Tergerak hati untuk menghantar khabar ke blog usang ini setelah sekian lama ia dipinggirkan. Tiada alasan munasabah yang perlu diberikan selain sekadar MALAS. Masa saya lebih banyak dibaziri dengan FB dan HP yang kian hari menguasai urusan seharian. Namun banyak perkara telah berlaku dan saya rasa lebih dewasa dan akhirnya membuat keputusan untuk memilih diam. Saya mohon maaf agar kehilangan saya dicari dan kesenyapan saya membimbangkan anda semua. Percayalah, sepanjang ketiadaan saya, saya hidup bahagia dan perigi pengalaman sentiasa terisi dan berisi. Doakan kesihatan dan kebahagiaan saya selalu ya!...
Tuesday, May 26, 2015
Thursday, April 18, 2013
Kata-kata Itu...
Kata Wan Nor Azriq, "Kalau bukan belajar untuk mencintai (dan ingat sesuatu yang telah dilupakan) sastera, untuk apakah lagi kita membaca kritikan? Barangkali untuk melengahkan waktu dan tertidur di meja ketika hujan di jendela belum reda."
Kalau melalui pembacaan, kita akan sentiasa bersedia(atau pun tidak) untuk mengikuti laluan yang dibawa oleh penulis(penulis yang berbobot). Kita cuba memahami sesuatu konsep baharu yang difikirkan oleh penulis. Bumbu cerita yang berbobot mampu mencabar minda dan keselesaan pembaca. Sama ada pembaca bersetuju atau menolak sekeras-kerasnya saranan penulis, ia tidak begitu penting, yang penting penulis telah berjaya menggejolakkan laut fikir pembaca. Moga dalam amukan ombak fikir itu akhirnya pembaca bakal menemui katarsis saat ombak mengucup bibir pantai.
Tidak kira apa topik atau tema yang dilontarkan, asalkan ia berjaya menarik minat pembaca untuk meneruskan penerokaan tersebut. Kadang-kadang penulis berani mencabar pembaca dengan mengetengahkan cerita yang bernuansa polemik dan bersalut kontroversi demi mencipta 'pseudo fenomena' atau sekadar menagih perhatian pembaca.
Anda tergolong dalam sosok pembaca yang macam mana?
Wednesday, April 3, 2013
Mengapa Perhubungan Kita Semakin Tidak Mesra?
Agak lama juga saya membiarkan laman rumah ini sepi tanpa kunjungan entri baharu. Tiada alasan yang munasabah boleh diberi selain disibuki rutin harian atau yang paling benar ialah kemalasan yang mencengkam. Mungkin saya sudah ketumpulan ide semenjak melepaskan jawatan selaku Koordinator Penerbitan...Oleh itu, saya mengulang baca karya A. Samad Said bagi mempersiap diri untuk menulis semula kerna di situ saya terjumpa dan kadang-kadang terserempak dengan kosa kata dan ayat-ayat yang serasi...saya bukan cuba menyalin mentah-mentah cuma menangkap langgam ayat dan siur kata yang tersusun indah. 2 minggu lalu, saudara MARSLI NO telah menitipkan sebaris pesanan ringkas di layar fon genggam saya yang berbunyi, mungkin jarak dan waktu yang berbeza, tetapi pada hakikatnya kita sudah semakin tidak mesra. Saya kata meskipun kita jarang bersapaan dan bersuaan namun jauh di sudut hati, kenangan bersama sentiasa membara...hahahahahahaa....
Saudara MARSLI NO juga bermurah hati mengirimi saya senaskhah Dewan Sastera edisi Mac 2013. Selain mengucapkan terima kasih daun keladi saya juga menitip ucapan tahniah kerna terpilih menjadi Karyawan Tamu untuk edisi Mac 2013. Banyak maklumat baharu dan sajak baharu beliau ditampal di ruangan khas tersebut. Kerna bila kita saling kenal mengenali antara satu sama lain, makanya karya yang dibaca ternyata dekat dan melekat kemas di tangkai hati. Syabas sdr MARSLI NO. Teruskan cara dan gayamu berkarya dan kekadang berontak dalam keunikanmu. Yang penting beliau jujur dan terang-terangan menolak kepalsuan dan kepura-puraan yang dilakonkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Thursday, January 3, 2013
Kata-kata di pangkal tahun 2013
Ketibaan Tahun 2013 sudah semestinya disarati bagasi harapan yang bakal mendewasakan minda dan usia. Bagasi yang terisi ilmu yang disalin daripada buku, makalah dan maya siber serta pengalaman yang dikutip di sepanjang tikungan hidup akan mengobjektifkan pegangan dan tindakan. Di samping itu, perubahan sikap dibutuhkan bagi memudahkan ia terlentur dan tersedia untuk mendakap realiti hidup yang semakin bobrok dan ruwet. Manakala penyenaraian wawasan pula memungkinkan kita menghalatujukan matlamat yang besar dan mencabar ke lorong yang munasabah dicapai. Kita pasti menginginkan sesuatu yang baharu disuntik ke dalam minda dan urat kehidupan kita kerna rutinan biasa-biasa bakal membosankan dan dikhuatiri menyumbang kepada keputusan yang mediocre dan rapuh. Dengan adanya gajet-gajet canggih yang saban hari disogok dan terpujuk untuk memilikinya, maka diharapkan kita bisa menggunakannya sebaik mungkin dan berjaya menangkis godaan yang bersifat luaran semata-mata. Kita harap gajet-gajet ini mampu menjadi perkakas untuk memajukan diri, masyarakat dan memartabatkan bangsa dan Negara dan bukannya menggugat dan melemahkannya.
Monday, December 31, 2012
Selamat Tinggal 2012, Salam Mesra 2013
Wednesday, November 28, 2012
Ziarah Seni 3 - Rentas Semenanjung - Kembara Bahasa 2012 21-25 Nov 2012
seawal jam 5 pagi sudah berada di lobi JB Central untuk berjalan kaki ke JB Sentral
Malam Perasmian Penutup oleh Timbalan Menteri Pelajaran di
Dewan Latihan PETRONAS, Bangi
sesi ucap selamat tinggal dan rakaman terima kasih di lobi INFRA
Dr. Awang sibuk melayan peminat Kumpulan Puisi beliau yang bertajuk
Mencari Makna Diri
Adik Aliff yang periang
Azmi @ Sherry @ Adek
sesi ucap selamat tinggal dan rakaman terima kasih di lobi INFRA
Dr. Awang sibuk melayan peminat Kumpulan Puisi beliau yang bertajuk
Mencari Makna Diri
Adik Aliff yang periang
Azmi @ Sherry @ Adek
Syukri yang tekun menulis
Dr. Awang menyampaikan ucapan alu-aluan kepada rombongan Ziarah Seni pada malam 21 Nov 2012 di Menara DBP KL
sempat berposing dengan ****** di PICC pada petang 21 Nov 2012
Dataran Putrajaya pada petang 23 Nov 2012
sempat 'mencapop' dengan adik-adik IPG Perlis dan IPG P. Pinang dengan
artis undangan Farhan.
bakal guru muda belia dari IPG Perlis dan IPG P.Pinang -
fizzi, Dek where, lukman dan azrie
fizzi, Dek where, lukman dan azrie
Monday, November 26, 2012
Teater Nona Santun 8 Nov 2012
Saya berbekalkan rasa teruja saat menonton teater NS ini. Ini kerana salah seorang watak teater ini telah 'meminjam' nama saya. Terima kasih diucapkan kepada Pn Rahimah Muda selaku penulis skrip teater NS kerna sudi menggunakan "Ainol Hasanal" untuk diabadikan dalam naskhah ringan namun 'sarat' makna. Ia tidak lain tidak bukan untuk menyuntik semangat dan membarakan rasa cinta kita kepada pendidikan Bahasa Melayu yang tercinta. Sesungguhnya saya rasa dihargai dan disayangi! Bahasa Jiwa Bangsa.
Subscribe to:
Posts (Atom)





















