Wednesday, May 25, 2011

Kembara Rasa


Ujung minggu lepas saya sempat balik ke kampung dengan menaiki keretapi KTM dari Segamat ke Ipoh. Pengalaman kembara yang udah kesekian lama tersisih kini didekati semula. Pilihan menaiki keretapi dibuat kerna tidak ingin memandu jauh seorang diri.

Perjalanan ke Ipoh agak hambar kerna jiran sebelah kurang mesra. Makanya perjalanan selama hampir enam jam itu agak tawar. Oleh itu, saya sempat menguliti novel Saga karya Talib Hassan sehingga mukasurat 211. Di dalam wilayah terpencil di Segamat ini saya cuba memesrai Rahmat, Hisyam dan Munirah dan sesekali terserempak dengan watak-watak sampingan seperti Jalil, Pak Ngah dan orang-orang kampung yang terselerak demi menyemarakkan suasana desa yang tergambar 'hambar' dan berputar perlahan roda hayatnya.

Saat pulang ke Segamat pula, saya berpeluang berbicara dengan saudara Suhaimi dari Politeknik Permatang Pauh.  Beliau dibutuhkan ke Bangi untuk menyelesaikan urusan kolej. Mungkin kami teman sealiran dan seujana, maka isi perbualan saling berbumbu dan bertalu-talu sehingga perjalanan selama 2 jam lebih ke KL Sentral terasa cepat sampai ke penghujungnya.

Terima kasih Suhaimi kerana bisa membiarkan cupingmu mendengar bebelan dan basi-basa seputar hayat saya yang entah apa-apa.  Moga pengalaman dan rasa saya bisa memanfaatkan dan bakal mencetuskan ilham dan kejayaan dalam kehidupan kamu yang masih panjang. Insya-Allah!

No comments: