Friday, November 6, 2009

Seberkas Risau Di Ampaian Malam



Seberkas risau di ampaian malam
bergemerincing semi aneh murba tenggelam
menerima santun sogokan memual
sang kuasa dilingkari kawat jadual
pemilik kotak magis pula ligat berjual
seupaya menjana untung di sisi terjal

sejak dahulu memutar lagu-lagu merintih kalbu
menghidang sinetron berencah celaru
kononnya demi menghangatkan sukma serumpun
dari Bawang Putih sampai Sekar ligat dipulun
dihambat digilai tidak terampun
Kini novel bernuansa islami terbingkis muluk
didakap mesra menyentuh batin asyik memujuk
selama ini pongah meminggirkan karya agung
nukilan watan tak seindah gunung
karya seberang lincah disanjung
meski intinya melukut berlompong

si kera merengek manja bonda ceria menyusui
kasihan si anak disisih tangan-tangan globasisasi
terlongsor tebing tamadun bangsa diguyuri hujan materi.


Ainol Hasanal Bin Jalaluddin
Segamat, Johor
5 Nov 2009



Sinopsis:
Lambakan karya dari seberang telah sekian lama dipolemikkan namun suara rengekan dan bantahan yang dingiangkan ke telinga pihak berwewenang sering membetat bersama deraian hujan kata-kata. Lagu-lagu dari seberang sering menguasai carta popular tempatan di corong-corong radio manakala sang penggendali stesen-stesen TV tempatan pula berselera menyuapkan drama-drama bersiri murahan dan menjijikkan di saluran-saluran TV tempatan. Dewasa ini pula, novel-novel islami yang bersalutkan dakwah dan bernuansa cinta Uda dan Dara telah menarik minat warga tempatan membaca novel-novel picisan seberang yang semakin menguasai pasaran. Agak ironis kerna karya SN dan klasik dipinggirkan dan dibiarkan berhabuk di rak-rak buku, sebaliknya karya-karya asing didakap sepenuh rasa. Fenomena bermusim dan semi yang aneh ini menceritakan sikap pembaca tempatan yang menyanjungi karya asing daripada menghargai dan menyayangi akar dan tamadun warga sendiri. Sekali lagi kita tewas memartabatkan sastera dan seni bangsa. Namun apa yang lebih memeritkan kita adalah diri kita sendiri yang menjungkir-balikkan akar bangsa kita sendiri tanpa bantuan sesiapa. Ia melincir bersama arus kecanggihan teknologi dan kealpaan diri.

4 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Ainol,
Kita seharusnya menghasilkan karya yang berbobot. Kalau nak tayangkan drama dari luar carilah yang benar-benar bermutu.

Ilham Ainol said...

Salam pagi Tn Haji,
Dulu drama Sepanyol,disusuli Korea dan Jepun, kini diekori pula drama dari seberang. Selera tempatan memang berpelbagai namun 'lauk kampung' tetap dipinggirkan. Aduhai.
Tahniah sajak-sajak Tuan haji terbit lagi di Berita Minggu dan Mingguan. Syabas. InsyaAllah,jumpa kita pada 4-6 Dis 2009 nanti di Ledang Inn.

~d(-_-)b~ said...

hye.. nice n interesting blog..

Ilham Ainol said...

salam kunjung syidah,

masa cuti ini eloklah diisi dengan membaca seberapa banyak karya-karya SN...sekadar cadangan...
selamat berliburan...