Wednesday, January 26, 2011

Pagi nan basah


Seluruh pagi Rabu basah diguyuri air alam. Ia diturunkan sejak awal parak siang tadi. Hujan akan setia menumbuhkan rasa dan ilham.  Kekadang ia bisa menghantar minda dan hati ke ufuk kenang.  Terkenang akan peristiwa manis dan pahit, atau mungkin terkadang kelat dan pedas. Namun, ia tetap akan disimpai erat sepenuh nikmat. 

Semalam berlabuh tirai AGM PBM.  PBM kini dibarisi ahli yang secara halusnya segar dan pijar semangat dan tindakan mereka.  Selaku Penasihat, saya menyimpan jalur gembira untuk mengindahi hari mendatang yang penuh gelora. Kolam rasa pula diriaki kesyukuran kepada-Nya.  PBM di bawah pimpinan Sdr. Sazwan dan Nurul Syuhaida serta anak-anak buah mereka bakal meneruskan misi dan wawasan persatuan yang sentiasa selari dengan aspirasi universiti.

Di dalam seliratan rutin hidup sebagai mahasiswa yang sering menggumuli kuliah dan serdak ilmu makanya pada tingkat-tingkat tertentu kehidupan mereka perlu disandarkan sesedarnya terhadap Kemahiran Insaniah. Terkadang pengalaman yang ditimba amat berharga saat berkerjaya, berkeluarga atau memimpin sesebuah organisasi. Ia bakal membantu meluruskan perjalanan yang pasti berliku dan perih.  Berkat kesabaran dan ingatan kepada ajaran dan pengalaman yang dikutip sepanjang meniti hidup pasti bisa mencipta kecemerlangan.  Insya Allah.

2 comments:

DrNotts said...

en ainul,

saya dr normaliza kawan nik ismail. salam perkenalan di dalam blog!

ilham ainol said...

salam kunjungan Dr.

seronok seandai rakan-rakan semaya saling kunjung-mengunjung.selain bertukar-tukar pandangan,kita juga bisa bertanya khabar dan memanjangkan silaturrahim.terima kasih.moga sihat dan bahagia selalu.