Wednesday, July 29, 2009

Setitis Asa Selaut Resah


Sepicis kuasawan membibit duri-duri benci
di celah-celah belulang mual murba seteru mendengki
Seolah olengan amarah yang kelak merebah benteng suci
musnah sesawah padi pembina jatidiri
Namun relung-relung hati murba mudah dipermuluk semilir iri
menyucuk perdu nubari yang mulai meresah
Kala penjuru maya acapkali mewar-warkan kepesongan kisah
kebobrokan dan ketololan para kuasawan yang kesasauan
Enak memenuhi kantung dengan keuntungan singkat
Menabur janji muluk menyingkap luas jendela asa bertingkat
Usai sandiwara bertempiaran menjamah serakah
persetan nasib jelata mencecah kuman-kuman memusnah
Menular sakit perih pada garisan yakin
Malam yang menjelma semakin dingin
Anak-anak tanpa selimut menghangat jasad batin.


Ilham Ainol
Segamat, Johor
27 Julai 2009

Tuesday, July 28, 2009

Yasmin, Kau Ke Negeri Akhir Itu


Terpempan mendengar khabar
Yasmin diserang ahmar kala bincang panjang lebar
Langsung rebah koma majlis hingar-bingar
Setelah bertarung nyawa kurang 48 jam
Kau menuju ke Negeri akhir dengan mata pejam
Tinggallah tugas bertimpa-timpa butuh dimuktamadkan
Namun kau berjaya meninggalkan sebagasi hasilan
Karya bermutu bernafas baharu kekadang mengundang perbahasan
Kau tuli pada jeritan konvensi dan penjilat tradisi basi
Yang penting genre ini perlu disuntik sari berisi
Bervisi melangkau dimensi basa-basi
Menterjemah kehidupan sebenar di layar maknawi
Ditatap diiktibari moga bidang ini tetap melenterai
Kangkang industri yang kian mengecil hilang arah tujuan
Seringkali tewas pada gunting sakti yang kesasauan
Dihimpit kos meninggi dihambat pelbagai garis panduan
Akhirnya mengusung pesakit yang kian nazak itu
Yang dipersesak para zombi toyol hantu dan Xanado
Hanya kau wani membungkus kebobrokan melata
Babak dan dialog yang dibekal bisa mempersegar tangkapan lensa
Mencipta karya agung tersorot bangganya di persada sutradara.


Ilham Ainol
Segamat, Johor
28 Julai 2009

Monday, July 27, 2009

Iklim Siasah Resah Berulang






















Sini merampas hampas
Sana mengganas panas
Rakyat tertindas lemas
Semua terpangkas nahas


Ilham Ainol
Segamat, Johor
27 Julai 2009

Tuesday, July 21, 2009

Lompat Si Katak Lompat











Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Usai Pak Waibi menang undi
Janji ditabur mohon dilunasi
Risau dibaling sepatu berdaki

Ilham Ainol
Segamat,Johor
18 Feb 2009

Thursday, July 16, 2009

Memujuk Gabak Berlalu
















Langit cemerlang digabaki awan kelabu
Rindu memalu gegendang kalbu
Desingan membingit segenap penjuru
Hati terkesima tersimpuh malu
Kupujuk gabak sarat berlalu
Usapan lentera menyerlahkan wajahmu

Ilham Ainol
Segamat, Johor
16 Julai 2009

Wednesday, July 15, 2009

Kotakkan Sunyi Itu
















Sunyi hadir di celahan belulang rindu
Menusuk kalbu sesak bertamu
Lalu kuperangkap ia di setiap penjuru
Namun gemanya masih bertalu


Ilham Ainol
Segamat, Johor
15 Julai 2009

Tuesday, July 14, 2009

Harum Mawar Wingit Di Segara Cinta














Kau dimesrai pabila sayap cinta melayap ke jantung segara
Berurna kirmizi terpercik keindahan di dada sukma
Mauduk cinta menangkap cicipan salam syahdu tertera
Dibelai mesra dan diiringi warkah sarat mengendong rusuhan rasa
Pojok rindu tertujah sembilu pawana kesuma
Meruntun kalbu memanggang raga
Bisikan dan rayuan bersenandung di pangking bahagia
Mencipta kisah sehebat cinta Rabbiatul Al-Adawiah
Gemilang bersemadi di lipatan sirah
Mungkin tidak seromantis pertemuan Samson dan Delilah
Dan, tidak seindah seribu bianglala menabiri pentas cinta Uda dan Dara
Kisah-kisah mereka seharum mawar wingit di taman syurga
Aku cuma memetik tuah bersulam kesyukuran di setiap kesempatan tersua
Seusai pojok yang terbina megah beribu tahun jenuh dibicara


Ilham Ainol
Segamat
6 Mac 2007

p.s : Puisi ini sudah diterbitkan dalam Majalah Sastera.Net Edisi 6 (Jan-Mac 2009)