Wednesday, January 26, 2011

Pagi nan basah


Seluruh pagi Rabu basah diguyuri air alam. Ia diturunkan sejak awal parak siang tadi. Hujan akan setia menumbuhkan rasa dan ilham.  Kekadang ia bisa menghantar minda dan hati ke ufuk kenang.  Terkenang akan peristiwa manis dan pahit, atau mungkin terkadang kelat dan pedas. Namun, ia tetap akan disimpai erat sepenuh nikmat. 

Semalam berlabuh tirai AGM PBM.  PBM kini dibarisi ahli yang secara halusnya segar dan pijar semangat dan tindakan mereka.  Selaku Penasihat, saya menyimpan jalur gembira untuk mengindahi hari mendatang yang penuh gelora. Kolam rasa pula diriaki kesyukuran kepada-Nya.  PBM di bawah pimpinan Sdr. Sazwan dan Nurul Syuhaida serta anak-anak buah mereka bakal meneruskan misi dan wawasan persatuan yang sentiasa selari dengan aspirasi universiti.

Di dalam seliratan rutin hidup sebagai mahasiswa yang sering menggumuli kuliah dan serdak ilmu makanya pada tingkat-tingkat tertentu kehidupan mereka perlu disandarkan sesedarnya terhadap Kemahiran Insaniah. Terkadang pengalaman yang ditimba amat berharga saat berkerjaya, berkeluarga atau memimpin sesebuah organisasi. Ia bakal membantu meluruskan perjalanan yang pasti berliku dan perih.  Berkat kesabaran dan ingatan kepada ajaran dan pengalaman yang dikutip sepanjang meniti hidup pasti bisa mencipta kecemerlangan.  Insya Allah.

Tuesday, January 18, 2011

Bayang Hayat


perca-perca mimpi meluruh
kala terlena di kasur lusuh
sesekali disergah kilat menyuluh
suara hujan sendu enggan meluluh
saat melihat purnama tergigil peluh
berderaian airmata langit menyentuh
kalbu hayat tepu seluruh
membaca bahasa alam amat berpengaruh
kelam dibayangi hayat rindu nan rapuh...

Sunday, January 16, 2011

Mengutip Syukur


pinjamkan bebenang yakin
agar mudah kujelujur semula
lelangit hidup yang dirabaki topan hawa

izinkan aku menghimpun serdak Rahmah-Mu
untuk kupasakkan ke pohon iman
menitip iman di sisa usia
membasahi bibir atma
dengan jutaan zikir dan limpahan doa
moga ia bisa merenjis segara neraka
meskipun setitis setinta
sesungguhnya kusyukuri sepenuh reda.

Ainol Hasanal
PPJ Segamat

Friday, January 14, 2011

Salam Kasih Masih Dipinjamkan Umur



Hari ini Yang Maha Esa masih menumpahkan segenap rahmah-Nya kepada saya.  Tangga usia didaki sesetianya dan kini menginjak ke angka 48.  Pelbagai kenang dan rasa bergentayangan dan berputar di penjuru minda yang sedar dan insaf.  Sebab itu saya sentiasa mensyukuri sekujur rahmah-Nya dan segala kesempatan yang dihamparkan.  Saya doakan moga kedua-dua ibubapa saya, Tn Hj Jalaluddin bin Idris dan Pn Hjh Zaharah Mohd Ali sentiasa di bawah lindungan-Nya.  Saya sentiasa menghargai kesempatan yang diberikan-Nya kerna setelah mencecah usia setua begini DIA masih meminjamkan kedua-dua ibubapa saya.  Seterusnya saya mendoakan moga isteri dan kedua-dua anak perempuan saya juga menjadi insan yang solehah yang saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi.  Saya juga memohon agar DIA masih mengizinkan saya beribadat sesempurnanya dan sebaiknya. Saya juga ingin mendoakan agar semua pelajar dan umat-Nya diberkati dan diberikan kebahagian di dunia dan akhirat.  Juga mohon disampaikan salam takzim kepada junjungan besar kita. Amin.

Thursday, November 11, 2010

Kolokium Hak Cipta Penulis di Pagoh 7 Nov 2010

singgah solat di Masjid Panchor di tebing sungai Muar
Kolej Komuniti Pagoh di Pagohjaya
En. Amirrudin (Ketua 1 PPJ) dan YB Datuk Dr. Sharuden,ADUN Jorak
(mantan Pengarah UiTM Johor)

Ustaz Ahmad Nawawi dan Lee TL turut hadir

Wednesday, November 10, 2010

Ceramah 1Malaysia di Jementah 5 Nov 2010

bersama YB Datuk Dr. Lee Hong Tee, ADUN Jementah, perasmi Ceramah 1Malaysia

 peserta dan ahli Persatuan Chunghwa Jementah sedang menunggu acara bermula

Tuesday, October 5, 2010

Pertandingan Pengucapan Awam Bahasa Mandarin 2 Okt 2010 di UiTM Kota Samarahan Sarawak

usai pertandingan, foto diabadikan. Nor Izzati, Chong Peng Hwa, Ainol laoshi dan Sufian sempat berfotoan di pentas yang berlatarkan banner "Kehijauan Satu Dunia"
Giliran Izzati melontarkan pendapat tentang tema Kehijauan Satu Dunia.

Sufian pula santai dan bersahaja mengutarakan ide.

Azizin laoshi, Ainol laoshi dan Chirstina laoshi. 3 orang laoshi bukan Cina yang mengajar Bahasa Mandarin di UiTM Malaysia, Shah Alam, Segamat dan Kota Kinabalu. Azizin pernah ke Beijing menuntut ilmu, manakala Ainol dan Tina ke NCCU,Taipei,Taiwan.
Neslo Tabur Dinosaur dan Teh 3 Lapis
minuman popular di Kuching: nyaman sekali...
ayuh! naik tambang ke seberang, ke Kg Buaian dari jeti berhadapan Hilton. makan laksa Sarawak, mee kolok, nasi ayam penyet ,umai dan mee jawa. nyaman amat!

makanan dalam penerbangan MAS ala kadar, tidak nyaman dan membosankan...
kecuaian staf kaunter daftar masuk MAS di Senai,bagasi saya dihantar ke Tawau bukan
ke Kuching. geram,kecewa dan marah berganda setelah membelanjakan hampir
 RM400.00, saya hanya dibayar ganti rugi RM80.00. harga sebuah kecuaian yang
melampau!
 kecewa, namun aku reda...