Friday, August 27, 2010

Laut

Kau lena di dalam dakapanku
dengkuranmu mengundang tanya
adakah lenganku lautmu
kudakap lagi lalu kau terlena
lantas benakku berfikir
kita adalah seluruh segara
zuriat kepada laut
dan kau adalah isteriku.

Ilham Ainol
PPJ Segamat
27 Ogos 2010
(terjemahan sajak Zhou Tianpai:Sin Chew Jit Poh,15/8/10)

Monday, August 23, 2010

Puasa Si Cilik














Mak, adik dah masukkan siang dalam botol gelap
biar malam jadi siang siang jadi malam
Puasa ini amat melapar-dahagakan.

Tuk, adik petik bulan di langit
Masukkan ia ke bilik gelap
Kerna kawan-kawan suka melastik bulan
Mereka hendak Ramadan melompat ke Syawal

Adik, Allah sudah berjanji
Janji-Nya benar berinti pasti
Bagaimana helah cuba mengakali
DIA pasti sudah maklumi lagi mengerti.

Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat
23 Ogos 2010

Thursday, August 12, 2010

Salam Mampir Ramadan


Silalah mampir wahai Ramadan yang mulia dan diraikan. Kau bertamu lagi setelah setahun mohon pergi. Wajahmu dilenterai sejuta bintang berkerdipan di langit hikmah. Senyumanmu mencairkan beku dosa. Suaramu menenangkan kalbu bergelora. Langkahmu penuh yakin membawa kabar gembira. Terima kasih kerna sudi hadir di celah belulang sisa hidup ini.

Seribu kemaafan dan keampunan dipinta dari semua. Semoga bulan yang penuh berkat dan kemuliaan ini diraih semaksimanya dengan amalan dan ibadah yang ikhlas.
Semuanya kerna-Mu Ya Allah.

Friday, August 6, 2010

Resipi Kenangan











记忆料理 Resipi Kenangan
2010/08/03 3:47:50 PM Nan Yang Siang Pau

◎马盛辉【诗】 Ma Shenghui

某些记忆 ada kenangan

不适宜爆炒 tidak cocok digoreng berapi

只适宜凉拌 hanya cocok dikerabukan

好不好吃 enak atau tidak

始终在于 terletak pada

你怎么调酱料 cara bagaimana kamu menggaul ramuan sosnya

懊悔啊悲情啊什么的 sesalan maupun kesedihan

还蛮贵的 masih dikira mahal

放一点点就好 molek diletak sedikit-sedikit


梦幻去皮后 setelah kulit impian dikupas

烤至微黄即可 memadai hanya dipanggang sehingga kekuningan


terjemahan:

Ilham Ainol
PPJ Segamat
6 Ogos 2010

Tuesday, August 3, 2010

Kelibat Angin dan Cahaya



Masa meluncur bersama sosok angin

Menumpang tusukan panahan cahaya

Meski dingin terasa terkilau merengsa

Ia hadir tanpa prihatin





Ilham Ainol

PPJ Segamat

2 Ogos 2010

Friday, July 30, 2010

Nostalgia masih memekat


Tanpa semena-mena benak saya kembali menuju lawang kenang yang geli tergeliat saat jemari rindu mengetuk. Sesayap kenang yang terhimpun di kamar itu bergentayangan. Sebatian nostalgia yang memekat mulai meluluh membentuk indah.

Ninda termanggu sepi di anjung sisi rumah besar pusaka di perut kampung. Kesepian itu menyenak lebih 40 tahun lalu bila Almarhum suaminya tetiba rebah di kebun getah. Mereka sedang tekun menoreh demi sesuap rezeki. Ninda ditinggalkan dengan 10 anak untuk dibesarkan sendirian.

Nenek Itam sedang bersantaian di kaki tangga sambil melontarkan pandangan jauh ke jalan besar. Kelibatku yang samar-samar menuju ke arahnya mulai mencuri tumpuannya. Nenek Itam menggelip-ngelipkan matanya. Saat basikalku berhenti di kaki tangga anjung sisi itu barulah dia mengecam wajahku. Cucunya pulang bercuti menziarah keluarga dan sanak-saudara. Memekar kuntuman rasa di ujana kalbunya.

Senyumannya memercup dan tulus. Salam disambut mesra dan tangannya yang berkedut seribu itu kukucup sepenuh syukur. Sesungguhnya DIA Maha Mengasihi dan Maha Besar. Kerna masih meminjamkan ninda kepada kami meski kaki usianya semakin menginjak ke angka 90.

Kami berbasi basa. Seperti biasa ninda akan bergurau dan mengajukan soalan cepu emas.

“Neniek ko dah lopeh megorik,sikik la e nak masuok waktu isyak. Waang bilo la e nak menikah?” Usai menyudahkan ayat; maka berderaianlah kantung ketawa. Namun secara melucu dan nakal saya membalas usikan ninda pula,” Nenek ajo la yang kawin.”

Hahahahaha…

Setelah 17 tahun ninda ke wilayah abadi, saya masih merinduinya. Al-Fatihah untuk Ninda Itam yang teramat disayangi.

Tuesday, July 27, 2010

warkah kepada diri
















kukirimi warkah ini
kepadamu sang diri
disarati guyuran hujan iri
digabaki diksi cemburu berduri
direntap bayu cemas bersiri
namun lahar rasa terpecah ruah
terpijar oleh panahan mentari pasrah
kini langit sedar meniti realiti
saat setem berwajah waras terisi
kemas di sudut ingatan kepada-Nya pasti
yang digelar sang iman semula memimpini
warkah menujujaya ke penjuru destinasi

Ilham Ainol
PPJ Segamat
27 Julai 2010