Thursday, January 1, 2009

Salam Perpisahan pada 2008

Tahun 2008 pergi meinggalkan kita. Banyak kenangan manis dan pahit melatari kehidupan. Yang penting setiap saat yang berlalu dikecapi dan dinikmati sebaiknya. Pahit atau manis perlulah disyukuri dan diiktibari untuk melestarikan kehidupan yang bakal menyusul. Banyak peristiwa manis telah mewarnai kehidupan saya seperti kenaikan pangkat DM52, kejayaan Amira dalam UPSR, menerbitkan Antologi Cerpen dan puisi PBM dan merancang menerbitkan Antologi Puisi perbadi pada tahun 2009 ini. Semoga tahun 2009 dan 1430 H bakal melakar sejarah dan kejayaan dalam sirah kehidupan saya yang biasa tapi mengujakan. Saya doakan moga diri, anak-isteri, ibubapa, tetanggan, rakan-taulan dan pelajar-pelajar sentiasa sihat walafiat, selamat dan selesa menjalani kehidupan mendatang. Di samping itu, doa juga dipanjangkan kepada semua pemimpin dan muslimin dan muslimat agar tanggungjawab dipikul dan dilaksanakan sejujurnya dan secemerlangnya. Mari kita pastikan kehidupan yang bakal sukar ini menjadi penanda aras kepada kita mengatasi halangan dan kemelut dengan penuh kesungguhan, keyakinan dan kejayaan. Moga Allah mengizinkannya. Amin.


Jejak Hijrah

selangkah ke depan
udah dikira hijrah andai tersisip
niat dan hasrat tulus kerna-Nya;

padamkanlah julangan api mazmumah selirihnya
dengan renjisan air wuduk berbaur kusyuk tawaduk
saat mengerjakannya;

kutiplah bara yang merentangi perjalanan sesabarnya
meski melecur luka terniat meninggalkannya
atau biar sesulit mana tatkala menimba segara gendala;

pasti akan dibalasi-Nya setimpal usaha
bila-bila diingini-Nya.

Ilham Ainol
Segamat, Johor
1 Jan 2009

1 comment:

nami said...

kaya dengan bahasa.
have to seeking in dictionary to understand ur words.

goodbye 2008.




nami
zamrud.