Wednesday, May 26, 2010

Teater "Kg Cetek"

Sabtu lepas (22 Mei 2010) saya ke Larkin Perdana, JB untuk menyaksikan teater "Kg Cetek" atas undangan Tuan Rusdi pegawai DBP Wilayah Selatan. Saya meminjam kata-katanya yang terdapat dalam blog seperti berikut...

23 Mei 2010 (Sabtu - 8.30 malam)

Kehadiran penonton seramai 80 orang. Seperti dua pementasan yang sebelum ini lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa' dialunkan untuk dinyanyikan bersama-sama dalam kalangan penonton. Tiga orang penggerak teater dari Singapura iaitu Kumpulan Teater Artistik diketuai En. Roslan Mohd Daud turut hadir menyaksikan pementasan yang terakhir ini, juga pensyarah dari UiTM Johor, Segamat iaitu En. Ainol Hasanal turut hadir menyaksikan teater selama 45 minit ini. Hadir sekali lagi Sdra. Sharrul Rizal DBPWT dan Sdra. Syaidul Azam DBPWS. Agak berkurang soalan yang dilontarkan dalam sesi dialog pada kali ini.





Sesungguhnya dalam kekangan kewangan pementasan teater skala kecil ini boleh dipentaskan dengan usaha dan semangat yang jitu tiga pihak iaitu DBPWS - KESUMA-I - Seni Mahligai. Halangan kekangan kewangan bukanlah satu yang boleh dijadikan alasan yang besar untuk mementaskan teater sebegini, jika mahu semuanya jadi dan terlaksana.

Terima kasih buat semua penonton yang meluangkan masa dan hadir menyaksikan teater ini, sokongan dan teguran anda semua amat-amat dihargai, terima kasih buat kesemua tenaga produksi dalam kalangan ahli KESUMA-I bersama orang kuatnya Sdra. Mohd Razif Adanan dan ahli Seni Mahligai, terima kasih buat urus setia @ petugas DBPWS yang terlibat ketika dua hari pementasan ini termasuklah Mohd Rizal, Ezuwan, Roslin Majidi, Faizah, Roz Idayu, dan Norsheilla serta semua staf lain yang membantu secara langsung dan tidak langsung sebelum seminggu pementasan diadakan. Sekalung penghargaan buat persatuan dan staf DBPWS yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.



Monday, May 17, 2010

Bengkel PuTRAS/PRISMa 17 Mei 2010




Taklimat Sistem PuTRAS oleh PM Iris dalam Mesyuarat Pertama
JK Sistem PuTRAS/PRISMa Johor

Ahli JK PP Rafizah,Carol, Azrin dan Nathan




Tuesday, May 4, 2010

Mempasak Akar Jiwa Bangsa - terbit dalam Pelita Bahasa Edisi Mei 2010


 
Pastikan pohon itu mercup mengindahi
kecipak waktu,sentiasa

semerbak kasturi mengharum-subur jagat budaya, dan minda raya

tinggi membentengi maruah dan darah bukan
air mata melata,



Selagi bertunjang akal budi yang memekar-ruah

dan khazanah bangsa terhimpun kemas di lembaran sirah

bukan kosong polos mudah dimamah-patah

oleh anai-anai kuasa yang senyap melintah,



Wani mempasak akar ke segenap jiwa bangsa

patih menginsani persis pasangan bahagia

agar tidak dijungkir-balik seenaknya, semula

melestarikan kewarasan meneduhi ubun masa

yang kerap digelitai keangkuhan sesia

demi meluncur-jayakan citra bangsa terindah
di persada dunia.



Ainol Hasanal Bin Jalaluddin

PPJ Segamat

21 Jan 2010







Monday, May 3, 2010

Pernikahan Anak Buah Sulung Tanggal 1 Mei 2010

Fara Ain ayu mengenakan busana Muslimah berona putih mutiara; kain bersulam ringkas namun mampu membiaskan aura keanggunan dan kelembutan seorang bakal isteri
yang berdebar menantikan saat dinikahkan dengan Abang Zainal Fitri Ramli di masjid jam 11 pagi nanti...

Bilik pengantin memilih rona biji kundang masak lalu disuaipadankan dengan rona putih; demi meraikan sebuah peristiwa yang suci bersih sebuah ikatan yang bakal disimpulmatikan dalam sebuah pernikahan yang disahwalikan oleh bapa pengantin perempuan.Oh! Suatu pengalaman yang mendebarkan lagi mengharukan; hanya hati seorang ayah sahaja yang terlebih tersentuh dan terharu saat menikahkan anak perempuannya untuk diserahjanjikan kepada anak menantunya; untuk meneruskan tugas pembelaan dan tanggungjawab mendidik terhadap anak perempuannya...air mata syahdu bergenang di lopak mata;hati pula menahan sebak yang teramat ...

Sirih junjung pelengkap hantaran yang memilih rona ungu sebagai alas paha dan ceper tembaga Tok Ah; sirih junjung ditemani pinang berkelopak bunga; gambir direkahias berbentuk kuntuman seri di rimbuni Seri Pagi;  kapur dibentuk kuntuman ros; dan dilengkapi bunga cengkih menyegar mulut. Meskipun topan barat melanda namun adat lama masih diamalkan penuh bergaya...

Zainal Fitri arjuna sanjungan Fara Ain; segak berbaju Melayu cekak musang bersampin songket hitam bersulam benang perak; dalam debaran menanti saat dinikahkan masih mampu melemparkan senyuman payau di atas kasur ungu sambil disambar klikan lensa yang bertalu-talu...

Fara Ain didukkan di atas kasur berona ungu sambil tidak lokek memberikan pos dan senyuman yang manis tanpa gula. Ai! bahagianya rasa...

Pegawai pejabat agama merangkap imam masjid cekap mengendalikan majlis; sempat menasihati bakal suami (dan suami yang hadir); melunaskan tanggungjawab pejabat agama dan menyaksikan serta mengunjukajar wali menikahkan pasangan pengantin.
 Alhamdullilah semuanya berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa dan bermakna...

Pengantin dinikahkan ayahanda Fara yakni Zainol Abidin yang disaksikan oleh ninda, Jalaludin Idris dan bapa saudara, Ainol Hasanal dan lain-lain. Suasana hening sejeda saat lafaz pertama tersekat kerna wali dilanda deburan sebak; ya lah 25 tahun membesarkan anak perempuan dengan penuh jerih dan cerita; hari ini baton tanggungjawab itu bakal diserahkan kepada bakal menantunya; saya dan imam sempat menenangkannya; nyaris tidak terburai air mata yang terempang paksa selama ini. Suatu pengalaman yang menginsafkan dan mengujakan bagi saya kerna saya pun mempunyai 2 orang puteri...

Ciuman hormat dan taat seorang isteri; maka pimpini dan sayangilah
dia wahai suami!

Mari bergambar! Mak Teh Hanzia, Batrisyia, Pak Teh dan Amira.
Tahniah!