Monday, October 12, 2009

Sejadah Berzikir


sejadah terhampar jutaan zikir diucap senyap
kala manusia disibuki rencam hidup merayap
menjadi wilayah pestaan debu waktu melayap
dikontangi pijar dosa dihapaki hijab meranap
aku cuma menagih tujuh sentuhan sujud itu
akumendambakan titisan wuduk syahdu persis harum madu
wangi semerbak menyeluruhi rerongga kalbu
menutup siur laluan syaitan musuh nyata itu
pengorbanan huma mengagungkan Yang Satu

perlukah akumenzahirkan semua itu
dengan kudrat melengkung sujud
menadah tangan menyampai maksud

anehnya kau pucat terkujat atma kerusut mendulang persoalan
keterpempanan mengoyak helaian kebijaksanaan
bukan mengiktibari secuil perujian
lalu dilayani keinginan dan kesasauan
yang bakal menyimpangkan akidah dan iman
ternyata kamu taksub dan mudah termakan
halusnya umpanan iblis dan candaan syaitan

pulanglah kamu ke pangkal jalan
mengingati-Nya penuh tawaduk di segenap kesempatan
melafazkan zikir memperkasa iman
moga diperlurus jalan yang tersasar di penghujungan

Ainol Hasanal Bin Jalaluddin
@ Ilham Ainol
12 Oktober 2009

Monday, October 5, 2009

Sekam Mengemam Prasasti Semalam


Kau menggulai lahar dendam
Di dalam kuali panas berkarat hitam
Tersarang dari sekam prasasti semalam
Seolah si bayang gelemat mengherdik malam legam
Sengaja gemar mengganyang si kerdil
Kerna malu akan kekerdilan diri terpencil
Di sisi malam meronta menempik tidak adil
Hakikatnya kau memang pembuli yang pekak dan tuli
Buta lagi hina cuba mengalihkan tumpuan realiti
Akan kebejatan yang melata di wilayah diri
Kerna kepongahan pemimpin dan dasar yang berduri
Hasad melihat kekuatan yang dimiliki si maling
Pada hal kau lah maling di bumi asing
Bertandang tanpa diundang
Berbondong-bondong meraih peluang
Tidak puas kau menjelma menjadi petualang
Menghuni kamar geriji kerna tergiur kilauan emas
Menghantar jerebu melangkaui sempadan, kami lemas
Pabila tsunami dan gempa mengganas
Kami juga yang menghulurkan tangan
Kini,oleh kesilapan yang huma kau kesasauan
Ingin menyapu warga yang tidak berdosa,terpana
Di manakah letaknya budi dan jasa?
Sedangkan tanganmu berlumuran lumpur hina.

Ainol Hasanal Bin Jalaluddin
Segamat, Johor
15 Sep 2009


* Sajak ini telah diterbitkan dalam akhbar Berita Harian pada 3 Oktober 2009.

Monday, September 28, 2009

Mekar Pohon Bangsa


Akar bangsa
Berpaksikan pada taat setia
Tradisi indah mesra terjana
Seia sekata
Badai taufan dijinak bersama

Akal bangsa
Warga oh Malaysia
Pencapaian dimuliakan
Transformasi menzahir hasrat pimpinan
Tetap kekal menjunjung amanat
Amanat

Cekal bangsa melakar pedoman
Satu Malaysia jadi amalan
Tetap kental mendukung amanah
Rakyat dan pencapaian dicecah
Kekal mara negarawan yang Satu
Baktimu kan tertanam kukuh di kalbu
Ainol Hasanal
Segamat,Johor
12/9/09

Thursday, September 10, 2009

Dari Pintu Ramadan Ke Lawang Syawal


pintu karnival ibadah terkuak mesra
meredam rasa sepurnama lama
berpesta lapar bersenandung dahaga
menebar jala ibadah mengutip mata
untuk ditebus di penjuru masa

betapa indah segak busana
bercorak tarawih witir pesona
sedekah tadaruz kalam dicerna
mengumpul sebanyak laba dicita
syukur tawaduk takwa mulia

nubari menguntum bebunga ketenangan
syawal digelar hari kemenangan
mengikis hasad bakhil dan bangga
bermaaf-maafan tangan disua
khusyuk memohon keampunan-NYA
mengalun takbir tahmid dan doa
fitrah dilunas mensuci hening dosa
kunjung-mengunjung mengerat rasa
menziarahi pusara sanak saudara
moga praktis kekal selamanya
bertambah cemerlang buku catatan-NYA

Friday, September 4, 2009

Terima Kasih Alain Robert

Insiden “Spiderman” berjaya menawan puncak bangunan berkembar PETRONAS di Kuala Lumpur baru-baru ini amat menggemparkan dan memalukan. Mungkin dari sisi lain,ia terpuji dan membanggakan.
Terpuji kerana Alain Robert Phillippe telah mempamerkan semangat berani menangani perasaan takut dalam diri. Dengan menggunakan kaedah dan ilmu yang betul maka sesuatu aksi yang berbahaya dan mustahil dapat dilaksanakan dengan mudah dan selamat. Meskipun Alain pernah gagal dalam percubaan pertama beberapa tahun dahulu namun kegagalan tersebut telah menyuntik semangat agar terus mencuba sehingga meraih kejayaan akhirnya.
Dari sudut lain pula, hasil daripada pencerobohan tersebut maka tersebar-luaslah berita ‘kejayaan’ tersebut ke seantero dunia dalam sekelip mata tanpa Malaysia mengeluarkan satu sen pun untuk mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia.
Perkara yang membingungkan pula terletak kepada bagaimana bangunan berkembar tersebut dapat dengan mudah dibolosi. Adakah langkah-langkah keselamatan di situ terlalu rapuh? Di mana kamera CCTV dan pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas? Ia sedikit sebanyak mendedahkan kepincangan dan kelemahan pengurusan di pihak pengendali bangunan milik PETRONAS tersebut. Ia sesungguhnya telah mempalit lumpur di muka Malaysia di persada antarabangsa. Sekali gus mendedahkan kemungkinan bangunan tersebut mudah dibom, dan mungkin diceroboh sekali lagi. Dalam kes ini ia telah diceroboh oleh seorang penceroboh tanpa membawa atau menggunakan senjata. Tak perlulah kita mendabik dada dan berbangga dengan memiliki bangunan pencakar langit yang gah tetapi pada hakikatnya kita gagal mengurusinya dengan sebaik mungkin.

Monday, August 24, 2009

Ke Wilayah Rahmah Mengibar Sesayap Taubat


Kusinggah ke wilayah rahmah penuh barakah
Setahun mengingsut-ingsut menanti penuh resah
Kerna sibuk mengumpul debu-debu dosa
Sepatu waktu dikotori hasad dan haloba
Menyerakahi fana dan menjamah waktu bersisa
Bukan kembali berlumba-lumba kepada-Nya
Namun wilayah ini hadir tanda ehsan-Nya
Tulus menumpukkan padi kasih di kepuk lena
Beruntunglah mereka yang menampinya
Sawah diairi ibadah dengan jalur air kesyukuran
Mengalir meladeni kehidupan menyegar sosok batin
Memupuk ukhuwah sesama insan bergentayangan sesayap taubat
Hinggap bahagia di ranting senja galau terubat.

Ilham Ainol
Segamat,Johor
23 Ogos 2009

Friday, August 21, 2009

Ujana Cinta

Sepasang uda dan dara menghuni ujana cinta
Mencicip harum kasih pertama kalinya
Segenap perhatian tertumpu indah tak terkata
Saat berpisah gelepar sesayap rengsa
Pucuk-pucuk rindu terbit menghijau
Saat dinihari hening kejap mengimbau
Kerak-kerak memori mendasari lantai waktu
Titisan embun melebur pepuing sendu
Sejeda cuma termampu menggempur lelahar rindu
Harap berkekalan memujuk kalbu
Sirna kala mentari setia merungkai palsu


Ilham Ainol

Segamat, Johor
21 Ogos 2009