Thursday, May 8, 2008

Bengkel Penulisan Kreatif Penulis Muda Johor 2008


Bengkel Penulisan Kreatif Penulis Muda Johor bakal diadakan mulai 27 Mei 2008 hingga 29 Mei 2008 berkampung di Hotel Muar Traders, Muar Johor DT. Majlis indah ini dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor, UPENA UiTM Johor, Kelab Penulisan Kreatif UiTM Johor dan UPENA UiTM Malaysia. Barisan penulis tersohor negara yang sudi membarisi panel penceramah adalah seperti Aminah Mokhtar, Nisah Haron, Zaid Akhtar, Tn. Hj. Shapiai Ramly dan Prof Dr. Muhd Kamil. Mereka bakal menumpahkan segala pengalaman dan pengetahuan yang dikutip dan ditimba selama ini, dengan tekun dan jujur kepada semua peserta yang sedia dahagakan ilmu penulisan dan pengalaman. Bengkel ini bakal mengisi atucara seperti Penulisan Novel, Teori Kreativiti dan Realiti Imaginasi Dalam Penghasilan Novel, Permasalahan dan Kekangan Dalam Proses Penghasilan Novel, Pengalaman Dalam Penerapan Teknik Pengkaryaan dan Sesi Bersama Tetamu Jemputan (Bersama Prof Dr. Muhd Kamil iaitu penulis buku Travelogue Haji). Jelas sekali bengkel ini menyimpan hasrat untuk melahirkan bakat-bakat baharu menulis novel juga menganyam bebenang niat untuk menggilap bakat-bakat lama untuk menghasilkan lagi karya-karya yang berjejak dan bernyawa. Karya-karya yang bakal dizahirkan mungkin suatu hari nanti menjadi warisan yang mewakili suara dan rasa warga yang enak menghirup udara kebebasan di bumi yang merdeka. Oleh itu, dipohon agar saat itu dimanfaatkan sebaiknya agar segala usaha yang digembleng tidak sesia sebaliknya melahirkan 'mutiara' di tebing muara Sungai Muar yang sarat mengendung sirah dan peristiwa. Sesungguhnya saya masih haus meskipun sejenak tadi baru saja meneguk nikmat di telaga seni.

2 comments:

Unknown said...

salam..wa..colourfull dan menarik sungguh blog en. ainul..dari nukilan en ainul..mesti dh byk pengalaman kerana bahasa2 yg digunakan sungguh puitis..semoga kita sama2 bakal menghasilkan karya yg bermutu setelah menghadiri bengkel penulisan ini..wassalam..

Ilham Ainol said...

terima kasih kerna sudi singgah.banyak yang perlu saya belajar sebelum menjadi penyair yang baik.sama-samalah kita berusaha dan teruskan menulis..