Friday, May 23, 2008

Sajak Untuk Guru

Jamung bangsa

Anak orang kau didik agar jadi cerdik
Anak orang kau ajar jadik celik
Anak orang kau pimpin jadi baik
Anak orang kau denda bila dia jelek
Anak orang kau kelek bila dia buat perkara pelik
Anak orang kau asuh bersantun berperangai cantik
Anak orang kau bangga bila kejayaan diraih
Anak orang kau gembira bila hasil dituai berlebih
Anak orang kau damping tanpa rasa jerih
Anak orang kau sanjung penuh kasih
Pengorbananmu senyap membisu
Hanya berbunyi di pangkin jaya yang diburu
Hanya berdentum di terjal kegagalan itu
Roda pendidikan berputar pasti
Menyaring pati yang baik indah tak terperi
Menapis sisa menyuntik penawar pada yang kesasar
Agar hari muka bersinar benar

Ilham Ainol
segamat
25 April 2008

Tuesday, May 20, 2008

Bila Tun Mahathir Undur Diri


Bila Tun Mahathir Undur Diri

Cangkir politik berkocak hebat
Tumpahan tinta semarak jiwa
Pohon ketuanan direntap taufan
Pawana perubahan dan protes bersialang
Nakhoda tempang masih menongkah lautan pawaka
Konon tanggungjawab harus digalas
Kerna amanah butuh diangkat
Rencana disusun belum terlaksana
Bukan saatnya membelakangi rakyat
Mungkin menagal amukan Jebat
Darah terpalit di tampuk keris
Malu bertamu di jumantara senja
Siapa pihak yang beruntungan
Siapa pihak yang kerugian
Ini bukan kerja mainan
Usah mengeluh mengelak membalas
Beri laluan jalan teratas

Ilham Ainol
20 Mei 2008
*intai-intailah puisi ini di maya siber di alamat www.esastera.com

Tuesday, May 13, 2008

Hujan

Rajuk alam jumantara melawan
Jutaan jemari bayu menyulam gemawan
Dingin meranggah panas meratan
Ribut tercipta petaka lebah bersialang
Seusai sandiwara langit kecundang
Titisan nirmala wingit membasahi jemala bonda
Penyegar batin menjeru bahagia
Penyejuk ranah rezeki melakah
Meluku menanam menuai tuah
Bertambah indah pabila bianglala menjengah
Pantulan berahi seri sang rawi
Lukisan alam karya biasan IIahi
Kita dianjur cekap menghayati
Menyaring sari kehidupan duniawi

Anugerah IIahi pada insani

Ilham Ainol
22 Apr 2008

Monday, May 12, 2008

Hijau itu harmonis


Syukur tuhan kerna menghadiahi pagi Isnin yang indah lagi menyegarkan. Sukar untuk digambarkan betapa bahagianya perasaan ini dibauri pengalaman menyambut hari baharu dan kenangan pagi semalam yang membelai rasa. Pagi semalam kami sekeluarga, saya, isteri tercinta, Amira dan Batrisyia yang dikasihi telah sama-sama memeriahkan acara sukan TASKI Ar Raudhah di padang Sekolah Menengah Tinggi Segamat, Johor DT. Pagi yang mendung namun mendebarkan telah menemani setiap anak-anak dan para ibubapa ke majlis tahunan tersebut. Batrisyia yang comel baru berusia 5 tahun setengah. Hari semalam juga bertepatan dengan Hari Ibu yang merupakan 2 acara penting bagi ibu dan anak saya. Si kecil itu mampu bangun awal dan menyertai 4 acara sukan telah memperlihatkan semangat kebersamaan dan menjalar semangat persaingan sihat di dalam sanubarinya yang hijau bugar. Meskipun hanya memenangi 1 acara namun rasa kekaguman dan percikan kasih-sayang kepadanya bertambah marak membakar. Itulah sebahagian daripada kebahagiaan yang dirasai seusai sukan tepat jam 11 pagi semalam. Masa mungkin pantas berlalu namun kenangan manis dan indah lagi hijau itu semakin membekas di lorong memori yang 'dilatari' kehijauan ujana, firus jumantara, petala bianglala kirmizi dan panahan cahaya rawi yang setia. Sempat menikmati masa senggang bersama keluarga amat menyejukkan jiwa dan menjernihkan rasa. Dalam perjalanan pulang, kami terserempak dengan warung mamak menjual cendul pulut berkacang merah kaya disimbah sira gula merah bersantan lemak, dan rojak mamak lemak manis pedas tak puas. Begitulah indahnya pagi hijau yang dilalui sehingga kehijauan itu masih berbalam dan berbekas di hati. Marilah merasainya.

Friday, May 9, 2008

Bantal busuk, teddy bear dan botol susu







Tiga barangan peribadi yang mampu dimiliki anak perempuan saya sesungguhnya mencipta misteri yang selalunya tiada ditemui jawapannya. Bantal busuk berukuran 10" X 5" itu hampir lusuh dan kekuningan. Bucu-bucunya mulai meretas dan berbulu. Hanya satu bucu yang ternyata menjadi tarikan yang tersangat aneh kepada anak saya itu. Gentelan yang terbentuk kesekian lama itu telah menjadi mauduk enak petaka candu anak saya ketika dia menyusu botol. Bucu yang amat 'menggelikan'(pada mata kita) dan 'memualkan' itu seolah-olah menemani keasyikan dan kesyokan itu. Sukar bagi kita memahami tabiat yang aneh lagi menjengkelkan itu tetapi di sebalik keganjilan perlakuan itu terselit 'kebahagiaan' dan 'kenikmatan' yang sukar dimengerti oleh orang dewasa. Ketiga-tiga barangan itu adalah hak miliknya yang mampu dimiliki dan dikendung ke sana ke mari. 'Kepunyaan' itu berjejak dan patut didorong agar dia menyayangi harta milik dan perasaan kasih-sayangnya kepada benda-benda yang disangka remeh oleh kita. Kita seharusnya menggalakkan anak-anak kita menghayati keistimewaan memiliki harta dan perasaan yang bakal membentuk sikap yang baik bila mereka meningkat dewasa. Sudah pasti 'kebersihan' dan 'cermat' perlu dipertegas dan dididik kepada mereka agar perlakuan itu tidak meninggalkan kesan yang negatif dan membahayakan. Jangan lupa, kita pun pernah melalui proses 'aneh' tersebut pada suatu masa dahulu. Jika diseluk dalam-dalam ke 'tempayan' penuh pengalaman dan bauran peristiwa semasa kecil,mungkin agak melucukan jika diimbau namun amat membahagiakan. Cubalah peluk sekarang!

Thursday, May 8, 2008

Bengkel Penulisan Kreatif Penulis Muda Johor 2008


Bengkel Penulisan Kreatif Penulis Muda Johor bakal diadakan mulai 27 Mei 2008 hingga 29 Mei 2008 berkampung di Hotel Muar Traders, Muar Johor DT. Majlis indah ini dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor, UPENA UiTM Johor, Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor dan UPENA UiTM Malaysia. Barisan penulis tersohor negara yang sudi membarisi panel penceramah adalah seperti Aminah Mokhtar, Nisah Haron, Zaid Akhtar, Tn. Hj. Shapiai Ramly dan Prof Dr. Muhd Kamil. Mereka bakal menumpahkan segala pengalaman dan pengetahuan yang dikutip dan ditimba selama ini, dengan tekun dan jujur kepada semua peserta yang sedia dahagakan ilmu penulisan dan pengalaman. Bengkel ini bakal mengisi atucara seperti Penulisan Novel, Teori Kreativiti dan Realiti Imaginasi Dalam Penghasilan Novel, Permasalahan dan Kekangan Dalam Proses Penghasilan Novel, Pengalaman Dalam Penerapan Teknik Pengkaryaan dan Sesi Bersama Tetamu Jemputan (Bersama Prof Dr. Muhd Kamil iaitu penulis buku Travelogue Haji). Jelas sekali bengkel ini menyimpan hasrat untuk melahirkan bakat-bakat baharu menulis novel juga menganyam bebenang niat untuk menggilap bakat-bakat lama untuk menghasilkan lagi karya-karya yang berjejak dan bernyawa. Karya-karya yang bakal dizahirkan mungkin suatu hari nanti menjadi warisan yang mewakili suara dan rasa warga yang enak menghirup udara kebebasan di bumi yang merdeka. Oleh itu, dipohon agar saat itu dimanfaatkan sebaiknya agar segala usaha yang digembleng tidak sesia sebaliknya melahirkan 'mutiara' di tebing muara Sungai Muar yang sarat mengendung sirah dan peristiwa. Sesungguhnya saya masih haus meskipun sejenak tadi baru saja meneguk nikmat di telaga seni.

Wednesday, May 7, 2008


Ah, senja berurna kirmizi membelek awan dibelai pawana manja membelah jiwa penggemarnya. Kalbu mudah terusik lalu jauh mengimbau ke penjuru kenangan yang membujuk lagi mengasyikkan. Harummu melayah mesra di segenap pojok ufuk rasa. Belahan ragamu menusuk ngilu kaki lara yang terdampar di pantai rindu. Jalur rindu berpetala di dasar segara. Bahagia yang tak terucap oleh kata; bahagia yang nyata menghantar isyarat pijar hangat di perdiangan cinta loka. Kutahu kehadiranmu cuma seketika namun saat itu bakal disemat erat di dada sanubari yang menari mengikut alunan muzik berkumandang di pelosok jumantara. Terpercik api kekaguman pada Sang Pencipta. Ayuh kita menghayatinya, setaatnya dan semampunya. Itulah sekelumit jasa yang sempat dikelek dan disumbangkan. Ah, bahagianya rasa itu.

Monday, May 5, 2008

Merah itu indah. Darah yang mengalir di tubuh manusia menghadiahkan kehidupan yang penuh nikmat. Nikmat yang perlu disyukuri dan diseluk sedalam-dalamnya. Ia bertambah indah seandainya kita membalasnya dengan usaha mengindahkan lagi pekerti manusia; menjalin keharmonian tulus sesama manusia; juga menghayati kenindahan untuk diwariskan kepada warga mendatang. Mereka berhak menikmati keindahan itu. Alam merah yang indah merekah bagai menghantar kita ke dimensi yang lebih berurna dan bermakna. Sudah pastinya ia harus dihargai dan dibajai kehadirannya dengan cinta merah menyala. Cinta pada ayah bonda, keluarga, anak-anak, jiran tetangga, taulan handai dan pemimpin yang adil lagi amanah.