Program Cetusan Wacana Penulis PPJ Segamat telah berjaya dilaksanakan Ahad lepas. Program yang julun-julung kalinya diselenggara bersama-sama PPJ, UPENA UiTM Johor, DBPWS dan Perpustakaan Awam Segamat telah meluncur-lancar di Perpustakaan Awam Segamat pada 17 Jan 2010 jam 2.30 ptg. Program yang sederhana dan santai sifatnya telah dirasmikan oleh YB Ayub bin Rahmat, ADUN Kemelah, Segamat. Beliau telah bermurah hati menyumbangkan RM3000 kepada PPJ Segamat sebagai dana permulaan PPJ Segamat menjalankan aktiviti-aktiviti pada masa hadapan. Syukur Alhamdullilah. Insya- Allah PPJ Segamat akan bergerak lebih cergas demi menjayakan objektif PPJ untuk mencungkil bakat baharu dalam penulisan dan kepengarangan, juga menjadi wahana kepada para penulis dan pengarang serta penggiat seni sastera berhimpun untuk berbincang, merancang dan melaksanakan program-program seperti bengkel-bengkel penulisan puisi, cerpen, novel,drama, teater dan lain-lain program yang difikirkan bersesuaian dengan kehendak semasa.
Zaid Akhtar,PM Ahmad Nawawi, Amiruddin dan Prof Kamil
Pengacara majlis yang serius, Zety
Program CWP telah dimulakan dengan Forum Cetusan Wacana yang bermauduk Kepimpinan Badan-badan Bahasa dan Sastera. Para panelis terdiri daripada Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim, mantan Pengarah UiTM Johor; Sdr Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ dan Sdr Zaid Akhtar, novelis tersohor. Pengerusi PPJ Segamat iaitu Prof Madya haji Ahmad Nawawi Yaakob telah bertindak sebagai moderator forum. Intipati forum berkisar tentang isu-isu kepimpinan persatuan-persatuan bahasa,sastera,budaya,warisan dan penulis yang tidak berfungsi secara aktif, dan bersama-sama menobatkan dan mengtahtakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa Ilmu yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Terdapat juga segelintir persatuan-persatuan yang hidup segan mati tak mahu, atau hanya menjadi jaguh musiman demi memperjuangkan objektif sampingan dan singkat. Meskipun terdapat perbezaan dalam kalangan pemimpin persatuan namun ia adalah lumrah, dan perbezaan tersebut perlu diterima sepositif mungkin. Makanya segala aspirasi,perjuangan dan wawasan perlu terarah kepada tujuan asal penubuhan sesebuah persatuan di samping memperkasa, memartabat dan menobatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi dan lebih bermaruah.
Cikgu Talib rancak berbual dengan Lee
sempat bergambar dengan Cikgu Talib, Shima dan Zety
Seusai majlis perasmian, program petang tersebut telah diisi dengan pelancaran sebuah makalah sederhana yang bertajuk Bingkisan Nurani. Buku kecil tapi signifikan impaknya adalah hasil usaha kerabat ahli PPJ Segamat. Ia telah memuatkan puisi, cerpen dan artikal. Acara bacaan puisi oleh ahli-ahli PPJ Segamat telah merancakkan lagi suasana pertemuan singkat petang tersebut. Saat menjamu selera, para peserta bebas bergaul, berbincang, bertanya khabar dan seterusnya menjalin persahabatan yang lebih akrab agar program-program yang bakal menyusul pada masa akan datang akan dapat menarik lebih ramai peserta dan pencinta seni dan bahasa bangsa. Kesempatan yang tersua telah memberi ruang dan peluang kepada pihak PPJ Segamat dan DBPWS serta UPENA UiTM Johor untuk menganjurkan Bengkel Bicara Karya dan Persembahan Teater/Drama untuk tahun 2010 ini. Syabas PPJ Segamat!
Prof Dr. Muhd Kamil sudi hadir menjadi panel forum
cenderahati untuk panel forum dan VIP
YB Ayub sudi menerima Bingkisan Nurani
2 comments:
syukur dan tahniah atas kelancarannya..
Ainol,
Tahniah kepada PPJ Daerah Segamat yang berjaya mengembalikan roh aktiviti PPJ di utara Johor.
Post a Comment