Saya pernah ditanya, bagaimana cara
saya menulis? Bagaimana saya mendapat ilham untuk menulis? Adakah tulisan saya
sama dengan apa yang terilham pada awalnya? Bla.Bla.Bla.
Jawapan saya ringaks(mungkin bagi
saya). Banyakkan membaca, merenung dan memerhati!
Saya pernah terilham beberapa ayat
atau isi cerita saat saya menggumuli karya-karya yang tersangat mesra dan akrab
dengan naluri saya. Buku-buku seperti Ilham di tepi tasik, dan Dari Salina ke
Langit Petang, karya nukilan A. Samad Said, juga Catatan karya Latiff Mohidin, yang sejujurnya saya kunyah dan mesrai.
Malahan kini dengan adanya blog,
pada waktu lapang saya akan meloncat dari satu blog ke blog yang disenangi
untuk menyelak-baca hasil tulisan pemblog-pemblog yang serasi dan disegani
tahap ilmunya(sekurang-kurangnya bagi saya).
Selain daripada itu, dengan izin
isteri saya akan menghadiri bengkel penulisan kreatif untuk menimba sebanyak
mungkin telaga pengalaman dan mendalami perigi ilmu yang sentiasa gagal
dipenuhi. Di sana saya bakal berpeluang mendekati para penulis mampan dan
baharu untuk berkongsi pengalaman dan mencambah idea. Juga, menjalinkan
persahabatan.
Kini, selaku ketua penerbitan universiti,
saya gunakan kesempatan ini sebaiknya untuk menerbitkan karya bersama-sama
rakan seperjuangan. Di samping itu, kesempatan ini juga memungkinkan saya
mengadakan jaringan dengan Universitas Indonesia untuk menganjurkan Konferensi Ekonomi
dan Bisnes Islami pada tahun hadapan di Melaka.
Sebenarnya banyak peluang terentang
di hadapan kita. Kita hanya perlu rajin memetik peluang-peluang yang mengguyuri
kehidupan kita. Itulah nikmat yang diturunkan kepada kita oleh-Nya.
Sesungguhnya saya mensyukuri nikmat-Nya,
dan akan sebijaknya melaburkan peluang yang ada. Saya juga akan berkongsi
dengan staf-staf muda dan rakan-rakan yang sealiran demi melestarikan seni
sastera bangsa. Meskipun sumbangan ini kecil namun mengesankan di nubari. Amin!
No comments:
Post a Comment