Syukur kepada tuhan kerana diberi kelapangan dan kesihatan untuk menghadiri bengkel penulisan artikal di IKIM Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. Majlis yang dihadiri lebih 100 orang peserta dari pelosok negara dan pelbagai latar belakang sememangnya menakjubkan. Ia bertambah manis kerana para penceramahnya seperti Saudara Mohd Fuad dan Mohd Asham amat lincah dan tekun mengajar di samping menurunkan beberapa petua dan pengalaman yang dikira agak menarik dan memanfaatkan. Seperti biasa bagi penceramah yang berpengalaman dan peka, akan menyelitkan dan menyuntik 'ubat lelucon' agar suasana yang hambar dan longgar mampu diperketat dengan 'penawar' iaitu ketawa kelakar yang puas dan bermakna. Urusan urusetia juga harus dipuji kerana telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan berkesan. Suasana dewan diceriakan dengan limpahan cahaya lampu dan persembahan multi-media yang mengasyikkan dan sarat maklumat. Semasa waktu rehat pula makanan yang disajikan sesungguhnya menepati selera ditambah ramuannya serba serasi dan ada rasa. Meskipun jutaan jemari hujan membelai jumantara namun kedinginan yang dirasai amat menyegarkan sehingga berbaur seribu rasa. Ia seolah-olah mampu menggalakkan pertumbuhan idea dan resa untuk menitipkan sesuatu yang baik dan berharga untuk tatapan semua. Walaupun begitu, saya masih kehausan dan memerlukan bimbingan.
No comments:
Post a Comment