
Insiden “Spiderman” berjaya menawan puncak bangunan berkembar PETRONAS di Kuala Lumpur baru-baru ini amat menggemparkan dan memalukan. Mungkin dari sisi lain,ia terpuji dan membanggakan.
Terpuji kerana Alain Robert Phillippe telah mempamerkan semangat berani menangani perasaan takut dalam diri. Dengan menggunakan kaedah dan ilmu yang betul maka sesuatu aksi yang berbahaya dan mustahil dapat dilaksanakan dengan mudah dan selamat. Meskipun Alain pernah gagal dalam percubaan pertama beberapa tahun dahulu namun kegagalan tersebut telah menyuntik semangat agar terus mencuba sehingga meraih kejayaan akhirnya.
Dari sudut lain pula, hasil daripada pencerobohan tersebut maka tersebar-luaslah berita ‘kejayaan’ tersebut ke seantero dunia dalam sekelip mata tanpa Malaysia mengeluarkan satu sen pun untuk mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia.
Perkara yang membingungkan pula terletak kepada bagaimana bangunan berkembar tersebut dapat dengan mudah dibolosi. Adakah langkah-langkah keselamatan di situ terlalu rapuh? Di mana kamera CCTV dan pengawal-pengawal keselamatan yang bertugas? Ia sedikit sebanyak mendedahkan kepincangan dan kelemahan pengurusan di pihak pengendali bangunan milik PETRONAS tersebut. Ia sesungguhnya telah mempalit lumpur di muka Malaysia di persada antarabangsa. Sekali gus mendedahkan kemungkinan bangunan tersebut mudah dibom, dan mungkin diceroboh sekali lagi. Dalam kes ini ia telah diceroboh oleh seorang penceroboh tanpa membawa atau menggunakan senjata. Tak perlulah kita mendabik dada dan berbangga dengan memiliki bangunan pencakar langit yang gah tetapi pada hakikatnya kita gagal mengurusinya dengan sebaik mungkin.