Saturday, September 18, 2010

Bercuti di Cameron Highlands

Cameron Highlands sering mengimbau memori kerna kami pernah tinggal di sana selama 4 tahun pada penghujung tahun 60-an. Cuaca yang dingin berawan, kekadang basah dan lembab, kebun bunga dan sayur serta strawberry yang tersusun, kebun teh yang kehijauan, kedai teh yang semakin popular, lereng gunung yang segar- sesungguhnya wilayah wisata ini amat berbeza dan mengujakan. Juga, Heritage Hotel bakal dikenang jua.

Cubalah dekatinya!

Rumah Kayu Dodi dan Nana

Rumah teres setingkat yang terletak di Taman Sri Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh memang mengundang uja. Kayu cengal dan merbau menjadi pilihan pasangan ini. Rumah ini pernah menang tempat ke-2 dalam pertandingan Rumah Impian anjuran sebuah akhbar tempatan pada 2 tahun lepas. Konsep kayu dan barangan antik dikumpul setaatnya lalu diletakkan di sudut dan di ruang yang sesuai dan saling komplemen antara satu sama lain. Syabas Dodi dan Nana! Rumah itu syurga dunia andai ditatahias sepenuh jiwa dan raga. Hargailah ia! Kami sekadar menumpang gembira...

Jom Raya!

Syukur kerna berkesempatan beraya dengan Nenda Putih di ujung kampung. Nenda masih kuat ingatan meskipun darah tinggi sering mengganggu jadual hidupnya. Kediaman yang didirikan di sebelah rumah pusaka yang kini tinggal kenangan. Masih terbayang rumah bertiang tinggi, bertangga, tempayan di kaki tangga, dinding papan bercat hitam, atap zink, ruang bawah yang dijadikan tempat bermain, tungku dapur kayu, pelimbah dan perigi di belakang rumah- semuanya menggamit memori. Main congkak dan batu seremban di bawah rumah bila cuaca mendung atau semakin panas; main galah panjang, polis sentri dan kunda-kondi bila teman sepermainan dan jiran berkumpul. Waktu petang ke gigi lombong melihat pak cik memancing, menjala, memeriksa tangkapan di jaring sambil berkolek. Saat angin kencang pula, layang-layang dilepaskan. Alangkah bererti album nostalgia itu! sesungguhnya kita pernah merasai,mengalami dan memiliki kenangan indah itu, bukan?

Syawal 1432 10 Sep 2010


1 Syawal yang basah menyejukkan pagi Jumaat yang bening. Takbir raya sayup terdengar dari corong suara surau dan masjid. Sebulan diduga dan didewasakan. Kepayahan yang diyakini bakal menginsafkan dan menumbuhsuburkan kasih-sayang sesama manusia.
Busana tradisi yang berona merah digayakan. Pakaian molek dan dibanggakan akan tetap dipelihara dan disayangi meski arus kemodenan rakus menghempas. Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang meneruskan kesinambungan murni ini? Syukur Tuhan kerna masih meminjamkan nafas untuk menikmati kebahagiaan ini. Amin!

Wednesday, September 8, 2010

Salam Kemaafan dan Kesyukuran


Salam Kemaafan Yang Luhur
Atas Segenap Silap Yang Terlanjur
Salam Kesyukuran Yang Dizahirkan Seinsafnya
 Atas Segala Nimat Yang Dihulurkan-Nya 

Salam Lebaran
 Maaf Lahir Dan Batin
kepada semua...

Tuesday, September 7, 2010

kau akan pergi jua...


beningmu menyejuk batin
meski digulati malam gelintin
debu-debu dosa terendap jua
di lantai taubat meruap pada
saat dimesrai zikir dan sujud jua
 alunan ayat-ayat cinta
sepurnama mengecap nikmat syurgawi
akan melangkah pergi sudah pasti
moga diketemui lagi...

Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat
7 Sep 2010
28 Ramadan 1432

Monday, September 6, 2010

Mengirimkan Kepedulian ahli PBM...4/9/10

Juadah berbuka beraneka rasa dan rupa sedang dihidang
Pn. Nor Fauziah sekeluarga gembira menyambut kunjungan PBM

Nasi tomato,karipap,kuih-muih dan tamar nampak teramat lazat kepada perut yang lapar
Salam dihulur sumbangan diterima moga bebanan dapat diringankan
 
Si kecil yang turut bergembira saat menerima duit raya...

Sumbangan ikhlas warga UiTM Johor

Saudara Faiz,selaku Ketua Projek tersenyum puas dan bangga dengan usaha
murni ini...syabas Faiz!