Wednesday, April 3, 2013

Mengapa Perhubungan Kita Semakin Tidak Mesra?

Agak lama juga saya membiarkan laman rumah ini sepi tanpa kunjungan entri baharu. Tiada alasan yang munasabah boleh diberi selain disibuki rutin harian atau yang paling benar ialah kemalasan yang mencengkam.  Mungkin saya sudah ketumpulan ide semenjak melepaskan jawatan selaku Koordinator Penerbitan...Oleh itu, saya mengulang baca karya A. Samad Said bagi mempersiap diri untuk menulis semula kerna di situ saya terjumpa dan kadang-kadang terserempak dengan kosa kata dan ayat-ayat yang serasi...saya bukan cuba menyalin mentah-mentah cuma menangkap langgam ayat dan siur kata yang tersusun indah. 2 minggu lalu, saudara MARSLI NO telah menitipkan sebaris pesanan ringkas di layar fon genggam saya yang berbunyi, mungkin jarak dan waktu yang berbeza, tetapi pada hakikatnya kita sudah semakin tidak mesra.  Saya kata meskipun kita jarang bersapaan dan bersuaan namun jauh di sudut hati, kenangan bersama sentiasa membara...hahahahahahaa....
 
Saudara MARSLI NO juga bermurah hati mengirimi saya senaskhah Dewan Sastera edisi Mac 2013.  Selain mengucapkan terima kasih daun keladi saya juga menitip ucapan tahniah kerna terpilih menjadi Karyawan Tamu untuk edisi Mac 2013.  Banyak maklumat baharu dan sajak baharu beliau ditampal di ruangan khas tersebut.  Kerna bila kita saling kenal mengenali antara satu sama lain, makanya karya yang dibaca ternyata dekat dan melekat kemas di tangkai hati. Syabas sdr MARSLI NO.  Teruskan cara dan gayamu berkarya dan kekadang berontak dalam keunikanmu.  Yang penting beliau jujur dan terang-terangan menolak kepalsuan dan kepura-puraan yang dilakonkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

No comments: