Sunday, July 3, 2011

Seusai Program Cetusan Wacana II 2 Julai 2011

buah tangan Cikgu Talib amat mengilham dan mendorong...

Program Cetusan Wacana siri ke-2 telah melabuhkan tirainya. Gabungan 6 pihak demi merealisasikan wacana sastera patut dibanggakan. PPJ dan UiTM Johor selaku peran utama telah berjaya mencetus dan menyelaraskan susun atur acara. Manakala PPJ Daerah Segamat, Perpustakaan Awam Johor Cawangan Segamat, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan serta Persatuan Bahasa Mandarin UiTM Johor telah digemblengkan dan dijaringkan bagi menyumbangkan impak yang tinggi kepada semua pihak.

Pak Baha dan Pak Talib telah cuba mengupas Kembara Daksina-Antologi Cerpen dan Puisi dari sisi pandangan yang berbeza. Pak Baha menekankan rasa dan kesan rasa dalam menghayati karya-karya yang terpilih. Pak Talib pula telah menggemparkan suasana dengan ungkapan ‘gelandangan sastera’. Menurut beliau, para penulis mempunyai cara dan gaya tersendiri dalam proses penciptaan karya. Akan tetapi sayugia diingatkan bahawa tiada seorang penulis pun persis sebuah pulau. Seseorang penulis perlu mengakrabi masyarakat dan khalayak pembacanya. Penulis juga perlu berterusan menghasilkan karya-karya yang mencerminkan keterbukaan, matang dan mengakar di pangkal bahasanya. Meminjam kata-kata Latif Mohiden: Akhirnya yang akan dikenang oleh pembaca ialah daripada isi sesuatu karya; bukan gaya, bukan teknik. Akhirnya yang akan sampai ke hati ialah getaran kata daripada benda yang biasa, (tapi terasa aneh, terasa luar biasa).

YB Datuk Ayub bin Rahmat, ADUN Kemelah, Daerah Segamat telah sudi merasmikan program CW 2. Beliau telah bersetuju menyumbang RM5000.00 kepada PPJ Daerah Segamat. Beliau juga memohon agar PPJ Daerah Segamat boleh menganjurkan Perkampungan Puisi dan Warisan di Kampung Melayu Raya iaitu kampung halaman YB Datuk sendiri. Yang lebih mengujakan ialah di samping mengadakan program sedemikian di situ, beliau juga mengharapkan agar satu usaha untuk mendokumentasikan sejarah Kampung Melayu Raya dapat dijalankan oleh pihak PPJDS. Beliau bersedia untuk menyumbangkan dana sebanyak RM10,000.00 kepada PPJDS untuk melaksanakan usaha tersebut.

Terima kasih YB kerna yakin kepada PPJDS. Syabas kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan program yang kecil tetapi besar signifikannya. Syukur kepada Allah SWT!

2 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan Ainol,
Tahniah atas kejayaan program ini, berbanyak terima kasih atas kesudian mengundang DBPWS terlibat sama dalam program ini, dan kagum atas kegigihan Tuan mengusahakan buku antologi "Kembara Daksina" serta menguruskan program ini.

Ilham Ainol said...

Tuan Rusdi.

Terima kasih kembali.
Jambatan yang dibina selama ini perlu diperkukuh dan dimanfaatkan sebaiknya untuk semua. Saya dan rakan-rakan di PPJ akan berbuat yang terbaik dan termampu.Kertas kerja Perkampungan Puisi sedang diusahakan. Bila YB Datuk luluskan nanti akan kami hantar undangan.