(gambar diambil daripada FB Tuan Rusdi)
Bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan Oktober tahun ini. Pelbagai kegiatan telah diatur oleh pihak DBPWS untuk dilaksanakan khusus buat khalayak umum. Dengan moto 'Bahasa Jiwa Bangsa', maka setiap warga Malaysia harus berbangga dengan bahasa Melayu dan sanggup berkorban demi memelihara maruah bahasa di samping gigih melestari dan memperkasakan bahasa Melayu.
Pada 22 Oktober 2011, pihak DBPWS telah menganjurkan acara Bicara karya Sastera Negeri Johor di Perpustakaan Sultan Ismail MBJB. Anjuran bersama-sama PPJ itu telah memilih novel 'Empayar IX' karya W.B. Rendra, novel 'Bagin Sungai Merah' karya Rahimah Muda, dan Antologi Puisi 'Puncak Selatan' terbitan PPJ. Pembicara naskhah sastera terdiri daripada Zulkifli Khair, Azhar Salleh dan Amiruddin Md Ali Hanafiah.
Pada 28-29 Oktober pula, pihak DBPWS dengan kerjasama Stefani Events telah mempersembahkan teater monolog '3 Wajah Fauziah Nawi' di JOTIC, Johor Bharu. 3 wajah seniwati fauziah Nawi telah dipertontonkan melalui 3 peran iaitu Tukang Sapu, Hutang dan Pukul. Ketiga-tiga senario yang dipaparkan bukan semata-mata luahan kosong perasaan seorang wanita tetapi ia mengajak para penonton mengiktibari nasib mereka yang kurang bernasib baik tetapi masih berpegang teguh kepada prinsip-prinsip hidup yang baik dan murni. Hutang pula menyingkap tabiat manusia yang tidak dapat lari daripada berhutang. Hutang menjadi suatu kemestian dalam menjalani kehidupan masa kini; tidak kira sama ada hutang secara zahirnya atau secara batini; manusia tetap berhutang, dan sukar untuk dilangsaikan meskipun puas mereka cuba untuk melunaskannya. Pukul memaparkan kisah seorang wanita kenamaan yang daripada kehidupan mewah kepada peniaga runcit dan seterusnya menjadi banduan. Daripada terpukul kepada dipukul akhirnya dia bangkit lalu memukul atas dasar untuk melindungi diri.
2 comments:
Tuan Ainol,
Terima kasih atas kesudian datang dari Segamat untuk menyaksikan pementasan ini serta sokongan, dihitung kasar purata kehadiran untuk 3 kali pementasan ini kira-kira 80-90% memenuhi auditorium.
Tuan Rusdi.
Terima kasih kerna sudi mengundang saya. Jalinan mesra yang sedia terjalin antara UiTM-DBPWS akan diteruskan dan dipersegar. Moga martabat bahasa Melayu sentiasa dijunjung dan disanjung.
Post a Comment