Wednesday, November 23, 2011

Kenangan 'Badai Semalam'

Perasaan usai menonton teater Badai Semalam karya Khadijah Hashim berbaur tapi menghiburkan.  Karya KH yang segar menghangatkan rak-rak buku lewat dekad 70-an, dan berjaya 'mengghairahkan' rasa cinta insan yang masyuk bercinta. Bersandarkan cita-cita, cinta dan pengharapan, maka BS telah mengangkat darjat seorang perempuan ke tahap yang terkedepan sarat pengharapan.  Mazni, peran utama BS yang menyalakan sumbu harapan ibu agar berjaya dalam lapangan hidup melalui kejayaan yang diraih dalam pelajaran. Ibu Mazni penuh yakin bahawa masa hadapan yang cerah terletak kepada kejayaan Mazni menjejakkan kaki di tangga menara gading.  Ibunya tidak mahu Mazni mengikut jejak langkahnya bekerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga Encik Haris sehingga penjuru hayat. Namun, gendala dan cabaran yang terrentang mampu melemahkan, memesongkan atau menggagalkan cita-cita Mazni. Halangan yang dihamparkan seperti fitnah, bujukan dan kutukan Pn Mahani; cinta terlarang Mazni dengan Karim; juga kehadiran Zaki sebagai pelerai masalah dan dalam masa yang sama menjadi racun kepada perhubungan Mazni dan Karim- semuanya menjadi cabaran yang maha hebat bagi seorang anak gadis berusia lewat belasan tahun. BS diakhiri dengan suntikan cahaya pengharapan yang terang buat Mazni dan juga pengharapan yang dipromosihebatkan khusus buat kaum wanita di sebelah timur ini.  Mazni akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading sehingga tertunailah hasrat dan pengharapan seorang ibu kepada anak tunggalnya. Maka segala cabaran dan airmata yang tertumpah hanya salah satu episod dalam kehidupan Mazni mungkin juga kepada semua kaum wanita di luar sana!

 
 
 
 
bersama-sama Datuk Shuhaimi Baba-pengarah Puntianak Harum Sundal Malam,
Hati Malaya, Ringgit Kasorga dll
Zarikh dan Erma Fatimah
sesi autograf bersama-sama Erra, Umi Aida, Fizz dan Aeron

Friday, November 18, 2011

Teater Badai Semalam di Istana Budaya


Karya Khadijah Hashim sedang dipentaskan di IB, KL. Kami akan ke sana petang ini untuk menonton sesi jam 8 malam. Moga dipermudahkan.

Wednesday, November 16, 2011

Pulang Ke Desa Sarat Mengendung Makna

Penjuru minggu lalu sempat pulang ke desa Kg Serkai Jadi yang terletak di pinggiran pekan Tronoh yang lesu. Kepulangan yang biasa namun sarat makna. Pokok-pokok rambutan mulai berputik, dijangka ranum pada penjuru bulan Disember. Kuntuman yang pelbagai bentuk dan warna,dan dedaun yang mengirai amat mengasyikkan. Kokokan ayam dan kicauan burung menjadi muzik alami yang menenangkan. Rumah yang sarat kenangan berjaya membibitkan rasa kasih dan sayang antara penghuninya, juga menjadi perantara dengan alam yang didiami. Di dindingnya bergentangan peristiwa masa lalu: saat berbuka puasa di meja yang penuh dengan pelbagai juadah, berbaring di sudut anjung seusai dikhatan, terbayang lerekan senyuman saat kanda Azai disandingkan, terdengar nyanyian dan marhaban serta berzanji saat acara berendoi anak sulung saya di tengah anjung rumah berlangsung...Alangkah bahagianya!

bunga kantan megah memekar di celahan rimbunan dedaun yang menghijau
bunga raya ranggi menyapa mentari pagi
teratai mercup mengucup hari
tenang berzikir menjulang langit tinggi
rimbunan yang menyamankan
hasil sentuhan bonda yang tercinta
tiada chef di dunia ini yang terdaya mengatasi masakan bonda,
kan? Chef Gordon Ramsey atau Chef Wan pun tewas!
rumah baharu bonda sempat dibangun sebelum raya menjelang
syukur Tuhan!
jalan yang terentang lurus di hadapan rumah bonda
menghantar daku ke zaman silam
berjalan menuju ke rumah ninda Manan dan Saodah
untuk mengaji Quran
belajar berbasikal dan kereta
anjung yang menganjur ke utara buat meneduh dan beristirehat

Tuesday, November 1, 2011

Batu Hitam Itu

Batu hitam tersergam
dibaluti ayat-ayat-Mu sepenuh qiam
terisi sejagat raya ilmu
kiblat seluruh insan dan kejadian
menepu iman dan takwa kepada-Mu Tuhan. 
Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat

Monday, October 31, 2011

Teater Monolog "3 Wajah Fauziah Nawi" di JOTIC JB 29 Okt 2011

(gambar diambil daripada FB Tuan Rusdi)

Bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan Oktober tahun ini. Pelbagai kegiatan telah diatur oleh pihak DBPWS untuk dilaksanakan khusus buat khalayak umum. Dengan moto 'Bahasa Jiwa Bangsa', maka setiap warga Malaysia harus berbangga dengan bahasa Melayu dan sanggup berkorban demi memelihara maruah bahasa di samping gigih melestari dan memperkasakan bahasa Melayu.
Pada 22 Oktober 2011, pihak DBPWS telah menganjurkan acara Bicara karya Sastera Negeri Johor di Perpustakaan Sultan Ismail MBJB.  Anjuran bersama-sama PPJ itu telah memilih novel 'Empayar IX' karya W.B. Rendra, novel 'Bagin Sungai Merah' karya Rahimah Muda, dan Antologi Puisi 'Puncak Selatan' terbitan PPJ. Pembicara naskhah sastera terdiri daripada Zulkifli Khair, Azhar Salleh dan Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Pada 28-29 Oktober pula, pihak DBPWS dengan kerjasama Stefani Events telah mempersembahkan teater monolog '3 Wajah Fauziah Nawi' di JOTIC, Johor Bharu. 3 wajah seniwati fauziah Nawi telah dipertontonkan melalui 3 peran iaitu Tukang Sapu, Hutang dan Pukul. Ketiga-tiga senario yang dipaparkan bukan semata-mata luahan kosong perasaan seorang wanita tetapi ia mengajak para penonton mengiktibari nasib mereka yang kurang bernasib baik tetapi masih berpegang teguh kepada prinsip-prinsip hidup yang baik dan murni. Hutang pula menyingkap tabiat manusia yang tidak dapat lari daripada berhutang. Hutang menjadi suatu kemestian dalam menjalani kehidupan masa kini; tidak kira sama ada hutang secara zahirnya atau secara batini; manusia tetap berhutang, dan sukar untuk dilangsaikan meskipun puas mereka cuba untuk melunaskannya. Pukul memaparkan kisah seorang wanita kenamaan yang daripada kehidupan mewah kepada peniaga runcit dan seterusnya menjadi banduan. Daripada terpukul kepada dipukul akhirnya dia bangkit lalu memukul atas dasar untuk melindungi diri.

Friday, October 28, 2011

Antologi Cerpen dan Puisi Kembara Daksina 2

(Kulit buku direka oleh Sdr Shukri)
Buku Antologi Cerpen dan Puisi Kembara Daksina 2 akan diterbitkan pada penjuru tahun ini. Buku ini bakal merangkumkan 12 buah cerpen dan 29 buah puisi. Karya ini terhasil sebelum Bengkel Penulisan Kreatif berlangsung di Pantai Penyabong pada 27-29 Mei 2011 lalu. Kini, setelah diulas dan dimurnikan, maka ia akan menemui para pembaca sebelum tirai tahun 2011 berlabuh. Tuan Haji Shapiai Muhammad Ramly telah ditugaskan untuk memimpin sekmen puisi, manakala Tuan Baharuddin Haji Kahar pula mengulas sekmen cerpen.

Buku Antologi Puisi nukilan tuan Haji Shapiai yang bertajuk Keris Sebilah Itu telah menjadi sumber inspirasi bagi kami semua. Pak Baha pula lebih dikenali dengan cerpen beliau yang bermauduk Capa Rengat. Novel beliau yang berjodol Senjakala pula telah menjadi kesukaan beliau.

Kulit buku tersebut akan direka oleh saudara Muhamad Syukri, pelukis grafik dari pejabat Korporat UiTM Johor. Tahniah kepada semua kerana masih menyayangi sastera Melayu dan bersabar menunggu kelahirannya. Syukur kepada Yang Maha Esa. Amin.

Kolam Air Panas Labis di Kg Tenang


Kolam Air Panas Labis di Kg Tenang hanya 10 km dari pekan Labis. Jaraknya dari pekan Segamat pula hanya 42 km. Terdapat 4 kolam besar yang menadah air panas dibina di situ. Ia dipam dari kolam air panas semula jadi yang terletak di tengah-tengah 4 kolam tersebut. Kolamnya cetek. Airnya yang panas pasti menyegarkan badan yang kelesuan dan kerengsaan. Kemudahan tandas dan bilik mandi disediakan untuk para pengunjung di samping taman permainan kanak-kanak, peralatan bersenam dan tapak berjalan kaki. Kedudukannya yang terperosok di sisi Kg Tenang memungkinkan wujudnya persekitaran yang tenang dan santai. Ayuhlah ke sana!

Tuesday, October 18, 2011

Tembok pun berkisah...


Sudah lama Tembok itu berdiri tegap dan megah di situ. Ia seolah-olah semakin mengukuh.  Kukuh diapit bebatu yang telah berabad wujud di situ. Ia tidak menunjukkan tanda-tanda untuk terhakis oleh simbahan hujan lebat atau terserpih oleh amukan badai yang dahsyat.
Jika dibandingkan dengan Tembok Besar Cina atau Kuil di Aztec, ia merentas segala-segalanya. Tembok Besar Cina dibina setelah terbaur dengan air mata, darah, kekejaman dan nafas nafsu seorang Maharaja. Manakala kuil itu terbina atas sebilah kuasa dan kesetiaan yang membuta.
Akan tetapi Tembok itu tertegak wujud tanpa diketahui asal-usulnya.  Tembok itu telah tersedia berada di situ semenjak sirah manusia tercatat. Tak perlulah kita berpayah untuk menyelongkar tabir rahsianya. Kerna kita tidak akan berjumpa dengan jawapannya.  Percayalah...

Thursday, October 6, 2011

Sejeda dengan Pak Baharuddin Haji Kahar


Petang semalam sempat berjumpa dengan Pak Baharudin Haji Buyong Kahar di rumah sewanya di Jalan Temenggung, Segamat. Saya berhasrat untuk menyerahkan 12 buah cerpen hasil nukilan staf UiTM Segamat, UiTM Melaka dan UiTM Kota Samarahan. Seusai bengkel penulisan kreatif di Pantai Penyabong, Mersing lewat Mei lalu, kami bercadang menerbitkan antologi cerpen dan puisi.  Pak Baha diminta untuk menulis prawacana atau prakata atau umbara kata buku tersebut yang bakal diberi nama Kembara Persada atau Sanggar Ilham. Buku comel itu bakal diterbitkan di penjuru tahun ini.

Dalam masa sejam, kami sempat berbual seputar seni, sastera dan buku-buku Pramoedya. Keluarga Gerila dan Bumi Manusia disentuh sepintas lalu, kerna ia merupakan sebuah karya agung yang wajib ditelaah dan dikutip pengalamannya oleh kita semua.

Kata Pak Baha, seorang penulis menulis untuk mencari kejernihan dalam suasana kehidupan yang semakin keliru, kesasar dan kasar. Penulis mencuba mempersegar suasana yang berbentuk realisme iaitu kasih-sayang dipersubur, adab dan moral dijunjung mulia, iklim harmonis sentiasa menyelimuti dan menerangi alam, dan keadilan ditegakkan sebaiknya.  Di samping itu kreativiti dan inovasi dipertekankan agar karya yang bakal hadir akan berjalan seiring peredaran masa dan ada ketikanya ia merentas masa, warna kulit, citarasa dan negara.

Dahaga seni saya lenyap di perigi Pak Baha. Terima kasih Pak Baha.

Wednesday, October 5, 2011

Seputar Karenah Sang Penulis




Saya pernah ditanya, bagaimana cara saya menulis? Bagaimana saya mendapat ilham untuk menulis? Adakah tulisan saya sama dengan apa yang terilham pada awalnya? Bla.Bla.Bla.
Jawapan saya ringaks(mungkin bagi saya). Banyakkan membaca, merenung dan memerhati!
Saya pernah terilham beberapa ayat atau isi cerita saat saya menggumuli karya-karya yang tersangat mesra dan akrab dengan naluri saya. Buku-buku seperti Ilham di tepi tasik, dan Dari Salina ke Langit Petang, karya nukilan A. Samad Said, juga Catatan karya Latiff Mohidin, yang sejujurnya saya kunyah dan mesrai.
Malahan kini dengan adanya blog, pada waktu lapang saya akan meloncat dari satu blog ke blog yang disenangi untuk menyelak-baca hasil tulisan pemblog-pemblog yang serasi dan disegani tahap ilmunya(sekurang-kurangnya bagi saya).
Selain daripada itu, dengan izin isteri saya akan menghadiri bengkel penulisan kreatif untuk menimba sebanyak mungkin telaga pengalaman dan mendalami perigi ilmu yang sentiasa gagal dipenuhi. Di sana saya bakal berpeluang mendekati para penulis mampan dan baharu untuk berkongsi pengalaman dan mencambah idea. Juga, menjalinkan persahabatan.
Kini, selaku ketua penerbitan universiti, saya gunakan kesempatan ini sebaiknya untuk menerbitkan karya bersama-sama rakan seperjuangan. Di samping itu, kesempatan ini juga memungkinkan saya mengadakan jaringan dengan Universitas Indonesia untuk menganjurkan Konferensi Ekonomi dan Bisnes Islami pada tahun hadapan di Melaka.
Sebenarnya banyak peluang terentang di hadapan kita. Kita hanya perlu rajin memetik peluang-peluang yang mengguyuri kehidupan kita. Itulah nikmat yang diturunkan kepada kita oleh-Nya.
Sesungguhnya saya mensyukuri nikmat-Nya, dan akan sebijaknya melaburkan peluang yang ada. Saya juga akan berkongsi dengan staf-staf muda dan rakan-rakan yang sealiran demi melestarikan seni sastera bangsa. Meskipun sumbangan ini kecil namun mengesankan di nubari. Amin!

Tuesday, October 4, 2011

PMR 2011

Hari ini tanggal 4 Okt 2011, PMR bermula. Amira akan mendudukinya setelah berbulan membuat persediaan. Papa dan mama hanya berada di sisi untuk memberi sokongan dan dorongan di samping berdoa kepada Yang Maha Esa. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan Amira. Amira baru belajar tentang tekanan dan rusuhan hidup yang bakal menebal. Hanya pada-Mu kami berserah dan memohon restu. Amin.

Amira BOLEH!!

Tuesday, September 20, 2011

Membunuh Klise


















membunuh klise
di bibir pena tajam
membongkar kebatilan
dan kebobrokan
mengempang nafsu
dengan kejernihan akal
bertunjang benar merimbun cekal
mengakar menjulang hidup
memetik kuntuman bau dihirup

Tuesday, September 13, 2011

Jakarta-Depok-Cimanggis-Bandung-Jakarta

bas ulang-alik dalam kampus UI Depok tersedia secara gratis untuk warga UI
taman UI yang landskapnya terselit logo bermotif Makara, logo UI
Makara adalah sejenis pokok 
usai mesyuarat kami sempat menitip foto
mesyuarat dipimpin oleh pak Yusof dan warga FE
mesyuarat diadakan dalam suasana santai dan harmoni
Pak Dasril, Bunda Rita dan Uni Mai di Cimanggis

Kawah Ratu, Tangkuban Perahu Bandung


Tugu Negara Monas di Jakarta
Pintu gerbang Pasar Baru
khusus menjual kasut

Menara Masjid Istiqlal di Jakarta
Masjid terbesar di Indonesia