Kami bertolak awal ke Cherating (seputar jam 8.30 pagi), memandangkan masih awal untuk daftar masuk Suria Cherating Resort maka kami singgah sejeda di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Tengah hari mentari terik menggigit, bahang pasir pantai yang putih dan melaut telah 'menghalau' para pengunjung untuk 'berteduh' di Medan Selera yang berhampiran. Medan Selera untuk pengunjung bersantaian direka kemas dan dijaga bersih. Tahniah kepada Dewan Perbandaran Kuantan kerna gigih 'memurnikan' pantai libur yang indah mendamaikan itu. Andai diizinkan waktu, mahu juga membenamkan kaki lelah ini ke dalam pasir pantainya yang sedikit jerlus dan halus. Andai...
Kursus selama 2 hari 1 malam terasa cepat berlalu kerna seusai urusan daftar masuk lewat jam 3.00 petang. Kami terpaksa atau dipaksa bergegas ke dewan kursus untuk mendengar taklimat. Acara awal berjalan lancar dan pantas. Urusetia yang rata-rata masih pucuk namun 'berani' mencuba yang baharu dan 'tidak silu' mengarahkan staf-staf 'lama' menurut 'perintah'. Namun atas dasar kesepakatan dan 'sportmanship', kami berjaya digaulmesra dalam masa sesingkat 1 jam itu. Siapa sangka ya!
Pantai Cherating yang mengusik rasa pasti meninggalkan jejak kenangan yang tidak bisa 'dipadam' oleh ombak masa. Sesungguhnya, suasana pantai yang permai, kemudahan hotel yang memadai dan menu juadah yang direncahi makanan yang enak dan beraneka pasti bisa menyirna 'kebosanan' dan 'rungutan-rungutan' kecil para peserta. Yang penting kita sempat menjalin semula kemesraan dan ikatan 'kekeluargaan' yang kian pudar oleh kesibukan rutin dan waktu.
Mentari pagi setia menemani ufuk timur sambil memantulkan sinar ke cermin segara. Alunan ombak kecil nan perlahan tetap cuba memukul pantai. Kepulan awan pagi masih senyap mengapungkan diri di kaki langit. Sesekali menutup wajah mentari.
Kali ini APB UiTM Johor sempat mengumpulkan keluarga kecil sejumlah 30 orang di Pantai Timur yang memang digemari para pelancong. Kapan mau ke sana lagi? Di sudut memori, masih terpancar babak aksi para peserta lelaki berkain batik sambil bermain futsal pantai. Yang jelas, ketawa ria melihat gelagat lucu dan 'sporting' para peserta lelaki sungguh di luar jangka. Gelak ketawa juga bisa menghilangkan 'stres'. Hahahahahha.
( menurut satu kajian di US: menaiki 'roller coaster' berjaya menaikkan tahap keyakinan diri, juga mengurangkan stres) Paling tidak, kita cuba ketawa untuk mengurangkan stres dalam kehidupan kita. Marilah ketawa secara waras!!! Hahahahahahaha.
Semasa mendengar ceramah Pak Su ( Mohd Soder- Kaunselor), sifat suka memberi merupakan suatu perlakuan yang menunjukkan kasih-sayang. Memberi perkhidmatan secara ikhlas dan berterusan pasti menggembirakan dan berjaya 'memuaskan' hati si pemberi. Yang menerima pula akan terkesan sifat keikhlasan si pemberi. Sebaliknya, si penerima mungkin akan terfikir adakah aku akan terus-terusan berada di kedudukan 'menerima' saja tanpa mau memberi atau menyumbang? Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kita pasti akan cuba memberi walaupun dengan 'sekelopak senyuman' atau 'sapaan salam' yang santai dan ikhlas. Kita pasti akan lebih bahagia andai sifat berkira-kira dan bersangka buruk dikikis dengan hanya dimulai dengan perkara-perkara yang temeh. Cubalah....
No comments:
Post a Comment