Judul : A Samad SaidPenyelenggara : DharmawijayaPenerbit : Utusan Publications & Distributors.Genre : Antologi PuisiMukasurat : 443 halamanCetakan Pertama : 2005ISBN : 9676117390
Kulit Nipis
Segala yang dihasrat
tapi tak dapat
adalah nikmat
yang paling padat
"Buku ini adalah antologi puisi yang menghimpunkan karya-karya selama lebih setengah abad"
Pak Samad mengakui bahawa kesemua puisinya terhimpun dalam koleksi ini, kecuali puisi panjang "Al-Amin" dan tiga buah karya lain yang belum tersiar, tetapi telah pun dideklamasi di beberapa upacara. Dengan pengakuan itu, kumpulan ini bolehlah dikira lengkap kerana menghimpunkan karya-karya beliau, bermula dari yang pertama, iaitu "Untuk Angkatan lima Puluh" yang dihasilkan pada tahun 1950 di Singapura hinggalah kepada yang terkini, iaitu "Penyubur Bumi Bertuah" yang ditulis pada Januari 2005 di Kuala Lumpur. Dalam tempoh yang sempat melangkaui dua abad itu, Pak Samad telah menghasilkan sebanyak 221 buah puisi, hampir semuanya terbit dalam pelbagai media, dan sebahagian besarnya terkumpul dalam kumpulan Liar di Api, Daun-daun Berguguran, Benih Harapan, Daun Semalu Pucuk Paku, Benih Semalu, Balada Hilang Peta, dan Suara dari Dinding Dewan.
Selain berfungsi sebagai perakam zaman, karya sastera turut berperanan sebagai penanda bagi peradaban sesebuah bangsa. Atas kedudukannya yang sedemikian, karya sastera ialah khazanah negara, apalagi jika dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Sebagaimana proliferasi mensyaratkan sifat tekal pada diri penulis, menempuhi dekad demi dekad, mengharungi ujian masa; begitu jugalah halnya dengan usaha mengumpul dan menyusun karya, agar khazanah tidak ternilai itu didokumentasikan dengan baik dan dapat diakses oleh khalayak pada bila-bila masa. Inilah sebenarnya maksud pembinaan siri "Mandala Sukma", yang bercita-cita menjadi wadah kepada himpunan lengkap karya pengarang mapan, khususnya mereka yang dapat dianggap indeksikal bagi kesusasteraan Melayu. Dan cita-cita tersebut tidak mungkin terpenuhkan jika karya-karya tersebut tidak dikutip, dikumpul dan disusun. Penerbit, juga dunia. sastera tanah air, terhutang dengan Pak Dharma yang tekal mengumpul khazanah seni negara ini. Pastinya ketekalan itu menuntut kesabaran dan kecekapan mendepani tempoh yang panjang dan rumit pula.
Antologi ini disusun secara kronologis berdasarkan tarikh puisi ditulis, dan usaha telah dibuat bagi memuatkan maklumat berguna untuk dimanfaatkan oleh para pengkaji. Sebagaimana amalan biasa dalam penulisan puisi, tarikh tulis dicatatkan di bawah karya dan diikuti tempat di mana ia dihasilkan; manakala di bawah tajuk, dicatatkan tarikh dan media di mana puisi diterbitkan
No comments:
Post a Comment