

Acapkali saya diajukan soalan lazim seperti bagaimana saya boleh bersekolah di sekolah cina? Mula-mulanya terjahan soalan sebegitu memegunkan dan sesekali menyenakkan; kekadang membosankan dan kekadang terbit sinar kejengkelan apa hak mereka mengemukakan soalan tersebut. Adakah mereka kagum melihat kejayaan saya(mungkin mereka kagum dengan keazaman saya hingga membuahkan hasil); atau adakah mereka kurang yakin(sudah tentu bukan dengan saya); atau mungkin sekadar bertanya soalan kosong sahaja. Jawapan kilas beralas saya adalah segala-galanya ditentukan oleh Yang Maha Esa dan diwarnai oleh bapa saya yang bervisi dan berisi. Sudah pasti pendidikan awal anak-anak banyak diwarnai dan dilatari oleh kedua-dua orang tua dan alam sekeliling. Ia dilanjutkan kepada sekolah rendah dan seterusnya melangkah ke tangga menara gading. Hati puas seandainya berpeluang menjejakkan kaki di tangga menara gading di tanah air sendiri; barangkali lebih bertuah dan ‘bermegah’ seandainya berpeluang ke luar negara menghirup angin pengalaman yang berbeza, berpelbagai warna dan rasa. Harapan seorang bapa yang menggantungkan seribu pengharapan ke bahu anaknya untuk menimba seberapa banyak telaga pengalaman; menghirup seberapa banyak rasa dan aroma di cangkir kehidupan; dan mengutip seberapa banyak kejayaan di hari mendatang dan meluaskan ufuk minda serta mempertajam pemerhatian agar akhirnya kita langsung dewasa di dalam bahtera kehidupan dan profesion yang diceburi. Saya tidak kisah seandainya jawapan itu bakal mengundang kemusykilan atau kurang menyakinkan. Yang pasti, saya sudah bersedia memberikan penjelasan yang berterus-terang dan penuh keyakinan. Usia juga yang banyak mendewasakan kita. Usia juga yang mengajar kita berwaras dan berkira-kira sentiasa agar tindakan kita bisa menjadi teladan yang berkesan dan membahagiakan.