Tuesday, December 30, 2008

Menukang Mujarad Ilham




Izinkan aku memasang sepasang sayap pada susuk ilham
diperindah rerona pelangi mengasyikkan
diperkukuh seliratan belurat melunakkan juadah teridam


Kupinjam sejeda arus semilir moga mudah menumpangi wisata desah
Uja mengaup bingkisan indah di muara gundah
Syukur melentur sujud di hamparan mawadah

Durja tasik nurani terkocak oleh selancar mimpi berpuisi
Lalu mengombak halus kekata syahdu mengusap bibir pantai hati

Tika ini dinding nubari mulai mengindah
Bingkai-bingkai berukiran sedarinsaf melancarkan lafaz syahadah
Diperelok dengan calitan urna tawaduk memercikkan seri ibadah

Maka, sesayap aksara dan simpang-siur kekata hayat
Berdansa di seputar cecuping mujarad
Syahdu mengalunkan irama kian liar berputar
Namun diperjinak oleh seutas rantai kasih-Mu yang menghantar
sejuta makna mencengkam rusuk rasa
sisa dosa tercair bak pepuing dura pada hujung senja

Ilham Ainol
Segamat, Johor
26 Dis 2008

Friday, December 26, 2008

Tidak Tewas Pada Helaan Nafas Iblis



bila nafsi tewas pada nafas hawa
dan bujukan lahar syaitan
serta godaan genyitan sihiran
akibatnya teramat membebankan
kaki jiwa terpuruk ke lembahan hina

gantungkan bingkai iman berpotret ayat-ayat cinta-Nya
di dinding sedar berpapankan bilah-bilah kesyukuran
agar beresonan lagu syahdu ke segenap rasa
sesegar pagi dicahayai sinar sang rawi
wingit menguntum kelopak ibadah di ujana menanti
seusai berguguran helaian daun usia terakhir di penjuru masa
catatan terindah dikendung mulia saat bertemu-Nya

Ilham Ainol
Segamat, Johor
23 Dis 2008

Monday, December 22, 2008

Ceritera Ini Bernilai RM30 Juta


Dia kata kau berselindung di sebalik bebayang aksara lesen kreatif
Melempar persoalan kebebasan diperkuda sedemikian daif
Siapa yang naïf?

Atau mungkin dia mulai ngeri dengan bebayang angkara diri
Mengekori seakrabnya selagi nubari disuluhi kebencian dan iri
Berhenti sejeda tatkala menyusun tarian adu domba
Risau kerusi dan meja ini mungkin ditukarganti 4 tahun lagi

Sebelum menyinggah sepasang pipi punggung baru
Pentas perlu dilatari cahaya gemerlap meski berdebu
Tagih jeritan sorak girang berlagu simpati
Akulah pejuang paling berbakti

Kini, label selebriti terselit di celahan gigi
Mencipta kontroversi di atas pentas sangsi
Cuba memasang lukah di pergentingan sensasi
Pasti mengembung kocek pitih berkati
Kerna takut pada bayangan sendiri
Dikata bayangan hantu berhasad dengki

Ilham Ainol
Segamat, Johor
16 Dis 2008

Tuesday, December 16, 2008

Kudrat Sezarah Debu Yang Kejam



Kita cuma tamu di penjuru usia
Debu daki bumi seasalnya
Sekerdil dan seseni cuma
Menumpang kasih huluran nikmat-Nya

Namun,
Angkara dilaku mampu menggegar cakerawala
Meluluh hati merenyokkan lipatan sirah ketamadunan manusia
Melempar jauh kalungan anugerah-Nya
Ke dasar nubari gelap bergucuran keringat dosa
Terjelma segara honar yang bergelora

Yang pasrah lemah kotak pundaknya
Sekadar diuliti mimpi empati ketakpedulian
Dirasuk mimpi ngeri ciptaan tangan
Terkapai-kapai di penghujung jalan
Bungkam menyaksi sebuah permusnahan

Bumi terdera nurani insan menghela nafas lelahan dalam pejam
Alangkah hebatnya akibat kudrat daripada sezarah debu yang kejam!

Ilham Ainol
Segamat, johor
11 Dis 2008

Monday, December 15, 2008

Sekelopak Senyuman Itu




Pagi yang lara
Dihimpit dada malam
Dipersesak semilir silam


Mata menguyu langkah leka
Sambil menghirup sisa cengkaman dura

Terpandang setangkai jambu air mulai meranum
Di antara gugusan jambu muda tersenyum
Patih menghadiahi senyuman mempesona
Terlerai langsung belenggu lara

Ilham Ainol
Segamat, Johor

30 Nov 2008

Thursday, December 11, 2008

7 Petala Bianglala















ciptaan Ilahi sarat mengendung hikmah
jutaan rasa berjujuran lewat singkat singgah melengkung megah
di kaki bumantara jernih dikuyupi deraian renyai-renyai terindah

di tangan pemuisi jutaan aksara
bebas berlari di simpang-siur kekata- muluk tulus halus

di jemari pelukis cekap menyusun butir seni
melengkung sujud berzikir senyap- khyusuk tawaduk sejuk

di kura pemuja segar terlarik urna menguja
di kanvas minda turun merenjis nubari- semuluk sekudus erti

Ilham Ainol
Segamat, Johor
28 Nov 2008

Monday, December 1, 2008

pesona bianglala

terbias santun ke layar ghaib bumantara
saat bebola api memfraksi rinai-rinai hujan setepatnya
patih senyap memercikkan tujuh petala lengkungan berona
indah terngah ralit mentafsir makna
petaka tersihir oleh keindahannya
meski sejeda kunjungannya

Ilham Ainol
Segamat, Johor
29 Nov 2008

Friday, November 28, 2008

Datuk untuk Pak Beca


Sekeping pingat Datuk SRK terlantun ke cuping maruah
Tercalar sebitara amarah terluah
Bertambah parah tersangkut ke kuku musuh berdarah
Segenap dinding bisu bebal tetiba sumpah-seranah

Pingat melambangkan kegigihan dan pengorbanan mulia
Jasa dikenang kerna mengangkat martabat bangsa
Jerih menjaja jenama nusa seantero dunia
Apalah nak dihitung besi sekerat cuma
Bila laba dianggar berlipat ganda

Usahlah kecoh petaka ibu ayam senak bertelur
Sebutir diraih sekampung bingit tak tentu mashyur

Cubalah mengenang bakti si Pembeca
Gucuran keringat setulen emas ditempa
Urna menghiasi kenderaan mesra menyapa
Segenap pelancong seronok membingkis kenangan ria

Itulah secuil pengorbanan kasih yang sejati
Sematkanlah pingat megah itu di dada nubari
Selempangkanlah pujian murni ke bahu pertiwi
Pandanglah ke dalam bukan ke luar sahaja
Barulah pandangan bergeliga berimbang tara

Ilham Ainol
Segamat, Johor
27 Nov 2008

Tuesday, November 25, 2008

Perut Gunung Itu Membusung?


Dulu perutmu merata berkeroncongan
Saat gunung harapan menyembam ke lembahan
Tika maruah dicakar kuku kepongahan

Sekeping kebebasan dijamah enak tak terperi
Selepas berjaya penjajah durjana diakali
Kerismu berkuasa kembali memperkasa pertiwi
Pelan masa dirangka bersama berdiri
Soal ras dan temeh ditolakketepi

Namun,
Yang tamak mengutip untung di sepanjang ranjau
Akhirnya menjadi penagih sasau

Setelah tinggi menggunung honar
Jantung ego diserang ahmar
Singkat hayat kebebasan tergulir
Wabak mencengkam darah bernanar mengalir

Tiba saat merawat simtom kebejatan
Kumpul semula segenap kekuatan
Yang berlalu biar dijadikan warkah pedoman
Amanah suci perlu ditatang seranumnya
Pasakkan jatidiri pada tiang nusa dan agama
Warisan bermaruah menjadi bingkai piagam generasi muka
Menolak segala kudis perpecahan dan virus haloba
Demi mengidamkan sebentuk jasad jemala dan nubari sihat seimbangnya

Ilham Ainol
Segamat, Johor
25 Nov 2008

Monday, November 24, 2008

Dura Pada Durja Ombak dan Bonda

Jumantara ralit bercermin pada durja laut
Kala sang rawi taat menurut
Kala sang bayu setia berpuput

Sambil membelek rerambut awan berkerusut
Putih berkelabu ditompoki gabak berensut
Berkuntum mawar putih santun di sanggul litup

Sang rawi masih setia menanak sebelanga cahaya
Menghangatkan suasana hingga ke perut segara

Durja ombak menggeliat manja diusap jemari bayu dari segenap penjuru
Matlamat senyap dipadu ke pantai bahagia jua dituju

Berlari-lari tanpa dikejar taat mematuhi rencana
Santun menyimpai nasihat melerai rahsia

Sesampai pantai ditujui segala nikmat hikmah tertafsir
Mengulangi tabiat hingga kelikir digilap menjadi pasir

Di pantai tercipta pesta buih mengasyikkan
Berdansa segairahnya meraih puncak kenikmatan
Mesra mencium pipi pantai seusai tugasan

Lenyap senyap meresap ke leliang pasir cinta
Petaka sedalam kolam kasih suci bonda
Biar sementara sifatnya
Namun ia tertumpah semaunya tanpa dirayupinta
Membekam terakam sedalam-dalamnya

Ilham Ainol
Summerset, Rompin
21 Nov 2008

Wednesday, November 19, 2008

Usunglah Aku Ke Pusara Itu

Cuping nubari dipiat pijar
Mendengar mereka mencabar dan melakar
Menahan lukah hujah rapuh
Di pergentingan laba siasah angkuh

Apakah makna sebilah kebebasan
Seandainya keris dihunus menikam badan

Usunglah aku ke pusara abadi
Moga bersorak si peraih sangsi dan iri
Kuburkan aku bersama si jawi
Usah berpayah diratapi, ditalkini dan dinisani

Jawablah kepada generasi esok
Usah malu digelar pengkhianat terbusuk
Biar ia pergi rengsa terpuruk
Pandailah cucu menggilap dan memperelok

Warisan yang digali akan disaji
Untuk tatapan kajian akal nan ahli
Meski berkarat kan berguna nanti

Usunglah aku segera ke liang abadi…

Ilham Ainol
Segamat, Johor
18 Nov 2008

Tuesday, November 18, 2008

Waris Cinta Sakinah




Kesempatan cuti hujung minggu lepas telah saya manfaatkan sebaiknya dengan membawa keluarga bercuti sambil bersiar-siar di Bandar Hilir Melaka dan Ayer Keroh. Selepas menerima keputusan UPSR yang agak mendukacitakan Amira,puteri sulung saya, maka saya telah membawa Amira ke Melaka untuk menghiburkan hatinya yang sedang dirundung awan kekecewaan. Renyai-renyai airmata bergenangan kerna tidak tahan melihat kekecewaan merundung nasib puteri saya itu. Namun, sekarang Amira telah mulai lega dan dengan penuh reda menerima keputusan 4A 1B itu. Sebagai ayah pengalaman melihat anak sendiri ditimpa rusuhan resah dan gelisah amat menyakitkan. Namun, saya reda dan bersyukur dengan kehendak-Nya.
Seperti biasa destinasi yang ditujui sudah semestinyalah Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan. Jika berkunjung ke sana, saya tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke toko-toko buku seperti MPH dan Popular Bookstore.
Saya sempat menyambar 3 buah novel remaja yang sememangnya telah lama dirancang untuk memilikinya. Novel-novel yang telah meraih HSKU anjuran Utusan Publications itu sering mengisi jadual perancangan saya untuk memperolehinya pada suatu hari nanti.
Warisnya Kalbu, Salju Sakinah dan Tarawikh Cinta akhirnya menjadi milik saya. Penulis-penulis yang semakin menyinar bintang di langit sastera tempatan sememangnya tidak mengecewakan. Penulis-penulis tersohor seperti Zaid Akhtar, Nisah Haron dan Sri Rahayu Mohd Yusop telah mulai mendapat tempat di penjuru rak buku peribadi, dan saya sering mengikuti perkembangan seni mereka.
Zaid Akhtar merupakan lulusan Universiti Jordan, Yarmouk. Saat ini mengajar di SMKA Segamat. Manakala Nisah Haron pula penulis sepenuh masa yang merupakan mantan peguam syarie. Bagi Sri Rahayu pula, beliau berasal dari Tanjung Karang pernah memenangi anugerah HSKU sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Anugerah Sayembara telah dijadikan wahana bagi penulis-penulis muda dan berbakat memperkenalkan diri dan mengasah bakat.

Tuesday, November 11, 2008

Hujan itu macam menyinggah





Melihat ke luar
Luka dunia berparut halus dan kasar
Menjengah ke dalam
Rawang jiwa rusuh meredam

Moga seni hujan ranum meruntun
Menumpahkan penawar yang santun
Menjernihkan qalbu
Mengnyah palsu
Haru-biru, tertipu

Jendela dikatup ,punat tv ditekan
Terngah melihat durja Obama
Senyuman berahsia penuh makna

Duhai hujan
Aku masih mendambakanmu
Juga, dia dan mereka…


Ilham Ainol
Segamat,Johor
7 Nov 2008

Thursday, November 6, 2008

Jemputan...jemputlah...



Baru-baru ini saya banyak menerima undangan untuk menghadiri pelbagai majlis. Majlis perkahwinan, majlis Marhaban sempena Syawal mulia, majlis Rumah Terbuka sempena Syawal Al-Mubarak dan kenduri doa selamat. Terasa gembira dan seronok kerana dijemput untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Namun saya merasa sedih dan kecewa kerana cara dan kaedah yang digunakan oleh si berhajat agak mengecewakan. Kenapa?
Yang pertamanya salah seorang jiran saya yang tidak pernah menghadiri apa-apa keramaian atau majlis seumpama di atas di kawasan kejiranan kami telah menjemput saya untuk menghadiri Majlis Rumah Terbukanya pada 2 minggu lepas. Jiran saya tersebut ada datang mencari saya namun kerana pada waktu pejabat maka saya tiada di rumah, kerana tidak mahu datang kembali maka jiran saya itu hanya berpesan kepada pembantu rumah saya. Jadi,apa reaksi saya dan tindakan saya?
Saya rasa kecewa dan berkecil hati kerana mempunyai jiran yang sedemikian sibuk dan tidak prihatin. Nasib baik pada masa tersebut ipar duai dan ibubapa mertua saya singgah dan bermalam di rumah, maka saya mempunyai alasan untuk tidak menghadiri majlis tersebut.
Kes yang kedua pula, seminggu lepas saya telah menerima sekeping kad jemputan perkahwinan jiran saya. Jiran saya itu bakal mengadakan kenduri kahwin sulung bagi anak sulungnya. Namun, yang menjadi tanda tanya dan persoalan adalah tiada tertera nama atau alamat di luar kad dan di dalam kad jemputan tersebut. Saya merasa sangsi dan terngah kerana perkara cuai berlaku pada perkara yang sepenting itu. Pada mulanya saya enggan menghadirinya, namun jiran saya di sebelah rumah telah menjemput saya secara lisan. Oleh yang demikian, saya akhirnya menghadiri majlis tersebut.
Sehubungan dengan kedua-dua perkara di atas, saya mohon cadangkan agar kita perlulah peka, sensitif dan bersedia semasa menjemput jiran atau sahabat ke majlis-majlis yang tersebut di atas. Ini kerana perkara yang baik dan dianjurkan agama seandainya dibuat secara lewa bakal mengundang kekecewaan dan ketidak-puasan hati di pihak-pihak tertentu. Oleh itu, kita perlu memastikan nama dan alamat ditulis dengan jelas dan betul sebelum dihantar kepada penerima. Jua, kita hendaklah berbaik dan bertegur sapa dengan jiran tetangga kerana hanya ‘sejemput’ sahaja masa dan tenaga yang diperlukan untuk melakukakannya. Yang penting usaha ini mampu mengeratkan dan memanjangkan silaturrahim di antara jiran tetangga. Renung-renungkanlah!

Friday, October 31, 2008

Novel "Laskar Pelangi"


SINOPSIS

Begitu banyak hal menakjubkan yang terjadi pada zaman kecil para anggota Laskar Pelangi. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tak menyerah walaupun keadaan tidak bersimpati pada mereka. Tengoklah Lintang, seorang kuli kopra cilik yang genius dan dengan senang hati berulang-alik sejauh 80 kilometer dengan menaiki sepeda demi memuaskan dahaganya akan ilmu—bahkan terkadang hanya untuk menyanyikan Padamu Negeri di akhir waktu sekolah. Atau Mahar, seorang pesuruh tukang parut kelapa sekaligus seniman yang imaginatif, tak logis, kreatif, dan sering diremehkan sahabat-sahabatnya, namun berhasil mengangkat darjat sekolah kampung mereka dalam karnival 17 Ogos. Dan juga sembilan orang Laskar Pelangi lain yang begitu bersemangat dalam menjalani hidup dan berjuang meraih cita-cita. Selami ironisnya kehidupan mereka, kejujuran pemikiran mereka, indahnya petualangan mereka, dan temukan diri anda tertawa, menangis, dan tersentuh saat membaca setiap lembarnya. Buku ini dipersembahkan buat mereka yang meyakini the magic of childhood memories, dan khususnya juga buat siapa saja yang masih meyakini adanya pintu keajaiban lain untuk mengubah dunia: iaitu pendidikan

Friday, October 24, 2008


Sepurnama berlalu. Rumah biru ini dibiarkan tanpa berpenghuni kerna Ramadhan berada di penjuru waktu; kemudian ditemani Syawal yang mengasyikkan; dan akhirnya digumuli kuliah berselang-seli dengan urusan keluarga-anak demam panas lalu dimasukkan ke Hospital Pantai Melaka;serta seminggu dirundung sakit yang menyeksakan. Namun,segala yang dilalui amat menginsafkan dan disyukuri. Insaf kerna mengetahui kekuasaan-NYA dan rencana-NYA, jua lawang syukur diketuk lembut kerna seorang aku masih mampu mensyukuri nikmat dan kesempatan yang dikurniai-NYA kepada insan yang kerdil lagi lemah ini. Doa dan harapan sering dipanjatkan agar diberi kesempatan sekali lagi pada tahun depan untuk menikmati bulan Ramadhan dan Syawal yang penuh keberkatan.

Pulang beraya ke kampung kali ini amat menginsafkan. Melihat ibu dan ayah serta ninda yang semakin uzur. Pancaran kasih dan sayang di durja mereka ternyata membahagiakan. Sesungguhnya, aku bersyukur kerna diberi peluang menemui mereka dan sempat memohon seribu keampunan dan kemaafan. Tangan-tangan yang berkedut dan kasar itu telah menghantar aku ke lembah nostalgia bagaimana tangan-tangan itu yang suatu masa lalu lembut dan licin sambil menatang dan mengasuh aku sehingga menjadi orang yang berguna dan berjaya. Tanpa tangan-tangan itu dan doa kudus mereka pasti aku tidak akan berpeluang menghirup cangkir kehidupan yang amat jernih dan membahagiakan.
Syukur Tuhan.

Wednesday, September 24, 2008

Dari Lawang Ramadhan Ke Pintu Syawal



pintu karnival ibadah terkuak mesra
meredam rasa sepurnama lama
berpesta lapar bersenandung dahaga
menebar jala ibadah mengutip mata
untuk ditebus di penjuru masa

betapa indah segak busana
bercorak tarawih witir pesona
sedekah tadaruz kalam dicerna
mengumpul sebanyak laba dicita
syukur tawaduk takwa mulia

nubari menguntum bebunga ketenangan
syawal digelar hari kemenangan
mengikis hasad bakhil dan bangga
bermaaf-maafan tangan disua
khusyuk memohon keampunan-NYA
mengalun takbir tahmid dan doa
fitrah dilunas mensuci hening dosa
kunjung-mengunjung mengerat rasa
menziarahi pusara sanak saudara
moga praktis kekal selamanya
bertambah cemerlang buku catatan-NYA

Ilham Ainol
23 September 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir dan Batin

Friday, September 19, 2008

Urna Segar Indah




Warna memainkan peranan yang unik dan menarik. Tanpanya kita hidup dalam serba hitam putih. Sudah pasti bosan dan tumpul daya imaginasi dan kreativiti.

Wednesday, September 17, 2008

Anugerah Sayembara Novel Sejarah Johor 2008


Pada 15 Ogos 2008 saya berkesempatan menghadiri Majlis Anugerah Sayembara Novel Sejarah Johor. Kami berlima iaitu ustaz Ahmad Nawawi, Lee Tan Luck, Syikin dan Fadilah telah memenuhi jemputan Yayasan Warisan Johor untuk menghadiri acara gilang-gemilang yang diadakan di Persada Johor, Johor Bharu. Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Abdul Ghani, Menteri Besar Johor Darul Takzim. Pada malam tersebut saudara Mohd Kassim telah memenangi tempat kedua,manakala puan Rahimah Muda telah berjaya mendapat tempat ketiga. Hadiah saguhati keempat dan kelima telah disandang oleh cikgu Abdul Latib Talib. Majlis kali ini turut mengumumkan tiada pemenang tempat pertama kerana karya yang dihasilkan masih belum mencapai tahap yang ditetapkan oleh panel penilai. Pada hari kedua,kami dijemput untuk menyertai Majlis Bicara Puisi Integriti dan pelancaran buku Bahasa Sungai -Antologi Sajak Integriti. Pihak penganjur telah menjemput saudara Lim Swee Tin dan Zurinah Hassan untuk membarisi panel penilai. Saudara Arbak Othman pula telah diamanahkan untuk mengulas buku Bahasa Sungai. Usai majlis pelancaran kami telah dihadiahi buku Bahasa Sungai. Saudara Shapiai Mohd Ramly turut menghadiahkan saya sebuah antologi sajaknya yang terbaru yang memakai tajuk Keris Sebilah Itu. Marilah kita menelusuri aliran sungai yang bijak menghantar makna dan rasa itu. Bagi buku Keris Sebilah Itu pula, saya anjurkan kita mengembalikan kuasa itu kepada tuannya yang berhak, dan menatang kuasa itu sewarasnya demi keamanan dan kelangsungan bangsa kita.

Monday, September 15, 2008

Tunggu Teduh Dulu


Usai membaca Tunggu Teduh Dulu,karya Faisal Tehrani sesungguhnya berbaur. Novel setebal 678 mukasurat asalnya cerpen bersiri yang diterbitkan di dada akhbar harian beberapa tahun lalu. Membaca novel ini tidak perlu meredah hutan belukar dan semak-samun kamuskata yang menyesakkan. Bahasa yang digunakan mengalir lancar dan ranum. Jalan cerita yang diketengahkan juga serasi mengalir menuju ke muara didaktik yang perlu ditangguk dan disaring. Kisah berkisar Salsabila Fahim, Kamil dan Lam Ping Hai dalam kehidupan seharian yang mengilhamkan. Kisah tiga taulan yang saling kenal sejak dari bangku sekolah lagi sehingga dewasa diangkat untuk memenuhi ruang penceritaan yang diselang-seli dengan pengajaran dan pengalaman serta ilmu pengetahuan penanaman betik di ladang tinggalan arwah ayah Salsabila. Bila umur mencecah dewasa maka lawang nubari masing-masing diketuk tangan-tangan cinta yang mengasyikkan. Maka berlakulah pertentangan dan cemburu, dan membuahkan pergolakan dan kekecewaan. Manakala Teh Sofia, Mak Cik, Shahruzzaman dan Mimi berperanan membantu mengindahkan lagi Tunggu Teduh Dulu. Tebal novel ini sedikit mengkagumkan namun ia sungguh bercerita dan menghiburkan. Sayang sekali untuk dilepaskan begitu sahaja tanpa menghabiskannya dan seterusnya menebak maksud dan amanat yang diselitkan begitu bijak dan memujuk. Ia memberi kesan yang pelbagai namun memuaskan. Cubalah dekatinya!

Thursday, September 11, 2008

Ujana Ramadhan itu...


gesit menghantar kenangan ke pucuk usia
gontai menggenyeh mata di pagi buta
hanyut sejeda digoda kehangatan selimut
tetiba suara bonda memanggil lembut
terlerai kemalasan nubari menyambut
bingkas mengurusi helaian hitam kerusut

lalu menyuap sebutir rezeki mengalas perut
usai bersahur merdu azan beresonan bersahut
tertumpah madu yakin di sukma sejadah
menagih laba rahmah dan inayah
bersenandung lagu lapar dahaga merenyah
bertambah getir panahan mentari bahang mengunyah
terik membakar menghadiahi sepotong getir
kejerihan ditampan iman mengukir
bingkai berurna di dinding takwa

maka, kedengaran paluan ribuan lagu alam tika berbuka
bait-bait doa dianyam memohon kurnia
digelar insan terpaling berbahagia di dunia fana

tirai malam digantung manik-manik tarawih
diperindah wingit witir suci memutih
juraian keinsafan mendinginkan sejadah di sepertiga malam
membibit pepohon takwa penghias ujana Firdausi
mekar menguntum ke muara duniawi

Ilham Ainol
Segamat, Johor
11 Sep 2008
11 Ramadhan 1423

Wednesday, September 10, 2008

Silat apologetik



gelaran apologetik dikalungkan ke leher Pak Tuan
saat tuan tersungkur lumus di kura rakyat
dicekik sehelai warkah pilihan warga meronta
boyak menyalak bukit takhta ketakpedulian
tangan-tangan oportunis mencakar leluasa
helah mengugut keluar dari taman muhibah
sampai bila taman ini mampu berbunga harmoni
menyumbang madu hidup berseni
Kukuhkah ikatan tanpa tali ini?
meniti jalur zaman tidak sunyi diuji
namun jika bijak berlembar tegas menganyam kesepaduan
permaidani gulat bukat dibentangkan
maka berjalanlah kita di atasnya penuh keyakinan
lurus dalam luar meski adakala belok menyesatkan
yakinlah pada mauduk taman muhibah
jika dirong-rong pasti darah tersimbah
lenyap sebuah percaturan direnggut musibah

Ilham Ainol
10 Sep 2008

Tuesday, September 9, 2008

UPSR 2008



9 September 2008 bersamaan 9 Ramadan 1423 merupakan hari yang paling bersejarah bagi Amira. Kerana hari ini Amira akan menduduki peperiksaan UPSR. Hari yang dinantikan telah tiba,maka ‘berterbanganlah rama-rama di dalam perutnya’. Semenjak dua tiga hari yang lepas terdapat ramai ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai menelefon dan menghantar SMS bagi mengucapkan ‘Selamat Berjaya’ kepada Amira. Dari datuk, nenek di Muar dan Perak sehinggalah kepada bapa dan ibu saudara dari Kuala Lumpur dan Ipoh. Sahabat dari Tangkak dan Johor Bharu serta Shah Alam tidak ketinggalan mendoakan kejayaan Amira. Bapa saudaranya yang mengajar di SK Jelapang juga memperturunkan beberapa soalan-soalan ramalan bagi persiapan terakhir Amira menghadapi suatu ‘pertarungan mental’ yang agak hebat. Saya kata agak hebat kerana saya tidak nampak durja yang mempamerkan ‘ketegangan dalaman’ yang berat. Amira cuma menghadapinya sesantai dan seperti peperiksaan biasa. Namun bagi kami-kedua-dua ibubapa Amira, agak gementar dan terasa bahang tekanan seolah-olah kami yang bakal mendepani ‘pertarungan’ tersebut. Kekadang lucu dan mencemaskan. Akan tetapi yang penting adalah pengembelingan usaha daripada setiap pihak yang berkenaan iaitu para ibubapa dan ahli keluarga, pihak sekolah dan pelajar itu sendiri. Persiapan awal yang bersistematik dan berterusan perlu dilakukan sesegera mungkin pabila calon-calon UPSR mula melangkah tahun 5 lagi. Dari sisi lain, kata-kata dorongan, doa dan solat juga amat penting bagi memohon restu dan keredaan Allah SWT. Maha Pencipta sekalian alam yang amat mengetahui dan memahami segala-segalanya. Hanya pada DIA kita bermohon dan berserah. Ia merupakan tunggak rukun iman yang diyakini. Allahhuakbar!

Monday, September 8, 2008

batu putih mata



selepas berputih mata
terlepas si batu putih ke tangan singa
luka mendalam tertumpah cuka di penjuru senja
ada yang bermuram durja
ada yang terpinga
ada yang menitip warkah nista
dan,
ada yang gontai terus menjaja
gesit mengalir sungai ke muara
jamahlah hasil perkebunan kita
busana kealpaan dikenakan ke jasad ketidakpedulian
hari ini seketul batu lenyap di kura tangan
esok lusa usai tergadai sarwa sempadan

Ilham Ainol
Segamat, Johor
8 Ogos 2008

Wednesday, September 3, 2008

Lawang Rahmah




Durjamu sejernih air di telaga kausar
Kesempatan meneguk setitis
Seribu musim gersang tertangkis
Suaramu bergulat di tangkai nubari
Menggetar rasa menghibur lara
Kelibatmu menggoda sarwa pancaindera
Mendamaikan taufan segara hawa
rahmahmu tulus meruah tak bertepi
tak luak dihirup madu kasih-NYA
beruntung pada mereka yang bertaqwa
mohon dijadikan warga syurga
biar selembar pasti daya dijahit menjadi busana
dipakai pabila bertemu dengan-NYA

Ilham Ainol
Segamat,Johor
3 Sep 2008

Friday, August 29, 2008

Solat Hajat SK Bandar Putra

Malam semalam saya berkesempatan menghadiri Majlis Solat Hajat di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra, Segamat. Majlis tersebut dianjurkan oleh pihak sekolah bagi memohon limpah kurnia dan inayah Allah swt agar pelajar-pelajar Tahun 6 SK Bandar Putra berjaya memperoleh 5 A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah yang bakal diadakan pada 9 September 2008 depan.
Amira,puteri kesayangan dan kebanggaan saya bakal menduduki peperiksaan tersebut. Amira telah berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh dan berhasrat mendapat keputusan 5 A dalam UPSR yang bakal tiba. Saya berbangga dan berpuas hati dengan pencapaiannya kerana Amira telah memperoleh 5 A dalam peperiksaan baru-baru ini.
Keputusan saya dan isteri untuk mencari seorang guru tusyen Bahasa Melayu untuk mengajar Amira seminggu sekali ternyata membuahkan hasil. Selama ini pencapaian Amira dalam mata pelajaran Bahasa Melayu agak tidak konsisten. Namun, berkat usaha Cikgu Hasan dan kegigihan yang dipamerkan oleh Amira maka pencapaiannya semakin memberangsang,juga berjaya mengikis kebimbangan kami. Syabas Cikgu Hasan dan Amira!
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah di surau sekolah pada jam 7.16 malam. Ustaz Amran Syukor telah mengimamkan solat Maghrib. Seusai solat, jemaah dipimpin oleh ustaz Amran untuk membaca Yasin, kemudian bertahlil semoga usaha kita selama ini diberkati dan diredai. Pihak sekolah telah menyediakan air mineral dan kismis untuk diberikan kepada semua pelajar. Gurubesar SK Bandar Putra iaitu Tuan Abdul Rahman bin Ibas telah menceritakan bahawa seorang professor Jepun pernah mengkaji molekul-molekul air yang dibaca dengan bismillahirrahmanirrahim dengan air yang tidak dibaca dengan bismillahirrahmanirrahim. Beliau mendapati bahawa molekul-molekul air yang dibaca dengan bismillahirrahmanirrahim ternyata berbeza bentuk dan sifatnya. Ia membuktikan satu kelebihan dan mukjizat mengenai kebesaran ayat-ayat suci Al-Quran.
Seusai majlis membaca Yasin dan tahlil, kami menunaikan solat Isyak berjemaah pada jam 8.45 malam. Selesai solat Isyak kami beramai-ramai mengerjakan solat Hajat dan seterusnya memohon keredaan dan keampunan Allah swt agar pelajar-pelajar tersebut memperoleh 5 A seperti yang disasarkan dan diidamkan semua. Selepas solat Hajat, ustaz Amran memohon agar semua jemaah berdiri sambil bermarhaban bagi memberi laluan kepada acara bersalaman di antara ayah dengan anak lelaki;ibu dengan anak perempuan; pelajar dengan guru-guru dan seterusnya ayah dengan anak perempuan dan ibu dengan anak lelaki masing-masing. Suasana hiba dan kesyukuran menyelubungi segenap nubari ayah dan ibu serta anak-anak mereka. Restu dan kata-kata perangsang daripada ayah dan ibu kepada anak-anak amat bermakna meski berbaur kepiluan dan kesayuan. Namun saat tersebut merupakan satu pengalaman yang indah, manis dan sukar dikikis daripada sirah kehidupan ini.
Saya sentiasa mendoakan agar Amira memperoleh keputusan yang dicitakan. Sebelum Amira mencapai kejayaan tersebut saya sentiasa berpesan kepadanya agar tidak meringan-ringankan solat 5 waktu. Di samping itu usaha yang berterusan dan konsisten juga penting bagi memastikan ilmu yang ditimba cekal kekal di dalam minda dan nubari. Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Memahami.
Allahuakbar!

Thursday, August 28, 2008

Warkah dendam tercucuh amarah

usah dibiarkan helaian dendam dicucuh api amarah yang menganihili

sesayap masa pasti setaatnya mengadili

meski deja vu menjadi galang-ganti

deguklah kasih berpati waras

nikmat membasah kerongkong puas

itulah kepuasan dicari si cekal cerdas


Ilham Ainol
Segamat,Johor
28 Ogos
2008

*Sempena pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.

Wednesday, August 27, 2008

Hilang Mengejar Bayang



Hang Tuah pernah melakar laungan di gegendang sirah
Tak kan Melayu hilang di dunia
Namun hakikatnya Melayu sering mencincang bayang
Hilang rasa,hilang malu,hilang arah,hilang semangat,hilang pedoman
Kini ,
Hilang akal,hilang kuasa,hilang tanah,hilang rezab
Kenistaan yang mengazab
Hakikat yang menjerut leher warisan
Tercungap generasi menjuih buih kesesalan
Luka mendalam tidak berdarah lagi parah
Cekal mencuka luka sejarah
Justeru,
Ingatlah pemegang keris sakti
Sebelum dirembat tangan-tangan haloba dengki iri
Rapatkan barisan jernihkan matlamat
Agar masa diisi penuh nikmat
Tekal merempuh topan kesumat
Berdiri sekali lagi jatidiri yang terhormat

Ilham Ainol
Persada Johor,JB
15 Ogos 2008


Tuesday, August 26, 2008

Harum Sundal Malam



Nama bunga Harum Sundal Malam sesantainya diberi kerana harumnya semerbak menjelang waktu malam. Keharumannya menambah rasa ngeri tatkala berbaur keheningan malam. Meski ada pihak merasa kurang selesa dengan nama yang diberikan,namun ia semestinya membawa maksud yang tersendiri dan ‘menyeramkan’. Nama saintifiknya ialah Polianthes Tuberosa. Berkelopak lima dan badannya memanjang serta memakai urna putih bersih. Daunnya hijau merimbun dan ia berdiri setinggi 7-8 kaki.
Bunga ini menjadi terkenal semula setelah sutradara Shuhaimi Baba mengangkat nama bunga itu menjadi judul filem. Filem Pontianak Harum Sundal Malam ternyata berjaya mempopularkan namanya sehingga ia meniti mesra di bibir warga. Watak penari panggung yang menjadi mangsa cemburu dan iri telah menjelma menjadi pontianak setelah dibunuh dengan kejam oleh pemujanya. Semasa dibunuh si penari sedang berbadan dua. Kepercayaan umum mengatakan bahawa perempuan mengandung mati dibunuh akan menjelma sebagai pontianak. Dan,ia akan mencari pembunuhnya demi menuntut bela di atas kematiannya.




Friday, August 15, 2008

Bantahan Aman UiTM Johor

Tepat jam 11.20 pagi bertempat di Dataran Bendahara, UiTM Johor maka bergemalah laungan ‘Hidup Bumiputra’ dan ‘Hidup Melayu’. Laungan yang keras dan serius itu pertama kali berkumandang di Dataran Bendahara yang bakal menjadi sejarah. Sejarah yang akan tertera di minda dan nubari para pelajar UiTM agar bangun menentang kenyataan provokasi Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau dengan lantangnya menganjurkan agar UiTM membuka ‘pintunya’ kepada kaum lain. Beliau mencadangkan agar 10% kaum bukan bumiputra diberi peluang untuk menimba ilmu di menara gading tersebut yang kesekian lamanya hanya khusus untuk pelajar bumiputra sahaja.
Mendengik mentari pagi terik membakar kulit namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat para pelajar dan staf UiTM Johor untuk meneruskan bantahan secara aman. Isu ini telah dilihat sebagai niat untuk mengalihkan pandangan umum daripada menumpukan perhatian di Permatang Pauh kepada isu kontroversi tersebut. Tan Sri Khalid Ibrahim rela menjadi ‘korban’ percaturan politik PKR mutakhir ini bagi memastikan laluan mudah kepada saudara Anwar Ibrahim meraih kemenangan besar pada pilihanraya kecil yang bakal diadakan pada 26 Ogos 2008 nanti. Seandainya beliau menang maka sebahagian perancangan beliau untuk menerajui tampuk kuasa negara bakal tercapai dengan mudah.
Isu tersebut meletus pada awal minggu ini,dan pada hari Rabu iaitu 13 Ogos 2008 dianggarkan 10,000 pelajar UiTM Malaysia (Shah Alam) keluar beramai-ramai menuju ke bangunan Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam sambil melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup Bumiputra’. Protes yang ditunjukkan oleh para pelajar UiTM tersebut sememangnya wajar dimengerti. Ia menunjukkan bahawa mereka tidak bersetuju dengan anjuran Menteri Besar tersebut,dan mereka juga enggan bersekongkol dengan petualang Melayu yang sedang enak meratah juadah ‘kuasa’. Malangnya, hanya UiTM sahaja yang tinggal untuk para pelajar bumiputra mendapat pendidikan di pengajian tinggi tanpa perlu berebut dan berkongsi dengan kaum lain. Mereka berasa terkilan den.gan kenyataan seorang pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan masa depan anak Melayu demi menagih insentif ‘perbatuan politik’ yang murahan dan melampau. Oleh itu, selagi anak bumiputra tekun menimba segala ilmu dan peka kepada alam sekitar serta wani menyahut cabaran mendatang,maka masa depan anak-anak bumiputra ini bakal terbela dan terjamin.

Ingat kepada slogan ‘takkan Melayu hilang di dunia.’ Laungan keramat yang diwariskan Hang Tuah kepada kita wajar dipertahan dan diperjuangkan habis-habisan demi maruah dan kelangsungan survival bangsa Melayu khususnya dan bangsa Malaysia amnya. Bangsa Melayu yang kaya dengan sikap sopan santun mudah berubah menjadi seekor harimau garang seandainya ia dicabar dan diinjak. Kita semestinya perlu bersikap lebih sensitif dan toleran dalam menangani isu masyarakat majmuk yang berbilang agama dan budaya.

Tuesday, August 12, 2008

Pertandingan Baca Puisi Pelbagai kaum Peringkat IPT

Tanggal 12 Ogos 2008 jam 10.00 pagi bertempat di Dewan Sri Temenggung, UiTM Johor telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang Pertandingan Baca Puisi Pelbagai Kaum Peringkat IPT Awam/Swasta Bagi Zon Selatan. Pertandingan ini adalah kerjasama di antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan UPENA UiTM Johor yang julung-julung kali diadakan.

Pada awalnya 7 kumpulan yang mewakili 7 buah IPT dari zon Selatan bakal menyertai pertandingan tersebut namun pada saat pertandingan diadakan hanya 3 kumpulan yang hadir. Ketiga-tiga kumpulan tersebut terdiri daripada Kolej Yayasan Melaka, Institut Perguruan Temenggung Ibrahim dan Universiti Teknologi MARA Johor.




Setiap kumpulan mestilah dianggotai dari 3 kaum yang terdapat di sesuatu IPT. Bagi kumpulan Kolej Yayasan Melaka dan Institut Perguruan Temenggung Ibrahim -kumpulan mereka terdiri daripada kaum Melayu,Cina dan India manakala kumpulan UiTM Johor terdiri daripada kaum Melayu, Kadazan-Dusun dan Iban. Setiap kumpulan dikehendaki menyampaikan 2 buah puisi yang terdiri daripada satu puisi moden dan satu lagi puisi tradisional. Para peserta diberi masa 15 minit untuk mendeklamasi dan mendendangkan puisi-puisi yang terdapat di dalam senarai pihak penganjur.

Persembahan akan dinilai dari segi kelancaran, penghayatan dan keharmonian puisi-puisi yang dideklamasikan dan didendangkan. Kelancaran penyampaian bermaksud bait-bait puisi mestilah dihafal agar puisi dapat dideklamasikan selancar dan sebaik mungkin. Manakala penghayatan pula bermaksud memahami tema,maksud setiap perkataan dan keseluruhan mesej yang hendak disampaikan dalam sesebuah puisi. Tanpa penghayatan yang baik dan mendalam maka puisi yang dideklamasikan akan menjadi hambar dan tidak menarik. Bagi sisi keharmonian pula,ia bermaksud vokal dan bahasa badan yang digunalkan mestilah selari dengan tema dan maksud keseluruhan puisi agar ia sentiasa harmonis dan manis didengar. Selain daripada itu, bagi puisi tradisional pula kelunakan dan kemerduan menjadi daya tarikan yang tinggi kepada panel hakim. Ini kerana puisi tradisional bertujuan menghiburkan dan sedaya upaya ‘menggoda’ tumpuan para penonton untuk terus menghayati persembahan dan pengajaran yang diselitkan dalam sesebuah puisi tradisional seperti syair,gurindam dan seloka.

Barisan para hakim yang bijaksana terdiri daripada Tuan Haji Shafiai, Puan Zaiton dan Encik Shamsudin. Ketiga-tiga hakim tersebut sememangnya berkelayakan dan berpengalaman dalam usahadaya sedemikian. Tuan Haji Shafiai sekarang berkhidmat dengan Yayasan Warisan Johor, manakala Puan Zaiton dari Bahagian Perkembangan Kesusasteraan Bandingan,DBP Kuala Lumpur, dan saudara Shamsudin merupakan penulis terkenal yang memakai nama pena Sham Al-Johore.




Seusai pertandingan dua buah persembahan telah dihidangkan yakni nyanyian dan tarian zapin Sarawak. Saudara Mohd Safwan telah mendendangkan 2 buah lagu yang bertajuk Ayah dan Ibu, dan Joget Kenangan Manis. Kedua-dua buah lagu tersebut pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Peserta persembahan terdiri daripada pelajar-pelajar UiTM Johor sendiri. Selingan yang disediakan berjaya menghiburkan para hadirin sambil menantikan keputusan para hakim.

Tepat jam 12.40 tengah hari maka acara penyampaian hadiah dilangsungkan. Tempat ketiga disandang oleh kumpulan Institut Perguruan Temenggung Ibrahim, manakala Naib Johan dirangkul oleh kumpulan Kolej Yayasan Melaka, dan gelaran Johan dianugerahkan kepada kumpulan UiTM Johor. Hadiah pendeklamator terbaik sebulat-suara diberikan kepada saudari Grace Gamitat daripada Kumpulan UiTM Johor. Saudari Grace berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM150. Johan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000, manakala Naib Johan menggenggam wang tunai bernilai RM700,dan tempat ketiga menerima wang tunai sebanyak RM500. Selain hadiah wang tunai,para peserta juga diberikan hadiah penyertaan berbentuk hamper yang bernilai RM70. Dengan itu, kumpulan UiTM Johor bakal mewakili zon selatan untuk ke Pertandingan Baca Puisi Pelbagai kaum Peringkat IPT Awam/Swasta Peringkat Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2008.


Monday, August 11, 2008

Di Penjuru Silam

semilir malam
melarik dendam
rindu mencengkam
luka terketam
bebayang suram
purnama membungkam
kisah semalam
timbul tenggelam
bagaikan rengkam
tekal terbenam
di penjuru silam

Ilham Ainol
Segamat,Johor
8.8.08



Tuesday, August 5, 2008

7 Petala Urna Merdeka


mengalir darah ke segenap liang jantung
wani menggempur petualang terselindung
menguning jatidiri indah memekar
santun berbahasa budi mengakar
pundak menghitam mencanang wawasan
kata dikota maruah dipertahan
nubari memutih seputih suralaya
suci memperjuang setiap inci haknya
dedaun usiamu mesra mengucup cabaran
berguguran menyubur ranah warisan
mencipta tamadun melakar kejayaan
senjamu berteja jingga mengasyikkan
membelai rasa mengembalikan kewarasan
bumantara menjunjung lazuardi cita-cita
mencatat kesejahteraan di helaian masa

Ilham ainol
segamat,johor
4.8.08

Monday, August 4, 2008

bursa fitnah


cangkir politik pojok sini tertumpah
terkena ekor harimau tempang lalu menyumpah
semau jadikan dewasa ini pasar raya fitnah
kasihan penoreh getah pengait sawit rebah
tercekik sebutir nasi bernilai emas
ia sekadar sisa di kamar nubari yang tak pernah puas

teratak damai berkecai dihempas batu fitnah
atapnya dibakar panahan umpat keji bernanah
dinding dirobek badai kontroversi memusnah
lantainya dimamah anai-anai hasad tak kenal erti lelah

sebelum ditumbangkan sebatang pohon prinsip nan mudah patah
segala kata-kata dahsyat dan menyayat didedah
durja terpalit lumpur malu bila anak kecil bertanya pada abah
apa itu liwat, fitnah, sumpah palsu dan seranah
terpampang pada busana warkah
demi mengaut untung melimpah

malangnya ia bakal kekal tercatat di lembaran sirah
warisan ini dijadikan bekalan
jawaplah leluhur di gerbang masa depan
pangkalan yang menyesak dan memualkan

ilham ainol
segamat,johor
4/8/08



Wednesday, July 30, 2008

Luahan Rasa



Acapkali saya diajukan soalan lazim seperti bagaimana saya boleh bersekolah di sekolah cina? Mula-mulanya terjahan soalan sebegitu memegunkan dan sesekali menyenakkan; kekadang membosankan dan kekadang terbit sinar kejengkelan apa hak mereka mengemukakan soalan tersebut. Adakah mereka kagum melihat kejayaan saya(mungkin mereka kagum dengan keazaman saya hingga membuahkan hasil); atau adakah mereka kurang yakin(sudah tentu bukan dengan saya); atau mungkin sekadar bertanya soalan kosong sahaja. Jawapan kilas beralas saya adalah segala-galanya ditentukan oleh Yang Maha Esa dan diwarnai oleh bapa saya yang bervisi dan berisi. Sudah pasti pendidikan awal anak-anak banyak diwarnai dan dilatari oleh kedua-dua orang tua dan alam sekeliling. Ia dilanjutkan kepada sekolah rendah dan seterusnya melangkah ke tangga menara gading. Hati puas seandainya berpeluang menjejakkan kaki di tangga menara gading di tanah air sendiri; barangkali lebih bertuah dan ‘bermegah’ seandainya berpeluang ke luar negara menghirup angin pengalaman yang berbeza, berpelbagai warna dan rasa. Harapan seorang bapa yang menggantungkan seribu pengharapan ke bahu anaknya untuk menimba seberapa banyak telaga pengalaman; menghirup seberapa banyak rasa dan aroma di cangkir kehidupan; dan mengutip seberapa banyak kejayaan di hari mendatang dan meluaskan ufuk minda serta mempertajam pemerhatian agar akhirnya kita langsung dewasa di dalam bahtera kehidupan dan profesion yang diceburi. Saya tidak kisah seandainya jawapan itu bakal mengundang kemusykilan atau kurang menyakinkan. Yang pasti, saya sudah bersedia memberikan penjelasan yang berterus-terang dan penuh keyakinan. Usia juga yang banyak mendewasakan kita. Usia juga yang mengajar kita berwaras dan berkira-kira sentiasa agar tindakan kita bisa menjadi teladan yang berkesan dan membahagiakan.

Tuesday, July 29, 2008

Terpancar wajah jernih 2 orang anak lelaki berusia awal 40-an mendakap penuh kasih sayang tubuh ibu mereka yang tua dan uzur. Wajah ibu berkerepot dimamah usia,dan herot akibat serangan angin ahmar. Jasad lemah longlai itu menggantungkan segala urusan di bahu kedua-dua anaknya. Tangannya menggeletar, sesekali menyentap-nyentap. Pandangan matanya kosong dan sayu tidak bermaya. Suatu ketika dahulu, tangan itulah yang menyuapkan nasi ke mulut mereka; tangan itulah yang memimpin mereka bertatih mengorak langkah pertama; tangan itulah juga yang melindungi mereka dari cuaca dan bahaya. Ketenangan yang terlukis di wajah kedua-dua anak lelaki itu berjaya menguntumkan bunga-bunga kekaguman dan mengocak tasik pujian di hati kecil ini. Mereka tidak mendambakan itu semua namun suratan takdir diterima dengan penuh keredaan dan kesyukuran. Reda menerima seadanya tanpa mengeluh walaupun hati luluh melusuh; bersyukur kerana diberi kesempatan melayani ibu kandung sehingga dia menutup mata tanda penuh kepuasan dan kebahagiaan-itu nikmat yang tak terungkap; sebaliknya bukannya dijaga oleh orang lain yang belum tentu ditatang seperti minyak yang penuh; dilayan dengan lembut agar hati ibu tidak tersisih dan merajuk jauh. Apa yang dilakukan oleh mereka sekelumit jika dibandingkan dengan selautan kasih sayang dan selangit pengorbanan yang telah ibu mereka curahkan.

Monday, July 21, 2008

mendengik sang rawi di dedaun jendela


kau mengucup segelung tasbih di penjuru senja
sejemput azan mengoyak keliman dosa
nyanyian ayat-ayat cinta meruntun jiwa

dulu berbusana indah seghairah bara
melebur waja hati penggoda
tawar-menawar menjaja permata
berkubang onar merendang nista
setelah pintu rahim dirobek durjana

kini lawang nubari diketuk tangan-tangan taubat
suaranya bergema ke sarwa urat-belikat
ingin menyeberangi pulau asa
melempar jauh timbunan album dosa
mendengik sang rawi di dedaun jendela

Ilham Ainol
Segamat,Johor
16/7/08

Tuesday, July 15, 2008

dengarkanlah deguran ombak cintaku



dengarkanlah deguran ombak cintaku
wani mengusap pantai kasihmu

apakah cahaya yang diguna
kerna rona berpetala
mesra menghuni di sarwa lara
indahnya setolok bianglala
terkilas di permukaan durja

apakah pesan pada pawana
sering ia ada
mesra terasa

apakah suara berbisik
menjeru ke pesisir cuping inderaloka
nyanyian sekuntum mawar gemersik
mengiringi lenaku di pangking bahagia


ilham ainol
segamat,johor
15/7/08