Ilham Ainol
30 Jun 2008
Ilham Ainol
30 Jun 2008

Jalur ungu di ufuk teja sesekali mengembalikan nostalgia berbaur pengalaman manis dan pahit pada penjuru tahun lalu dan di pertengahan tahun ini. Pengalaman seindah bianglala di dada langit petaka menandakan puncak kebahagiaan dalam melayari kehidupan yang singkat dan penuh berkat. Manakala pengalaman pahit pula menyuntik kejutan dan kepedihan yang sememangnya bermatlamat mematangkan dan mendewasakan kita. Kejerihan yang menimpa bakal mempamerkan kekuatan kita mengharungi dugaan dan cabaran. Dari sisi lain pula ia menampakkan bagaimana orang-orang di sekeliling kita bertindak dan membantu atau berpeluk tubuh sambil membiarkan ia berlalu di depan lawang waktu. Bencana Nargis dan gempa bumi di Sichuan meledak secara mendadak sehingga mangsa dan jiran terleka dan cemas hilang punca. Kejutan yang didatangkan menyebabkan semua pihak terlongo dan kelam-kabut. Selepas seketika barulah bantuan dan perhatian dipusatkan agar mangsa dapat diselamatkan segera atau dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Pelbagai usaha dan rencana dirumuskan agar kaedah yang memberikan impak yang maksimum dapat dilaksanakan. Di seluruh jagat raya pula jiran tetangga dan warga dunia membantu seadanya dan semampu-mampunya bagi meringankan serba-sedikit beban dan petaka yang telah merosakkan harta benda dan meragut nyawa. Sekurang-kurangnya mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga itu merasai kehangatan persahabatan yang dihulurkan dan dipamerkan. Sesungguhnya masih ada yang sayang dan peka dengan kesulitan dan kepayahan yang menimpa warga di pojok wilayah sini. Usah kita biarkan mereka sendirian atau terkapai-kapai menantikan sinar harapan. Marilah kita unjukkan kasih-sayang yang melampaui sempadan bangsa dan agama. Meskipun hanya doa dan nasihat,namun ia lebih bermakna daripada wang ringgit berjuta-juta dihulurkan seandainya ia tidak sampai ke tangan-tangan yang memerlukan. Dalam keadaan ini kita merasa sedih kerana masih ada keparat yang mau menangguk di air yang keruh, atau menahan lukah di pergentingan. Ayuh kita depangkan tangan kita seluas-luasnya dan sejauh-jauhnya agar hari esok masih ada- masih ada buat mereka dan kita semua.
Tanggal 10 Jun lepas saya bersama isteri tersayang berkesempatan menghadiri Bengkel Nostalgia Perkahwinan anjuran bersama CITU UiTM Johor, PEWANI UiTM Johor dan MPWK DUN Sekijang dan YPK Johor yang berkampung di Hotel Sri Pelangi Segamat. Bengkel ini dipimpin oleh Tuan Haji Zahari Awang, Ustaz Kamal Hasan dan Saudara Md Isa Mahadi. Mereka merupakan staf-staf berwibawa dan berpengalaman dari Yayasan Pembangunan Keluarga Johor. Ternyata mereka berjaya menyuntik penawar segar seperti ungkapan kemesraan dan ungkapan kasih ke dalam kehidupan perkahwinan yang mulai pudar. Para peserta akan dipandu dan digalakkan menyentuh pasangan masing-masing 'sehangat dulu' dan 'seghairah dulu'. Memang agak janggal dan kekok sekiranya ia perlu dilakukan di hadapan orang namun ia penting demi menyemarakkan dan menjelekitkan kembali perhubungan suami-isteri yang rata-rata hambar dan senada. Pasangan yang 'aktif' dan 'terkedepan' akan sedaya-upaya memijarkan kembali api cinta yang suatu masa dahulu pernah semarak dan membakar. Yang penting bengkel ini bukan bertujuan untuk mencari kesalahan dan kelemahan sesiapa atau menunjukkan siapa lebih berkuasa dalam rumahtangga, malahan bukan bermaksud untuk menuding jari ke arah suami atau isteri siapa yang sebenarnya bersalah dalam setiap cabaran yang hadir dalam rumahtangga. Bengkel ini juga menghalakan matlamat untuk memberikan pendedahan dan kemahiran kepada pasangan suami isteri untuk memperbaiki komunikasi, kerjasama dan hubungan ke arah yang lebih baik dan berkesan. Tiada sesiapa yang mengimpikan keruntuhan sesebuah rumahtangga kerana walau sesukar mana pun ia patut dipertahankan dan 'dipersegarkan'. Selain menuntut ilmu dan mendedahkan diri pada perkembangan pengetahuan keibubapaan yang terkini, pasangan suami-isteri juga perlu kembali kepada-NYA iaitu berdoa,berdoa dan berdoa. Ayat 74 dalam surah Al-Furqaan menyebut : Wahai Tuhan kami,berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang(mahu) bertaqwa." Amin.
Agak lama juga saya menghilang daripada ruang maya kerana masa banyak diperuntukkan kepada kerja-kerja penyelarasan menganjurkan Bengkel Penulis Muda Johor di Hotel Sri Pelangi Muar tanggal 27-29 Mei lalu. Selenggaraan bersama Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan UPENA Johor Kampus Segamat sesungguhnya membuahkan hasil. Para pembimbing yang tersohor dalam genre cerpen dan novel seperti Aminah Mokhtar, Nisah Haron dan Zaid Akhtar telah sudi membimbing dan memandu bengkel tersebut. Para peserta merasa teruja dan terilham untuk menghasilkan novel seperti yang dihasratkan oleh pihak penganjur. Memang usaha sedemikian bakal memakan masa dan wang namun usaha murni itu perlu dimulakan dan disuburkan. Ternyata saudara Mohd Firdaus dan Lee Tan Luck telah berjaya menghasilkan novel yang bakal mengisi rak-rak di toko-toko buku untuk dinikmati pembaca dan pengkritik. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh kita sebenarnya dan ia terletak di bahu-bahu pihak yang berwewenang dan berkepentingan. Jamung yang dinyalakan perlu dibiarkan terus menyalakan api pengharapan dan terus juga menyinari jalan penghasilan novel yang bakal mewarnai dunia kepengarangan dan kesusasteraan Johor dan negara. InsyaAllah.