Wednesday, April 6, 2011

Mencucuh-mulakan Kumpulan SIG 2011

SIG merupakan kumpulan penyelidikan yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama. Ia mungkin dikumpul dari fakulti yang sama atau berbaur dari berbilang disiplin ilmu. Ia telah ditubuhkan 10 tahun lepas. Namun oleh pertukaran pucuk pimpinan dan perubahan dasar maka ia lesu atau dengan perkataan yang lebih tepat ia terkubur begitu saja. Adalah diyakinkan bahawa kumpulan tersebut pernah mengaktifkan dan menyemarakkan para pensyarah tidak kira lama atau muda untuk sama-sama menulis, menyelidik dan seterusnya menerbitkan hasil mereka di dalam makalah, jurnal atau buku.  Bagi yang aktif dan terkedepan akan membentangkan hasil kajian mereka di seminar atau di konferensi di dalam atau di luar negara. 
SIG merupakan wahana yang berkesan kerana ia mampu mengumpulkan 4-6 orang penyelidik bagi memudahkan idea dikemukakan, dicambah dan dicerna. Seandainya ia dilakukan hanya seorang individu sahaja makanya pelbagai alasan akan digunakan untuk 'menghalalkan' kesulitan atau kegagalan mereka untuk menulis, menyelidik dan membentangkan hasil penulisan mereka. 
Pengalaman mengetuai kumpulan SIG bagi Akademi Pengajian Bahasa (APB) pada tahun 2002-2004 telah membolehkan kumpulan kami menerbitkan 2 edisi Makalah/Jurnal Lingua Mekar bagi APB. Kandungannya bersangkutan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Mandarin. Isu-isu bahasa juga dikupas dan diulas secara kualitatif dan objektif. 
Kini, bagi menggalakkan dan merancakkan para pensyarah lama/kanan dan sesetengahnya memakai gelaran Profesor Madya untuk menulis, menyelidik dan membentangkan hasil penulisan mereka.  Maka SIG dilihat mampu mesra 'memaksa' dan menggalakkan pensyarah yang semakin 'lesu' ini untuk aktif menulis semula dengan menjadikan mereka ketua kumpulan. Mereka akan dipertanggungjawabkan untuk membimbing, memotivasikan dan berkongsi pengalaman yang diyakini banyak dan amat berfaedah sekali kepada kumpulan dan pensyarah-pensyarah muda/baru.
Kapasiti mereka yang dianggap kanan dan tua bakal membibit rasa hormat dan segan dalam minda dan hati pensyarah-pensyarah muda/baru agar mereka sentiasa menumpahkan segenap tumpuan dan komitmen dalam menyudahkan dan melengkapkan kajian yang dirancangkan. Demi menghidupkan suasana akademia yang dihasratkan maka alternatif ini perlu diambil bagi mempelbagaikan kaedah agar pada akhirnya pihak universiti dapat menuai hasil daripada swadaya yang murni meskipun memakan masa dan biaya.
Kita mestilah bersabar dan tekun melaksanakan sesuatu tugasan demi mencapai kejayaan yang diimpikan. 
Insya Allah, kita mampu lakukannya kerna-Nya.
Amin. 

No comments: