Sunday, February 6, 2011

Puisi Li Bai


Chuan qian ming yue guang 床前明月光 
 Sinar rembulan benderang di depan katil
Yi shi di shang shuang 疑是地上霜         
 Ingatkan lapisan fros membeku di lantai
Ju tou wang ming yue 举头望明月          
 Mendongak sambil memandang rembulan
Di tou si gu xiang 低头思故乡               
 Tunduk terkenangkan kampung halaman.
Puisi di atas dikarang oleh Li Bai. Beliau dilahirkan pada tahun 705 A.D dan meninggal dunia pada tahun 762 A.D.. Pemuisi yang menempa nama dalam zaman kegemilangan Dinasti Tang dari tahun 618-906 A.D. Terdapat empat orang pemuisi yang tersohor yang mewakili zaman kegemilangan tersebut iaitu Wang Wei, Tu Pu, Li Bai dan Bai Juyi. Puisi di atas terkandung dalam Antologi 300 buah puisi Dinasti Tang.

Puisi yang berlaraskan dikotomi tinggi dan rendah, langit dan bumi, terang dan suram, pijar dan dingin, dan mendongak dan menunduk.

Tinggi- hari berganti, usia meningkat, masa berlalu pasti, aras kerinduan yang meninggi, memekat, bergelora dan tak terbendungkan.

Rendah- masa seakan sangkak berlalu, rindu yang membeku, rindu semakin mencengkam jiwa dan batin, seksa yang ditanggung kala berjauhan.

Langit- purnama melambangkan orang dan kampung halaman yang dirindui, manakala jarak telah memisahkan dua insan.

Bumi- lapisan fros melambangkan rindu yang membeku, dinginnya menusuk kalbu, meski pun dingin membeku ia tetap sebuah hakikat yang perlu dihadapi dan ditanggung.

Mendongak- kenangan bahagia yang indah meski pun sementara sifatnya.

Menunduk- kenangan indah saat berada di desa lebih bersifat kekal selama-lamanya.

Pemuisi terperangkap dalam jaringan masa dan jarak yang mencengkam. Perlukisan gelora batin yang teramat dibebani lagi dengan cuaca yang dingin. Kemuncak kerinduan diperiti rasa kesendirian dan jarak yang memisahkan.

terjemahan oleh:
Ilham Ainol
6 Feb 11

Tuesday, February 1, 2011

Membingkai Kenang

Jambatan Segamat 1

Air alam yang terempang lama mulai mengguyuri lantai Segamat semenjak pagi Ahad lalu.  Lebatnya berlainan dan garang sekali. Ternyata amarahnya merong-rong sungai termuntah, longkang melimpah dan parit pula menjelma segara bergelora.  Banjir yang sepatutnya melanda akhir tahun lepas kesasar ke awal tahun 2011.

Gambar di atas diambil dari akhbar BH hari ini.  Jambatan Segamat 1 melimpah.  Paras bahaya 9.1 meter dilepasi dan air berona 'teh tarik' cair menggenangi bandar Segamat.  Kg Abdullah dan Kg Jawa adalah dua kawasan yang paling teruk dilanda banjir, ia mencecah kedalaman 1.5-2 meter.  Banyak harta benda dan kediaman serta premis perniagaan menjadi mangsa air banjir ini. Kerosakan dan kerugian amatlah besar.

Mujur mentari mulai menyinar dan menghangatkan pagi hingga membawa ke petang hari Selasa.  Namun air bah mengambil masa untuk surut dan kerja-kerja pembersihan hanya boleh dilakukan setelah banjir telah berakhir dan bekalan air dan elektrik sudah kembali normal.

Hanya kesabaran, kesyukuran dan keredaan mampu membawa kita mengharungi bencana ini. Mujur tiada nyawa yang melayang. Pada waktu-waktu begini, air minuman dan makanan yang dinikmati terasa lazat dan menyamankan.  Nikmat dan keinsafan yang sukar untuk dilukiskan. Syukur pada-Mu Tuhan.