Monday, June 27, 2011

Bengkel Jom Publish 29-30 Jun, dan 1 Julai 2011

Program kendalian PJI ini diamanahkan kepada RMI dan UPENA Johor untuk direalisasikan.  Ia akan dilaksanakan pada 29-30 Jun, dan 1 Julai 2011. Bengkel penghasilan jurnal artikel ini dijangka mengetengahkan dan memurnikan 57 buah artikel.  Artikel-artikel ilmiah daripada pelbagai disiplin ini bakal dibentangkan dalam mana-mana konferensi atau setelah dimurnikan dan dipertajamkan maka ia akan diterbitkan dalam mana-mana Jurnal UiTM atau antarabangsa.
Prof Dr. Kamaruzaman Jussuf dari USM bakal menjadi pemudahcara dan penyelia kepada para peserta. Program penulisan secara 'hands on' ini dijangkakan lebih berkesan kerana pada akhir bengkel para peserta akan cuba menyudahkan dan menghantar artikel kepada Prof. Dr Kamaruzaman untuk dinilai dan disemak. Sesudah dimurnikan dan dipercantikkan maka ia bolehlah dihantar ke mana-mana jurnal untuk diterbitkan. Pihak Prof. Dr. Kamaruzaman akan memperkenalkan beberapa jurnal untuk dipertimbangkan oleh para penulis.
Syabas Pn Hazlina Hassan dan Ainol Hasanal selaku Ketua Projek bersama.
Didoakan agar program ini berjalan lancar dan dapat menuai hasil seperti yang diidamkan. Amin!!!

Cetusan Wacana Siri II

Tarikh         :     2 Julai 2011
Masa          :     8.30 pg - 1.30 ptg
Tempa        :     Perpustakaan Awam Johor Cawangan Segamat
Penceramah:     Abdul Talib Mohd Hassan, Baharuddin Kahar dan Zaid Akhtar
Perasmi       :     YB Datuk Haji Ayub Bin Rahmat

Umbara Kata

Program Cetusan Wacana diteruskan buat kali kedua bagi melestarikan seni penulisan kreatif dan sastera bangsa Melayu. Program yang diterajui oleh PPJ dan UPENA Johor cuba mengaktifkan kembali aktiviti seni dan sastera setempat. Kali ini buku Kembara Daksina-Antologi Cerpen dan Puisi, hasil cetusan karya staf UiTM dari kampus Segamat dan Melaka telah terpilih untuk diwacanakan. Buku ini terzahir seusai Bengkel Penulisan Kreatif ke-4 di Kampung Mukut, Pulau Tioman tanggal 22-24 Jun 2010 tahun lepas.
Pembicaraan buku ini bakal memanfaatkan khususnya staf dan pelajar UiTM dan para pencinta, penggemar dan penulis karya kreatif seputar daerah Segamat amnya. Selain memperkenalkan PPJ kepada khalayak yang dahagakan akitiviti seni sastera, makanya ia juga berusaha memartabatkan bahasa dan budaya bangsa yang semakin terpinggir dan digerhanai globalisasi dan sikap apati. PPJ Segamat merasa terpanggil untuk menjadi penghubung dan perancak aktiviti seni sastera dan seterusnya melahirkan pelapis bagi meneruskan perjuangan seni sastera yang panjang dan melelahkan ini.
Perkongsian bitara dan berterusan daripada pelbagai pihak seperti YB Datuk Ayub Rahmat, PPJ, Perpustakaan Awam Johor Daerah Segamat, UMNO Cawangan Bandar Putra Fasa 1, Persatuan Bahasa Mandarin UiTM Johor dan DBP Wilayah Selatan ternyata amat membanggakan dan melegakan. Diharapkan pengglembengan usaha daya yang terarah dan terancang ini bakal memberikan sinar pengharapan kepada khalayak yang prihatin dan cintakan bahasa dan budaya bangsa.

Thursday, June 23, 2011

Menebak Khabar


Menebak khabar berita
Membaca deretan aksara
Mencari peristiwa
Menghadam lara
Namun tidak tenggelam
Dalam arus berita
Kerna aku membaca
Dan menebak di luar ruang lingkupnya
Aku membaca berita si pemberita
pembaca berita dan penjaja berita
Akhirnya menderita kerna kejahilan dan kepoyoannya
Itu juga berita yang akan bertahan lama

 
Ilham Ainol
PPJ Segamat
20 Jun 2011

Wednesday, June 22, 2011

Menguak Jendela Kenang

membuang pandangan ke luar jendela di kamar kuarantin
radiotiodin terapi tanggal 27 April 2011 lepas

Duduk-duduk santai sambil jari menyelak helaian kenang amat mengasyikkan. Sekurang-kurangnya begitulah buat saya. Andai kenangan yang ditatap itu indah dan membahagiakan, apa ‘dosa’nya saya berasyik-asyikan sejeda saat digumuli dan dihenyak rutin harian yang kian membusung dan berselerakan....
Semalam sempat bersembang dengan Prof. Kamil, beliau bercadang membawa Konferensi IABEC UiTM Johor ke Universiti Madinah pada masa depan. Semua maklum bahawa beliau bakal meninggalkan UiTM Johor pada pertengahan Ramadan nanti. Khidmat bakti dan kepakaran beliau amat dibutuhkan oleh pihak Arab Saudi. Tahniah Prof. Moga jalinan antara universiti ini bakal menghasilkan sesuatu yang berimpak tinggi. Pihak PJI sentiasa tidak akan melepaskan peluang ini. Prof bakal menjambatani persahabatan dan usaha murni ini. Jauh tapi dekat, juga jauh tapi mesra!

Prof juga sempat menyuntik semangat kepada saya untuk terus menulis. Beliau beranggapan gaya tulisan saya baik dan boleh diketengahkan. Beliau juga tidak lokek menjadi orang perantaraan andai saya mahu menghantar karya/artikel ke mana-mana makalah. Buku beliau, Travelogue Haji menjadi inspirasi saya. Motivasi lisan yang luhur ini amat dibutuhkan oleh saya. Percayalah, saya amat bersyukur dan insaf akan nikmat yang dikurniakan-Nya.

Thursday, June 16, 2011

Cut(r)i Cut(r)i 1Malaysia


petik suis aku bayar
hidup berperisa
pulas pili aku bayar
tekak lega
cukup tahun aku bayar
semua cukai langsai
klik astro gaya terkini
pilihan sendiri
bina blog aku tahu
percuma saja tau
buka FB aku suka
percuma juga tau
habis! kenapa perlu bayar RM1.8 juta
kuasawan sasau
sejemput cepat kaya
kami naik risau


hahahahaha...

Monday, June 6, 2011

Membakar nafas amarah!

kumembakar Kuala Lumpur
abunya kubuang jauh
ke sungai kehidupan
berseliratan dan bersiuran
menuju muara katarsis
bergerimis di hamparan sejadah
mengirai debu-debu dosa
mengengsot ke pintu usia

Ilham Ainol
PPJ Johor
6 Jun 2011