Thursday, April 18, 2013

Kata-kata Itu...

 
 
Kata Wan Nor Azriq, "Kalau bukan belajar untuk mencintai (dan ingat sesuatu yang telah dilupakan) sastera, untuk apakah lagi kita membaca kritikan? Barangkali untuk melengahkan waktu dan tertidur di meja ketika hujan di jendela belum reda."
 
Kalau melalui pembacaan, kita akan sentiasa bersedia(atau pun tidak) untuk mengikuti laluan yang dibawa oleh penulis(penulis yang berbobot). Kita cuba memahami sesuatu konsep baharu yang difikirkan oleh penulis.  Bumbu cerita yang berbobot mampu mencabar minda dan keselesaan pembaca.  Sama ada pembaca bersetuju atau menolak sekeras-kerasnya saranan penulis, ia tidak begitu penting, yang penting penulis telah berjaya menggejolakkan laut fikir pembaca. Moga dalam amukan ombak fikir itu akhirnya pembaca bakal menemui katarsis saat ombak mengucup bibir pantai.
 
Tidak kira apa topik atau tema yang dilontarkan, asalkan ia berjaya menarik minat pembaca untuk meneruskan penerokaan tersebut. Kadang-kadang penulis berani mencabar pembaca dengan mengetengahkan cerita yang bernuansa polemik dan bersalut kontroversi demi mencipta 'pseudo fenomena' atau sekadar menagih perhatian pembaca.
 
Anda tergolong dalam sosok pembaca yang macam mana?

Wednesday, April 3, 2013

Mengapa Perhubungan Kita Semakin Tidak Mesra?

Agak lama juga saya membiarkan laman rumah ini sepi tanpa kunjungan entri baharu. Tiada alasan yang munasabah boleh diberi selain disibuki rutin harian atau yang paling benar ialah kemalasan yang mencengkam.  Mungkin saya sudah ketumpulan ide semenjak melepaskan jawatan selaku Koordinator Penerbitan...Oleh itu, saya mengulang baca karya A. Samad Said bagi mempersiap diri untuk menulis semula kerna di situ saya terjumpa dan kadang-kadang terserempak dengan kosa kata dan ayat-ayat yang serasi...saya bukan cuba menyalin mentah-mentah cuma menangkap langgam ayat dan siur kata yang tersusun indah. 2 minggu lalu, saudara MARSLI NO telah menitipkan sebaris pesanan ringkas di layar fon genggam saya yang berbunyi, mungkin jarak dan waktu yang berbeza, tetapi pada hakikatnya kita sudah semakin tidak mesra.  Saya kata meskipun kita jarang bersapaan dan bersuaan namun jauh di sudut hati, kenangan bersama sentiasa membara...hahahahahahaa....
 
Saudara MARSLI NO juga bermurah hati mengirimi saya senaskhah Dewan Sastera edisi Mac 2013.  Selain mengucapkan terima kasih daun keladi saya juga menitip ucapan tahniah kerna terpilih menjadi Karyawan Tamu untuk edisi Mac 2013.  Banyak maklumat baharu dan sajak baharu beliau ditampal di ruangan khas tersebut.  Kerna bila kita saling kenal mengenali antara satu sama lain, makanya karya yang dibaca ternyata dekat dan melekat kemas di tangkai hati. Syabas sdr MARSLI NO.  Teruskan cara dan gayamu berkarya dan kekadang berontak dalam keunikanmu.  Yang penting beliau jujur dan terang-terangan menolak kepalsuan dan kepura-puraan yang dilakonkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Thursday, January 3, 2013

Kata-kata di pangkal tahun 2013

Ketibaan Tahun 2013 sudah semestinya disarati bagasi harapan yang bakal mendewasakan minda dan usia.  Bagasi yang terisi ilmu yang disalin daripada buku, makalah dan maya siber serta pengalaman yang dikutip di sepanjang tikungan hidup akan mengobjektifkan pegangan dan tindakan.  Di samping itu, perubahan sikap dibutuhkan bagi memudahkan ia terlentur dan tersedia untuk mendakap realiti hidup yang semakin bobrok dan ruwet. Manakala penyenaraian wawasan pula memungkinkan kita menghalatujukan matlamat yang besar dan mencabar ke lorong yang munasabah dicapai. Kita pasti menginginkan sesuatu yang baharu disuntik ke dalam minda dan urat kehidupan kita kerna rutinan biasa-biasa bakal membosankan dan dikhuatiri menyumbang kepada keputusan yang mediocre dan rapuh. Dengan adanya gajet-gajet canggih yang saban hari disogok dan terpujuk untuk memilikinya, maka diharapkan kita bisa menggunakannya sebaik mungkin dan berjaya menangkis godaan yang bersifat luaran semata-mata.  Kita harap gajet-gajet ini mampu menjadi perkakas untuk memajukan diri, masyarakat dan memartabatkan bangsa dan Negara dan bukannya menggugat dan melemahkannya.