Wednesday, July 30, 2008

Luahan Rasa



Acapkali saya diajukan soalan lazim seperti bagaimana saya boleh bersekolah di sekolah cina? Mula-mulanya terjahan soalan sebegitu memegunkan dan sesekali menyenakkan; kekadang membosankan dan kekadang terbit sinar kejengkelan apa hak mereka mengemukakan soalan tersebut. Adakah mereka kagum melihat kejayaan saya(mungkin mereka kagum dengan keazaman saya hingga membuahkan hasil); atau adakah mereka kurang yakin(sudah tentu bukan dengan saya); atau mungkin sekadar bertanya soalan kosong sahaja. Jawapan kilas beralas saya adalah segala-galanya ditentukan oleh Yang Maha Esa dan diwarnai oleh bapa saya yang bervisi dan berisi. Sudah pasti pendidikan awal anak-anak banyak diwarnai dan dilatari oleh kedua-dua orang tua dan alam sekeliling. Ia dilanjutkan kepada sekolah rendah dan seterusnya melangkah ke tangga menara gading. Hati puas seandainya berpeluang menjejakkan kaki di tangga menara gading di tanah air sendiri; barangkali lebih bertuah dan ‘bermegah’ seandainya berpeluang ke luar negara menghirup angin pengalaman yang berbeza, berpelbagai warna dan rasa. Harapan seorang bapa yang menggantungkan seribu pengharapan ke bahu anaknya untuk menimba seberapa banyak telaga pengalaman; menghirup seberapa banyak rasa dan aroma di cangkir kehidupan; dan mengutip seberapa banyak kejayaan di hari mendatang dan meluaskan ufuk minda serta mempertajam pemerhatian agar akhirnya kita langsung dewasa di dalam bahtera kehidupan dan profesion yang diceburi. Saya tidak kisah seandainya jawapan itu bakal mengundang kemusykilan atau kurang menyakinkan. Yang pasti, saya sudah bersedia memberikan penjelasan yang berterus-terang dan penuh keyakinan. Usia juga yang banyak mendewasakan kita. Usia juga yang mengajar kita berwaras dan berkira-kira sentiasa agar tindakan kita bisa menjadi teladan yang berkesan dan membahagiakan.

Tuesday, July 29, 2008

Terpancar wajah jernih 2 orang anak lelaki berusia awal 40-an mendakap penuh kasih sayang tubuh ibu mereka yang tua dan uzur. Wajah ibu berkerepot dimamah usia,dan herot akibat serangan angin ahmar. Jasad lemah longlai itu menggantungkan segala urusan di bahu kedua-dua anaknya. Tangannya menggeletar, sesekali menyentap-nyentap. Pandangan matanya kosong dan sayu tidak bermaya. Suatu ketika dahulu, tangan itulah yang menyuapkan nasi ke mulut mereka; tangan itulah yang memimpin mereka bertatih mengorak langkah pertama; tangan itulah juga yang melindungi mereka dari cuaca dan bahaya. Ketenangan yang terlukis di wajah kedua-dua anak lelaki itu berjaya menguntumkan bunga-bunga kekaguman dan mengocak tasik pujian di hati kecil ini. Mereka tidak mendambakan itu semua namun suratan takdir diterima dengan penuh keredaan dan kesyukuran. Reda menerima seadanya tanpa mengeluh walaupun hati luluh melusuh; bersyukur kerana diberi kesempatan melayani ibu kandung sehingga dia menutup mata tanda penuh kepuasan dan kebahagiaan-itu nikmat yang tak terungkap; sebaliknya bukannya dijaga oleh orang lain yang belum tentu ditatang seperti minyak yang penuh; dilayan dengan lembut agar hati ibu tidak tersisih dan merajuk jauh. Apa yang dilakukan oleh mereka sekelumit jika dibandingkan dengan selautan kasih sayang dan selangit pengorbanan yang telah ibu mereka curahkan.

Monday, July 21, 2008

mendengik sang rawi di dedaun jendela


kau mengucup segelung tasbih di penjuru senja
sejemput azan mengoyak keliman dosa
nyanyian ayat-ayat cinta meruntun jiwa

dulu berbusana indah seghairah bara
melebur waja hati penggoda
tawar-menawar menjaja permata
berkubang onar merendang nista
setelah pintu rahim dirobek durjana

kini lawang nubari diketuk tangan-tangan taubat
suaranya bergema ke sarwa urat-belikat
ingin menyeberangi pulau asa
melempar jauh timbunan album dosa
mendengik sang rawi di dedaun jendela

Ilham Ainol
Segamat,Johor
16/7/08

Tuesday, July 15, 2008

dengarkanlah deguran ombak cintaku



dengarkanlah deguran ombak cintaku
wani mengusap pantai kasihmu

apakah cahaya yang diguna
kerna rona berpetala
mesra menghuni di sarwa lara
indahnya setolok bianglala
terkilas di permukaan durja

apakah pesan pada pawana
sering ia ada
mesra terasa

apakah suara berbisik
menjeru ke pesisir cuping inderaloka
nyanyian sekuntum mawar gemersik
mengiringi lenaku di pangking bahagia


ilham ainol
segamat,johor
15/7/08

Monday, July 14, 2008

kembalikan sesayap cinta itu


kembalikan urna putih di segara nubari
mencecah ilmu yakin dan pekerti
leburkan darah dan resah semalam
bumbu teristimewa sumber ilham
lepaskan jerutan pada leher demokrasi
isikan dulang akal dengan kasih sejati
enak menjamah nikmat ketuanan
berabad dibuai semilir keamanan

ilham ainol
segamat johor

14/7/08

Friday, July 11, 2008

Pengalaman Menulis...









Pengalaman menulis (sekurang-kurangnya bagi saya) sejujurnya amat membahagiakan. Kebahagiaan yang dikecapi sesungguhnya manis dan mengasyikkan. Penulis menulis selepas didakapi inspirasi membujuk, dan barangkali inspirasi itu terkilat setelah berkesempatan menggauli seakrabnya karya-karya agung penulis-penulis yang disenangi dan serasi. Penulis bertindak sebagai pencerita yang pintar lagi lincah merakamkan setiap detik rasa; menyalin kilatan-kilatan peristiwa yang berbaur mesra di siar kaki kehidupan seharian; dan mungkin berhasrat mencerminkan kejadian-kejadian yang sedang berlangsung di sekeliling untuk diabadikan agar para pembaca dapat menghayati lantas melestarikan kehidupan mereka supaya lebih terasuh mindanya dan terdidik tingkah lakunya. Ada juga penulis barangkali cuba “mendidik” pembaca dengan lontaran falsafah dan didaktik yang diyakini mampu merubah peta minda atau seupaya mempengaruhi keputusan yang bakal diambil agar perubahan yang dihasilkan amat memanfaatkan. Penulis juga seikhlasnya cuba mengelakkan daripada “menunjuk-nunjuk” atau barangkali cuba “mengajar” pembaca yang sedia terdidik dan pintar lagi celik hati. Ada juga segelintir penulis, menulis cuma sekadar menglipur lara atau cuba menyuntik ubat lelucon ke dalam jiwa yang ‘sakit’ oleh kepenatan dan kelelahan urusan dunia yang senada dan tak berkesudahan.

Novel Salina dan Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said dizahirkan setelah penulis jenuh memetik awan-awan pengalaman yang pernah beliau harungi ketika gabak di kaki langit Serangoon Road, Victoria Street, French Road, Lorong Lalat dan Rangoon Road di Singapura pada lewat 30-an dan 40-an, menitiskan “hujan pengalaman” yang amat mendera dan memedihkan. Kilatan-kilatan peristiwa akibat cengkaman peperangan; berlari menyelamatkan diri ketika bom-bom berguguran; ketakutan yang amat dahsyat dan ketidaktentuan masa depan serta kekecewaan yang menghenyak jiwa wajar dirakamkan agar generasi muka diasuh menghargai kebebasan dan kemerdekaan yang sedang enak dikecapi namun mudah juga dilupai. Awan-awan peristiwa ini juga yang akhirnya turun menjadi ‘hujan seni’ lalu menguyupi bakat seni yang tersedia digilap oleh ketekunan dan kegigihan seseorang penulis. Selain daripada itu, A. Samad Said juga tidak jemu dan tidak segan mendalami karya-karya agung nukilan Keris Mas, Harun Aminurrashid, Abdullah Hussein, Ishak Haji Muhamamd, Hamka, Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Hemingway, Pearl S. Buck, John Steinbeck, Boris Pasternak, James Coatzee dan penulis-penulis lain yang besar lagi gah.

Keris Mas, Harun Aminurrashid, Abdullah Hussein, Ishak Haji Muhamad dan Usman Awang serta A. Samad Ismail, cuba menyampaikan gagasan dan pesanan kepada para pembaca agar bangun menentang penjajahan dan kebejatan sosial. Mereka gemar menyelitkan laungan kedaulatan dan ketuanan di celah-celah kehidupan bagi menyedarkan bangsa yang lesu dan lemah setelah berkurun-kurun dijajah dan dilapah seenaknya oleh penjajah durjana. Mereka berani menyindir bangsa sendiri yang lekas lupa diri dan cepat berpuas hati dengan keadaan semasa. Kerana memikul tanggungjawab agama juga, makanya mereka sedaya upaya cuba mendidik, berpesan dan menyarankan agar bangsa sendiri mematuhi peraturan illahi agar hidup diberkati bukan hanya menyarung “baju agama” tetapi compang-camping sana-sini dan tidak “dibersih” serta dijaga. Dari sisi mendidik pula, mereka tidak lokek memperturunkan cara berbudi tapi masih bersemi adat Melayu yang santun dan halus. Kehalusan budi dan kesantunan cara sewajarnya menjadi tiang seri kehidupan yang semakin hari terhakis oleh taufan nilai barat yang bebas dan kekadang membingungkan.

Ernest Hemingway, J.F. Scot Fizgerald dan James Baldwin pula menulis bagai air mengalir tatkala mereka bertekad mengasingkan diri di bumi asing (Perancis) kerana tidak lagi merasa bebas berkarya di bumi sendiri iaitu Amerika. Mungkin sukar ditelan tetapi itulah hakikat yang perlu didepani mereka kerana celupan dakwat dan larikan kata-kata tidak lagi menjadi dan berbisa seperti selalu. Makanya, jalan keluar yang diambil pastinya memedihkan tetapi hasilnya cukup membanggakan. Begitu juga Arenawati merasa tidak tenteram berkarya di negaranya sendiri iaitu Indonesia, mengambil keputusan berhijrah ke Malaysia untuk melestarikan dunia kehidupan dan seninya. Manakala, Mo Yan dan Gao Xingjian dari China terpaksa berkarya di luar wilayah yang tidak biasa dihuni tetapi hasil seni yang dizahirkan akhirnya amat terpuji kerana mempunyai nilai seni yang amat tinggi malah merentas batas ideologi semasa dan masa.

Tidak kira apa alasan atau latar yang membentuk dan mewarnakan kanvas kehidupan pengkarya. Yang penting, berkat kecintaan dan ketulusan bergelumang di medan seni dan sastera telah lahir karya-karya yang berkesan dan mewakili zamannya. Hasil yang memberangsangkan wajar dihargai dan diberi penghormatan yang sewajarnya agar ia tidak disia-siakan dan dipinggirkan. Bagi generasi kemudian dan pencinta seni wajar mengunyah dan menghayati mesej-mesej yang dihantar. Falsafah dan sejarah yang diselitkan di dalam karya-karya tersebut mengandungi hikmah dan pengajaran yang besar dan memanfaatkan. Kita cuma perlu mencuri sedikit masa daripada kesuntukan rutin harian untuk merenung sejenak, untuk memikirkan cukupkah jiwa ini jika hanya ditaburi cahaya material tanpa menikmati “hidangan” karya-karya agung bangsa sendiri? Penghayatan dan penghargaan yang sewajarnya dapat memanjangkan hayat karya-karya tersebut, dan pembaca-pembacanya pula terisi mindanya manakala martabat bangsa pula berjaya diangkat ke tingkat yang lebih tinggi.











Thursday, July 10, 2008

7 petala diam

7 petala diam

lumrah alam
manusia tenggelam
dalam diam
kerna mata terpejam

usah berdendam
rujuk kalam dalam-dalam
pasti terjumpa nur di dalam

ilham ainol
segamat,johor
8/7/08

Monday, July 7, 2008

Harum Mawar Wingit Di Segara Cinta


Kau dimesrai pabila sayap cinta melayap ke jantung segara
Berurna kirmizi terpercik keindahan di dada sukma
Mauduk cinta menangkap cicipan salam syahdu tertera
Dibelai mesra dan diiringi warkah sarat mengendong rusuhan rasa
Pojok rindu tertujah sembilu pawana kesuma
Meruntun kalbu memanggang raga
Bisikan dan rayuan bersenandung di pangking bahagia
Mencipta kisah sehebat cinta Rabbiatul Al-Adawiah
Gemilang bersemadi di lipatan sirah
Mungkin tidak seromantis pertemuan Samson dan Delilah
Dan, tidak seindah seribu bianglala menabiri pentas cinta Uda dan Dara
Kisah-kisah mereka seharum mawar wingit di taman syurga
Aku cuma memetik tuah bersulam kesyukuran di setiap kesempatan tersua
Seusai pojok yang terbina megah beribu tahun jenuh dibicara


Ilham Ainol
segamat
6 Mac 2007

Friday, July 4, 2008

pasar raya fitnah



cangkir politik pojok sini tertumpah
terkena ekor harimau tempang lalu menyumpah
lalu jadikan dewasa ini pasar raya fitnah
kasihan penoreh getah pengait sawit rebah
tercekik sebutir nasi bernilai emas
ia sekadar sisa di kamar nubari yang tak pernah puas

teratak Damai berkecai dihempas batu fitnah
atapnya dibakar panahan umpat keji bernanah
dinding dirobek badai kontroversi memusnah
lantainya dimamah anai-anai hasad tak kenal erti lelah

sebelum ditumbangkan sebatang pohon prinsip nan mudah patah
segala kata-kata dahsyat dan menyayat didedah
durja terpalit lumpur malu bila anak kecil bertanya pada abah
apa itu liwat, fitnah, sumpah palsu dan seranah
terpampang pada durja warkah
demi mengaut untung melimpah

malangnya ia bakal kekal tercatat di lembaran sirah
warisan ini dijadikan bekalan
jawaplah leluhur di gerbang masa depan
pangkalan yang menyesak dan menmualkan

ilham ainol
segamat,johor

*luahan rasa dan resah pada kegawatan dan kebobrokan cangkir politik semasa


Thursday, July 3, 2008

Sebungkus mee politik hambar



semangkuk mee berperencah hasad
diperpekat niat tersirat
menghirup rakus kuah durjana
pijar terjelir lidah berbisa
bisa tertumpah busana ternoda
durja terpalit percikan nista
sisa terbelit leher jelata
tercekik dek kelahapan kuasa
terguling-guling di lantai massa
leher dipenggal sang algojo masa
tertitip sirah pengkhianat bangsa
kini, juadah sama ditukar nama
dijamah jua oleh yang alpa


ilham ainol
segamat,johor


Gandhi Itu Simbol Kesederhanaan

Pada suatu hari, sejurus selepas menaiki sebuah keretapi, salah satu kasut Gandhi terlucut lalu terjatuh ke atas landasan. Beliau tidak berupaya mengambilnya kerana keretapi sudah mulai bergerak. Kemudian, para sahabatnya hairan melihat akan gelagat beliau pada masa itu; beliau dengan tenang menanggalkan sebelah lagi kasutnya lalu melemparkannya ke atas landasan agar ia jatuh berhampiran dengan kasut yang terjatuh tadi. Salah seorang penumpang bertanya dan beliau menjelaskan bahawa “bagi sesiapa yang terjumpa kasut itu nanti bakal memiliki sepasang kasut yang boleh digunapakai.”
Melalui pengkisahan kecil di atas kita boleh membuat beberapa rumusan berkaitan sifat mulia seorang pemimpin India yang agung dan amat berjasa.
Pertama kali, beliau telah mempamerkan sikap tidak mementingkan diri. Meskipun beliau berada di dalam suasana segenting itu, malah dalam suasana yang “merugikan” ternyata beliau masih sempat menyerahkan barang milik peribadinya kepada orang yang lebih memerlukannya. Biarpun beliau bakal menghadapi kesulitan, dan barangkali mendepani situasi yang “janggal” maupun “memalukan”. Sikap suka menolong yang bersungguh yang dizahirkannya bukan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah sebaliknya ia tindakan spontan yang luhur terbibit lalu meranum hasil daripada didikan jernih dan santun semenjak dahulu lagi.
Dari sisi lain pula, gemar berkongsi merupakan sikap santun yang terpuji. Beliau tahu, kekadang barang yang dimiliki bukan milik kita seorang secara mutlak. Oleh itu, perlakuan perkongsian itu mampu menyuluh sinar bahagia di sanubari yang terkadang “digelitakan” oleh sikap tamak dan haloba.
Selain daripada itu, sikap memberi dituntut oleh agama kerana tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Orang yang berada dan mampu dianjurkan menyerahkan sebahagian daripada harta miliknya kepada mereka yang berhak menerimanya. Masyarakat yang saling membantu mampu melahirkan masyarakat yang harmonis dan berkasih-sayang yang tidak “kemarau” hatinya kepada penderitaan orang lain maupun “kosong” jiwa-raganya kepada kejadian ketidaksamarataan dan ketidakadilan yang melata di depan mata.
Seterusnya sikap optimis yang terkesan mendorong semangat untuk mara ke hadapan. Ia juga mampu mempengaruhi orang di sekeliling memajukan diri meskipun kepayahan melingkar jiwa, morale terbenam di dasar lara dan kekurangan serta kecacatan diri membantutkan usaha-daya. Menggengam erat sikap optimis ini mampu menepis segala kekurangan yang membelenggu diri lalu pantas menyemarakkan hasrat untuk membebaskan diri demi menuju ke gemilang jaya.
Pemimpin yang mulia dan berwawasan memakai “baju” aspirasi untuk diikuti dan diteladani oleh sang rakyat jelata. Gandhi memimpin sambil menjunjung sikap kesederhanaan dan berperikemanusiaan kepada rakyatnya. Beliau juga meniup angin perubahan kepada “hati” manusia agar mereka jadi yang terbaik, terbilang dan mulia. Beliau yakin bahawa manusia akan lebih “kaya” pabila mereka ringan memakai “baju ehsan” selembut sutera; menyarung “seluar jiwa” seindah bidadari; dan dilengkapi sepasang “sepatu” selesa bersendi hukum menjujung buana di jemala waras berwawasan, yang terpenting berakar budaya mendukung bangsa. Setelah “didandan” dan “diadun” maka berjalan megah di pentas buana penuh bergaya meskipun rezeki yang diraih sekelumit cuma dan poket terisi separuh penuh. Namun, hati menguntum senyuman puas di taman jaya manakala bahtera kehidupan dilayari bahagia,dan dengan penuh keyakinan dan kemegahan. Benar kata Gandhi, “Kamu adalah agen perubahan yang kamu dambakan bertiup kencang tapi “mesra” di buana penuh pancaroba ini.”