Thursday, January 28, 2010

Mesyuarat UPENA dan Bengkel PRISMa



Masjid Shah Alam menjelang Maghrib 25 Jan 10



Koordinator UPENA 2010

Lewat petang 25 Jan 2010 saya ke UiTM Shah Alam menghadiri Mesyuarat UPENA.  Seluruh Koordinator UPENA dari kampus induk dan cawangan berkampung di INTEKMA Resort, dan INTEC Shah Alam selama 2 hari. Pengarah UPENA iaitu Prof Madya Hajjah Hamidah telah mempengerusikan mesyuarat.  Beliau memohon kerjasama semua Koordinator untuk menggembleng tenaga,masa dan idea bagi mencapai sasaran penerbitan bagi tahun 2010.  Beliau mensasarkan peningkatan 20% bagi tahun 2010. Tahun lepas sebanyak 200 tajuk buku dan makalah berjaya diterbitkan,ia merupakan suatu rekod pencapaian yang membanggakan. Sesi pagi juga disisipkan dengan taklimat berhubung mengadaptasikan buku terbitan PEARSON. Ia merupakan usahasama dan jaringan industri yang sangat dialu-alukan.  Buku-buku PEARSON yang sesuai dengan silabus atau rujukan pelajar/pensyarah boleh diadaptasikan agar ia bersesuaian dengan konteks watan.  Kadar peratus kandungan yang dibenar diadaptasikan ialah 20%. Penulis buku atau pensyarah akan dibayar royalti dan nama mereka akan tertera dalam buku tersebut.


Bengkel PRISMa pula terbahagi kepada Fasa 1 dan Fasa 2.  Fasa 1 program pangkalan data PRISMa ini berperanan untuk memudahkan para pensyarah memuat-naikkan maklumat penerbitan, penulisan dan penyelidikan secara atas talian. Ia bertujuan untuk memudahkan pihak pengurusan mengaksesnya dalam upaya menilai sumbangan dan penglibatan para pensyarah dalam bidang-bidang berkaitan pengajaran, pembelajaran, perundingan dan penyelidikan. Ia juga membantu pihak pengurusan merencana dan melaksanakan program-program pembangunan staf dengan lebih kemas dan berkesan. 


PM Iris Swaze dari UiTM Sarawak
- Fasilitator PRISMa / salah seorang Pembangun Program PRISMa
- Program PRISMa pernah meraih Gangsa dalam IID.

Manakala Fasa 2 program PRISMa pula bakal diluncurkan dalam bulan April 2010.  Fasa 2 pula berperanan memudahkan para pensyarah memuat-naikkan manuskrip yang lengkap dan bersih untuk diterbitkan oleh pihak UPENA.  Pihak pensyarah tidak perlu melalui Koordinator UPENA Fakulti atau Cawangan masing-masing. Mereka boleh terus memuat-naikkan karya/manuskrip yang siap, lengkap dan bersih melalui PRISMa untuk dihantar terus kepada Pengarah UPENA.  Pengarah UPENA akan mengagihkan manuskrip kepada koordinator-koordinator yang berkenaan dengan bidang kepakaran dan tanggungjawab masing-masing. Seusai suntingan manuskrip akan dikirimkan kepada penulis/pensyarah untuk dikemas-kinikan.  Selepas dikemas-kinikan maka manuskrip tersebut akan dihantar semula kepada koordinator berkenaan untuk diproses sehinggalah ia siap untuk diterbitkan.  Ia bertujuan memastikan para penulis/pensyarah bertanggungjawab ke atas manuskrip masing-masing di samping terlibat dalam proses pra-penerbitan tanpa melalui penghantaran pos yang mana ia memakan masa dan dapat menjimatkan kos.


Para peserta tekun mendengar taklimat


Mega mewarnai durja senja 26 Jan 10
(pandangan dari jendela Hotel Concorde di bilik 1208)

Wednesday, January 20, 2010

Cetusan Wacana PPJ Segamat



Program Cetusan Wacana Penulis PPJ Segamat telah berjaya dilaksanakan Ahad lepas. Program yang julun-julung kalinya diselenggara bersama-sama PPJ, UPENA UiTM Johor, DBPWS dan Perpustakaan Awam Segamat telah meluncur-lancar di Perpustakaan Awam Segamat pada 17 Jan 2010 jam 2.30 ptg. Program yang sederhana dan santai sifatnya telah dirasmikan oleh YB Ayub bin Rahmat, ADUN Kemelah, Segamat. Beliau telah bermurah hati menyumbangkan RM3000 kepada PPJ Segamat sebagai dana permulaan PPJ Segamat menjalankan aktiviti-aktiviti pada masa hadapan. Syukur Alhamdullilah. Insya- Allah PPJ Segamat akan bergerak lebih cergas demi menjayakan objektif PPJ untuk mencungkil bakat baharu dalam penulisan dan kepengarangan, juga menjadi wahana kepada para penulis dan pengarang serta penggiat seni sastera berhimpun untuk berbincang, merancang dan melaksanakan program-program seperti bengkel-bengkel penulisan puisi, cerpen, novel,drama, teater dan lain-lain program yang difikirkan bersesuaian dengan kehendak semasa.


Zaid Akhtar,PM Ahmad Nawawi, Amiruddin dan Prof Kamil


Pengacara majlis yang serius, Zety

Program CWP telah dimulakan dengan Forum Cetusan Wacana yang bermauduk Kepimpinan Badan-badan Bahasa dan Sastera. Para panelis terdiri daripada Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim, mantan Pengarah UiTM Johor; Sdr Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ dan Sdr Zaid Akhtar, novelis tersohor. Pengerusi PPJ Segamat iaitu Prof Madya haji Ahmad Nawawi Yaakob telah bertindak sebagai moderator forum. Intipati forum berkisar tentang isu-isu kepimpinan persatuan-persatuan bahasa,sastera,budaya,warisan dan penulis yang tidak berfungsi secara aktif, dan bersama-sama menobatkan dan mengtahtakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa Ilmu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Terdapat juga segelintir persatuan-persatuan yang hidup segan mati tak mahu, atau hanya menjadi jaguh musiman demi memperjuangkan objektif sampingan dan singkat. Meskipun terdapat perbezaan dalam kalangan pemimpin persatuan namun ia adalah lumrah, dan perbezaan tersebut perlu diterima sepositif mungkin. Makanya segala aspirasi,perjuangan dan wawasan perlu terarah kepada tujuan asal penubuhan sesebuah persatuan di samping memperkasa, memartabat dan menobatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dan lebih bermaruah.


Cikgu Talib rancak berbual dengan Lee


sempat bergambar dengan Cikgu Talib, Shima dan Zety

Seusai majlis perasmian, program petang tersebut telah diisi dengan pelancaran sebuah makalah sederhana yang bertajuk Bingkisan Nurani. Buku kecil tapi signifikan impaknya adalah hasil usaha kerabat ahli PPJ Segamat. Ia telah memuatkan puisi, cerpen dan artikal. Acara bacaan puisi oleh ahli-ahli PPJ Segamat telah merancakkan lagi suasana pertemuan singkat petang tersebut. Saat menjamu selera, para peserta bebas bergaul, berbincang, bertanya khabar dan seterusnya menjalin persahabatan yang lebih akrab agar program-program yang bakal menyusul pada masa akan datang akan dapat menarik lebih ramai peserta dan pencinta seni dan bahasa bangsa. Kesempatan yang tersua telah memberi ruang dan peluang kepada pihak PPJ Segamat dan DBPWS serta UPENA UiTM Johor untuk menganjurkan Bengkel Bicara Karya dan Persembahan Teater/Drama untuk tahun 2010 ini. Syabas PPJ Segamat!


Prof Dr. Muhd Kamil sudi hadir menjadi panel forum


cenderahati untuk panel forum dan VIP


YB Ayub sudi menerima Bingkisan Nurani

Thursday, January 7, 2010

Hari Pertama Persekolahan Batrisyia

Pagi 4 Jan 2010 ke SK Bandar Putra Segamat



Batrisyia bersiap-siap hendak ke sekolah


Perhimpunan pertama


Berbaris untuk masuk ke bilik darjah


Kelas 1PA (Putra Arif)
Duduk di sebelah Syahida Bt Sulaiman
Rakan baik dari TASKI Ar-Raudhah lagi


Waktu rehat, jom ke kantin sekolah


Makan mi goreng yang dibeli sendiri buat pertama kali

2-3.30 Petang 4 Jan 2010 ke Sekolah Agama
di SK Segamat Baru


duduk di sebelah Wafa, rakan sejak dari TASKI Ar-Raudhah lagi


ceria selalu !

Wednesday, January 6, 2010

1 Januari 2010 Modul Insaniah Diploma 1


Sesi menyusun kerusi dan meja seusai modul


12 peserta puteri modul 1


9 peserta putera yang berjaya menyudahkan modul 1 pada 1 Jan 2010

Pada 1 Januari 2010 saya telah berkesempatan untuk menjadi fasilitator kepada Modul Insaniah pelajar baharu sesi Dis 2009-2010.  Seramai 21 orang pelajar dari pelbagai program telah berkampung di bilik kuliah C009 untuk menjalani sesi motivasi dan suai-kenal dengan rakan-rakan baharu.  Modul Insaniah yang julung kali diadakan dimulakan dengan sesi Taaruf, kemudian diikuti dengan Garisan Kehidupan. Kami berhenti berehat pada jam 10.00 pagi. Sesi LDK 3 dan 4 diteruskan 15 minit kemudian. Sesi ini diisikan dengan penjelasan kaedah pengiraan CGPA dan HCGPA, dan penjelasan tentang nilai sikap.  Sesi petang dimulakan jam 5 ptg kerana pelajar baharu dikehendaki menghadiri Majlis Pertemuan dengan Pengarah baru UiTM Johor yang baru memulakan tugas pada 1 Jan 2010.  Kandungan sesi petang diisi dengan penulisan wasiat dan ikrar. Saya doakan moga pelajar-pelajar baharu memegang amanah yang diberikan demi menyempurnakan tanggungjawab sebagai mahasiswa untuk menimba sebanyak telaga ilmu di menara gading. Pendakian tangga menara gading yang sinonim dengan ketinggian ilmu dan kehebatan keintelektualan perlu dijelmakan dengan tindakan yang proaktif yakni menekuni kuliah,dan meluaskan jaringan perhubungan yang sihat dan membina dengan warga UiTM dan pihak luar, serta menyumbang ide,tenaga dan masa demi melestarikan kehidupan diri dan orang yang memerlukan.  Perkembangan sahsiah yang berimbang bakal menjadi produk yang menarik saat menceburkan diri dalam lapangan kerjaya dan kemasyarakatan. Amin.

Friday, January 1, 2010

Salam 2010



jemari 2010 mengetuk lawang duniawi
bersipongang gema meruntun nurani
meninggalkan semalam berona pelangi
persis kelopak bebola api
melenterai langit malam yang sepi
cahaya-Nya memijari urat belurat dan nadi
berdenyut jantung menghidup kembali
untuk melestarikan kehidupan ini
semalam hanya sebuah cermin yang sarat merefleksi diri
lamunan terhenti saat cuping dialun bunyi
 gemersik azan memesrai dinihari

Ilham Ainol
1 Jan 2010
Segamat,Johor