Monday, January 31, 2011

Teater Muzikal Tun Mahathir 2


Tubuh pagi Sabtu menggigil dilenjuni air alam. Sepanjang perjalanan ke KL mendung menyerkup langit. Mentari seolah-olah terpuruk di belakang awan tebal.

Sebelum menonton teater TM2 kami singgah dahulu di Balai Seni Lukis Negara yang terletak bersebelahan dengan IB. Saat memasuki ke tingkat 1 BSLN, berlangsung program pertandingan melukis yang mengangkat tema Flowers and Passion.

Menjenguk BSLN ternyata asing dengan siur hidup biasa. Pameran karya seni lukis,ukiran dan arca memberikan kesan rasa dan tampak yang aneh. Laras 'bahasa' seni lukis nyata mujarad dan subjektif sifatnya(pada pandangan saya).

'Kerusi' menghantar konotasi 'kuasa', manakala 'ikan bilis' melambangkan 'para murbawan'. Selain daripada itu, sebuah katil yang berkelambu pada mulanya tidak memberikan kesan langsung namun setelah didekati, cadarnya yang bercorak lambang parti-parti siasah tempatan terus menggerakkan taakulan dan tafsiran yang responsif, dan mungkin ofensif. Di sini 'katil' diibaratkan seperti kancah politik tanah air, manakala parti-parti siasah pula 'para peradu' yang beraduan sekasur, sebantal malahan sekelambu namun berbeza mimpi dan impian.  Perkongsian ini telah mengakibatkan suhu politik warga menaik dan panas sehingga memberi kesan penolakan dan mual di sebelah rakyat dan penghayat.

Tepat jam 3 petang teater TM2 bermula. Selama 3 jam teater TM2 cuba memadatkan seberapa tepat fakta hayat seorang negarawan ulung yang masih hidup dalam persembahan tersebut. Andai tidak disisipi watak lelucun (Sarimah Ibrahim) barangkali pengalaman 3 jam bakal membosankan atau sebaliknya? Sebab itulah pesanan-pesanan ringkas tapi padat mampu menggelitik hati para penonton, dan dalam masa yang sama menghantar peringatan, teguran, nasihat dan amanat secara berkias. Selain pancaran kesantunan jiwa Melayu, ia seupaya mengelakkan terperangkap dalam jaring klise dan hambar.

Babak pengumuman peletakan jawatan TM sebagai Presiden UMNO, PM dan Pengerusi BN telah berjaya memeras rasa sehingga menitiskan airmata.  Ternyata wira yang unggul yang tidak perlu disenandungkan ini secara sendirinya dikenang dan dipuji oleh jelata, manakala seterunya mengutuk dan membenci sebisanya.

Langit Segamat masih diguyuri hujan. Namun nubari ini semakin menepu setelah diguyuri apresiasi seni pementasan teater dan seni lukis saat mengunjungi IB dan BSLN semalam. Di rawang Segamat ini kesukaran mendapatkan peluang dan ruang sebegini memang mendukacitakan, namun kita perlu lakukan sesuatu demi seni anak bangsa.  Makanya seandai tiada aral, setelah teater Tanah Lindungan Tuhan pada tahun lepas, insya Allah tanggal 12 Feb 2011 bakal dipentaskan teater Primadona Perahu Mimpi di Dewan Sri Temenggung UiTM Segamat.  Moga dipermudahkan-Nya. Amin.

Wednesday, January 26, 2011

Pagi nan basah


Seluruh pagi Rabu basah diguyuri air alam. Ia diturunkan sejak awal parak siang tadi. Hujan akan setia menumbuhkan rasa dan ilham.  Kekadang ia bisa menghantar minda dan hati ke ufuk kenang.  Terkenang akan peristiwa manis dan pahit, atau mungkin terkadang kelat dan pedas. Namun, ia tetap akan disimpai erat sepenuh nikmat. 

Semalam berlabuh tirai AGM PBM.  PBM kini dibarisi ahli yang secara halusnya segar dan pijar semangat dan tindakan mereka.  Selaku Penasihat, saya menyimpan jalur gembira untuk mengindahi hari mendatang yang penuh gelora. Kolam rasa pula diriaki kesyukuran kepada-Nya.  PBM di bawah pimpinan Sdr. Sazwan dan Nurul Syuhaida serta anak-anak buah mereka bakal meneruskan misi dan wawasan persatuan yang sentiasa selari dengan aspirasi universiti.

Di dalam seliratan rutin hidup sebagai mahasiswa yang sering menggumuli kuliah dan serdak ilmu makanya pada tingkat-tingkat tertentu kehidupan mereka perlu disandarkan sesedarnya terhadap Kemahiran Insaniah. Terkadang pengalaman yang ditimba amat berharga saat berkerjaya, berkeluarga atau memimpin sesebuah organisasi. Ia bakal membantu meluruskan perjalanan yang pasti berliku dan perih.  Berkat kesabaran dan ingatan kepada ajaran dan pengalaman yang dikutip sepanjang meniti hidup pasti bisa mencipta kecemerlangan.  Insya Allah.

Tuesday, January 18, 2011

Bayang Hayat


perca-perca mimpi meluruh
kala terlena di kasur lusuh
sesekali disergah kilat menyuluh
suara hujan sendu enggan meluluh
saat melihat purnama tergigil peluh
berderaian airmata langit menyentuh
kalbu hayat tepu seluruh
membaca bahasa alam amat berpengaruh
kelam dibayangi hayat rindu nan rapuh...

Sunday, January 16, 2011

Mengutip Syukur


pinjamkan bebenang yakin
agar mudah kujelujur semula
lelangit hidup yang dirabaki topan hawa

izinkan aku menghimpun serdak Rahmah-Mu
untuk kupasakkan ke pohon iman
menitip iman di sisa usia
membasahi bibir atma
dengan jutaan zikir dan limpahan doa
moga ia bisa merenjis segara neraka
meskipun setitis setinta
sesungguhnya kusyukuri sepenuh reda.

Ainol Hasanal
PPJ Segamat

Friday, January 14, 2011

Salam Kasih Masih Dipinjamkan Umur



Hari ini Yang Maha Esa masih menumpahkan segenap rahmah-Nya kepada saya.  Tangga usia didaki sesetianya dan kini menginjak ke angka 48.  Pelbagai kenang dan rasa bergentayangan dan berputar di penjuru minda yang sedar dan insaf.  Sebab itu saya sentiasa mensyukuri sekujur rahmah-Nya dan segala kesempatan yang dihamparkan.  Saya doakan moga kedua-dua ibubapa saya, Tn Hj Jalaluddin bin Idris dan Pn Hjh Zaharah Mohd Ali sentiasa di bawah lindungan-Nya.  Saya sentiasa menghargai kesempatan yang diberikan-Nya kerna setelah mencecah usia setua begini DIA masih meminjamkan kedua-dua ibubapa saya.  Seterusnya saya mendoakan moga isteri dan kedua-dua anak perempuan saya juga menjadi insan yang solehah yang saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi.  Saya juga memohon agar DIA masih mengizinkan saya beribadat sesempurnanya dan sebaiknya. Saya juga ingin mendoakan agar semua pelajar dan umat-Nya diberkati dan diberikan kebahagian di dunia dan akhirat.  Juga mohon disampaikan salam takzim kepada junjungan besar kita. Amin.