mercu kejayaan
Sebelum “the other” menyusup merasuk ruang kekosongan
Sigap meruntuh sebuah peradaban yang sedia singkat
Agar leluhur dan generasi mendatang dicucuri rahmat.

Ilham Ainol
Segamat, Johor
27 Mac 2009
p.s : Sajak ini telah diterbitkan dalam Dewan Sastera Edisi Julai 2009.

Friday, August 7, 2009

H1N1 Mengetuk Lawang Hidup







Pagi kelmarin kita digemparkan berita seorang pelajar telah dijangkiti H1N1. Dikhabarkan kesemua rakan serumah dan sekuliah pelajar tersebut telah diarah diasingkan. Pelajar termangsa tersebut sebenarnya telah demam sebelum tewas kepada cengkaman H1N1.
Nampaknya penyakit yang ligat menular ini seolah-olah pembunuh senyap yang licik lagi menggerunkan. Kita hanya menunggu sesetianya sehingga ia mengetuk lawang hidup yang sesungguhnya tidak diraikan. Bagi mereka yang dijangkiti moga bertenang dan bersabar,dan patuhi nasihat doktor.
Maka bergegaslah staf Klinik Kesihatan Segamat menghantar penutup mulut dan sigap mengaktifkan bilik saringan dan rawatan. Tindakan ini dirasakan agak terlewat dan mungkin kurang berkesan bagi menawan virus yang cekal dan nakal ini.
Apa-apa pun kita diseru supaya bersiap-sedia dan mengiktibari musibah yang ditimpa oleh-Nya ke atas hamba-Nya yang lemah. Adakah kita cekal mendepani ujian yang sebegitu berat dan dahsyat? Kita masih menanti penawar dan kaedah yang paling berkesan bagi menghapus virus ini. Yang nyata ia masih jauh panggang dari api. Diberitakan hanya pada hujung tahun ini penawar bagi penyakit tersebut mampu dimiliki oleh lebih ramai orang. Oleh itu, bersabar dan redha kepada perujian yang maha hebat ini.
Dalam perjalanan pulang ke rumah,sempat singgah di Lian Hoe untuk mendapatkan buku Kembara Aksara terbitan PBM. Buku yang tertangguh sekian lama itu akhirnya dengan sedikit kecacatan telah berjaya diterbitkan. Ia bakal mengisi rak-rak bingkisan lewat kehidupan kami dalam usaha untuk melestarikan kehidupan seni kami yakni kehidupan Ahli Persatuan Bahasa Mandarin. Mungkin ia hadir dengan pelbagai kekurangan namun kehadirannya amat dialu-alukan dan dihargai. Terima kasih kepada telaga pengalaman!

Thursday, August 6, 2009

Langit Dimerahi Jalur Amarah




Bebilah amarah melantun-lantun
Liar menujah ke cuping anjing
Kekata yang selayak dihunjam kepada
kuasawan bertelinga sumbing
Bukan daripada penyanggah saki penjarah yang melengking
Kala bukit siasah tuli pada hati murba yang kian gemerincing
Bertakung kolam duka lara persis
menyaksi babak-babak sandiwara politikus oportunis
Unjukrasa yang bengis hanya mengundang tangis
Para usahawan merintih rezeki tertiris
Nakhoda luka diasak hanya mampu tersenyum sinis
Kepada bahu siapa lagi harapan boleh digandar
Andai semua bersuara degar undang dilanggar
Teladan apa yang diwariskan kepada pemuda?
Usai sengketa kiambang berserakan terpingga
merawat nestapa bangsa dan nusa.


Ilham Ainol
Segamat, Johor
6 Ogos 2009

Tuesday, August 4, 2009

Purnama Mengambang Cahaya Iri



Menguntum bebunga iri
Mercup kelopak cemburu
Tatkala sesungut kumbang menyerakahi
Berahi mengucup sari madu
Sang aku cuma mampu menyaksi
Dari kejauhan bungkam terpendam
Malu berselindung di balik pucuk awan kelam
Sarat urna silang hakikat kehidupan
Di ujana kejam

Ilham Ainol
Segamat,Johor
2 Ogos 2009

Monday, August 3, 2009

Gelepar Sayap Rindu

Gelepar sayap rindu
Sigap mencanda susuk bayu
Menghantar gelintar rindu terpalu
Bungkam bahagia mencicip nikmat syahdu
Masih tergenggam ujian duri beribu?

Iham Ainol
Segamat, Johor
1 Ogos 2009