Tuesday, November 3, 2009

Nilai Sebuah Malam


ah, saat tidur digigiti pepijat 'insomnia'
derak katil dihempasi jasad lengas meronta
menggelepar kesah jalur lamunan makin melebar
keriuk engsel jendela langsir lesu berkibar
kejap melayang ke wilayah separa sedar
kantuk masih bersisa enggan berlabuh
lupakan saja negeri kata setajam buluh
mempengaruhi detak hidup merusuh mengeluh

ayuh, bangunlah jasad yang masih bermaya
berwuduklah sesempurnanya
7 titik sujud setia melakar rindu
sentuhan lembut sejadah berdebu di penjuru waktu
pasti ketenangan bermukim di muara syahdu
di ujana kalam Sang Perkasa Alam terakam, terpadu.

Ainol Hasanal Bin Jalaluddin
Segamat, Johor
3 Nov 2009


Sinopsis:
Sajak ini cuba menyelami detak hati kalangan mereka yang mulai direnggut nikmat tidur. Usia yang meningkat, kesihatan yang mulai terganggu dan henyakan tugasan serta himpitan hidup kerapkali bertamu saat malam berlabuh. Tetamu yang tekal mengetuk lawang tidur seolah terjelma melalui suara jelek engsel jendela usang yang berkeriukan; tangan bayu malam yang menggeletik pinggang langsir; dan kotak kenangan yang tekal ‘mengulang-tayang’ wayang kenang telah menghantar jauh jalur lamunan ke terjal malam yang kelam tak berdasar. Hati mudah pula dicalar oleh kekata yang bersiuran di lebuhraya kehidupan yang deras dan keras. Terkadang oleh sifat keberterusterangan dan terbuka ditafsir sebagai kekata bernuansa fesyen mutakhir yang popular dan wajar. Roda hidup yang ligat berputar merengsa saat mendepani perincian, pertimbangan dan keputusan yang bersalut kulit objektif dan holistik.
Kaedah terbaik dan menenangkan adalah dengan bangun di sepertiga malam sambil mensyukuri nikmat dan menginsafi kekerdilan dan kekurangan diri. Berwuduk dengan sempurna dan seikhlasnya lalu menunaikan solat dan bermuhasabah diri demi memperoleh ketenangan dan ganjaran yang tidak terhingga daripada-Nya. Di situlah terletaknya nilai tambah sebuah malam yang jarang diredahi kebanyakan kita.

4 comments:

MARSLI N.O said...

Sdr Ilham Ainol: Saya datang menjengah dan membaca kerana Sdr tinggalkan jejak. Kurang tidur saya kira satu anugerah. Dan di senarai buku, buku saya tidak termasuk senaraikah? Ha. ha. Sekdara bertanya.

Ilham Ainol said...

Salam bahagia Sdr Marsli N.O,

Terima kasih kerna sudi singgah.
Terpana dan terharu juga kerna
menerima kunjungan pemuisi tersohor
seperti sdr.Maaf,sebab dah lama tidak menyenaraikan tajuk buku baharu di laman kanan tu.sebab banyak sangat!
Oh ya, usah menghitung bebilah anugerah tu. Hitunglah keseronokan dan kepuasan saat usai sesebuah karya diterbit,dibaca dan dihargai pembaca!. Tahniah kerna berterus terang. Saya gemar membaca sajak dan tulisan saudara, kalu tidak masakan saya memadam jejak di tikungan maya ini.hehehehe.

Semoga sihat dan ceria selalu.

repubLik.haTiku said...

laoshi...
seb bek laoshi ade bg sinopsis..!
klu tidak,1 hape pun sy x phm..
hehe~~~

ohh..sy ade lg 2 paper.
doakn sy ye laoshi!!!!
- nurul atiqah @ b3L2 -

Ilham Ainol said...

salam singgah,
xiexie ni lai kan wo.
Semoga berjaya.