Jalur ungu di ufuk teja sesekali mengembalikan nostalgia berbaur pengalaman manis dan pahit pada penjuru tahun lalu dan di pertengahan tahun ini. Pengalaman seindah bianglala di dada langit petaka menandakan puncak kebahagiaan dalam melayari kehidupan yang singkat dan penuh berkat. Manakala pengalaman pahit pula menyuntik kejutan dan kepedihan yang sememangnya bermatlamat mematangkan dan mendewasakan kita. Kejerihan yang menimpa bakal mempamerkan kekuatan kita mengharungi dugaan dan cabaran. Dari sisi lain pula ia menampakkan bagaimana orang-orang di sekeliling kita bertindak dan membantu atau berpeluk tubuh sambil membiarkan ia berlalu di depan lawang waktu. Bencana Nargis dan gempa bumi di Sichuan meledak secara mendadak sehingga mangsa dan jiran terleka dan cemas hilang punca. Kejutan yang didatangkan menyebabkan semua pihak terlongo dan kelam-kabut. Selepas seketika barulah bantuan dan perhatian dipusatkan agar mangsa dapat diselamatkan segera atau dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Pelbagai usaha dan rencana dirumuskan agar kaedah yang memberikan impak yang maksimum dapat dilaksanakan. Di seluruh jagat raya pula jiran tetangga dan warga dunia membantu seadanya dan semampu-mampunya bagi meringankan serba-sedikit beban dan petaka yang telah merosakkan harta benda dan meragut nyawa. Sekurang-kurangnya mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga itu merasai kehangatan persahabatan yang dihulurkan dan dipamerkan. Sesungguhnya masih ada yang sayang dan peka dengan kesulitan dan kepayahan yang menimpa warga di pojok wilayah sini. Usah kita biarkan mereka sendirian atau terkapai-kapai menantikan sinar harapan. Marilah kita unjukkan kasih-sayang yang melampaui sempadan bangsa dan agama. Meskipun hanya doa dan nasihat,namun ia lebih bermakna daripada wang ringgit berjuta-juta dihulurkan seandainya ia tidak sampai ke tangan-tangan yang memerlukan. Dalam keadaan ini kita merasa sedih kerana masih ada keparat yang mau menangguk di air yang keruh, atau menahan lukah di pergentingan. Ayuh kita depangkan tangan kita seluas-luasnya dan sejauh-jauhnya agar hari esok masih ada- masih ada buat mereka dan kita semua.
No comments:
Post a Comment