Friday, March 25, 2011

Video Terlampau

Adik sedang baca apa?
     Maharaja dengan busananya.
     Baginda bertelanjang di depan jelata.

Abah pula sedang tengok apa?
     Kuasawan dengan video rahsia.
     Mereka mengaibkan maruah sebangsa seagama.

Adik tak sanggup berpekerti demikian.
Abah pula cuba meroboh tembok kejelekan.
Moga anak cucu kita terus menolak kebobrokan. 


Ilham Ainol
PPJ Segamat
25 Mac 2011

Wednesday, March 16, 2011

Teater Primadona...Perahu Mimpi 12 Mac 2011 di Dewan Kuliah 1, UiTM Johor

Pendukung teater PPM ...Dona dan Bayu
dibantu oleh Dian dan Isky

diirngi suara lunak lemak dan gemersik Datin Shima, penyanyi Istana Johor.

para pelakon bersila/bersimpuh di lantai pentas saat wacana teater berlangsung

Puan Rahimah Muda,selaku penulis skrip sedang mengulas inti dan sisi teater PPM sambil diperhatikan oleh Sutradara teater PPM iaitu saudara Zambri Pangat. Moderator Sesi Wacana ialah saudara Mohamad Shafik.


Puan Kadariah tidak ketinggalan mengemukakan soalan kepada Pn Rahimah: Adakah PPM masih menyalin rangka dan isi bangsawan pada zaman dahulu yakni dramatari dan puisitari? Bila para penggiat teater tempatan mahu menpersembahkan teater berdialog 100%?
para pelakon mengabadikan kenangan bersama-sama para VIP

Pelancaran Kembara Daksina oleh YB Datuk Ayub Rahmat pada 8.45 mlm 12 Mac 2011

Sebaik menerima buku KD daripada Yang Berbahagia Rektor,UiTM Johor, YB Datuk Ayub sudi menurunkan tandatangan pada buku KD.  YB Datuk telah menempah 20 buah buku KD untuk dihadiahkan kepada para ketua UMNO Cawangan dan Bahagian di sekitar Segamat.
Terima kasih YB Datuk. YB Datuk juga telah bermurah hati menyumbangkan RM3000.00 kepada PPJ Segamat bagi mendanai program-program yang bakal dilaksanakan, dan ia termasuklah penerbitan buku KD ini.
YB Datuk Ayub sudi menerima naskhah pertama buku KD daripada Prof Madya Dr Omar bin Samat,Yang Berbahagia Rektor UiTM Johor

Tuesday, March 8, 2011

Kembara Daksina - Antologi Cerpen dan Puisi



Syukur Tuhan kerna mengizinkan Kembara Daksina - Antologi Cerpen dan Puisi titipan staf UiTM Johor dan UiTM Melaka berjaya dizahirkan akhirnya. Penerbitan sulung PPJ Segamat dengan kerjasama PPJ dan semua pihak amatlah mengagumkan, paling tidak menggembirakan hati semua yang terlibat.
Sebelum menjejakkan kaki di jeti Kg Mukut, Pulau Tioman yang dilatari Gunung Semukut yang berdiri megah dan indah. Kami sudah mulai menulis dan menghasilkan cerpen dan puisi untuk diserahkan kepada Pn Nisah Haron dan Dr. Siti Zainon Ismail untuk diulas dan dinilai.
Sesampai di Kg Mukut, para pembimbing bengkel telah menumpahkan segenap pengalaman dan ilmu bagi memantapkan karya peserta. Seusai bengkel, para peserta dikehendaki memurnikan karya masing-masing untuk diterbitkan.  Alhamdullilah, setelah 8 bulan berlalu, buku kembara rasa dan idea yang sempat dilahirkan di rawang daksina ini berjaya diluncur-jayakan akhirnya.
Segala penat lelah dan proses yang teramat memakan masa dan tenaga ini berjaya juga disempurnakan dengan pengglembengan usaha semua pihak. PPJ, PPJ Segamat, UPENA dan pihak atasan UiTM Johor telah sedikit banyak menyokong dan mendanai penerbitan buku KD ini. Di samping itu, setiap penulis juga bermurah hati mengeluarkan wang sendiri demi mencukupkan kos penerbitan. Tanpa usaha dan kepercayaan semua maka buku ini tidak mungkin bakal terbit. Anggaplah ia sebuah hasil yang terlahir atas cinta luhur kita kepada bahasa dan sastera bangsa Melayu.
Kulit depan buku yang dilatari Gunung Semukut ternyata menggamit perasaan dan mengimbau kenangan indah yang sempat dimesrai dan dihayati.
Syabas semua!.

Wednesday, March 2, 2011

Teater Primadona...Perahu Mimpi


Teater Primadona...Perahu Mimpi akan dipersembahkan oleh Kumpulan Inspirasi Unik dari JB pada 12 Mac 2011 jam 8.30 mlm di Dewan Kuliah Kayangan, UiTM Johor Kampus Segamat. Teater ini telah dipersembahkan di UTM Johor pada awal tahun ini.

Usaha kolaborasi antara penerajunya iaitu Persatuan Bahasa Mandarin dan HEP, UiTM Johor dengan kerjasama PPJ Segamat dan UPENA Johor.

Berikut adalah sinopsis PPM:-
Primadona seorang perempuan Timur yang bangkit kerana perempuan-perempuan Timur yang lain. Atas nama feminisme, dia membangunkan dunianya sendiri. Pada zaman itu, pada zaman yang belum mengenal perindustrian, dia mengajar perempuan-perempuan yang tertindas untuk bersama-samanya bekerja menampung kehidupan mereka dan keluarga dengan membuka tempat menari dan berhibur mengikut konsep ketimuran. Di situ tiada arak, tiada pelacuran, tiada tipu muslihat. Pelanggan yang datang dihibur dengan hiburan murni dan diingatkan agar tidak ada penyelewengan. Primadona tidak berdiri sendiri kerana ada sekumpulan lelaki dan anaknya; Bayu yang menjaga keamanan rumah itu. Primadona tidak meminggirkan lelaki kerana di situlah juga tempat lelaki yang kurang bernasib baik membina kehidupan mereka. Pelbagai rintangan dihadapi Primadona tetapi dia tetap tekal merempuh dugaan yang hadir. Primadona bukan sahaja pembela wanita, membantu lelaki malah dialah juga usahawan dan penggiat seni budaya bangsanya.

Tahun lepas PBM telah bekerjasama dengan Gerbang Unik Sdn. Bhd dari JB untuk mempersembahkan teater Tanah Lindungan Tuhan. Ini merupakan usaha kedua PBM membawa seni persembahan teater ke pura ini untuk mendedahkan warga UiTM dan Segamat menghayati teater berbahasa Melayu yang memperjuangkan bahasa, budaya, adat resam dan mengangkat martabat kaum perempuan seadilnya.
Singgahlah ke rawang daksina ini untuk mendinginkan atma seni kalian!