Monday, August 10, 2009

Sinar Hijau Di celahan Bilah Atap


Semilir lewat menghantar sebuah perkhabaran ke kotak benak
Wilayah ini diasak dari segenap penjuru semak
Malam pula menyaksikan sebuah kebangkitan tsunami liberalisme
Menjungkirbalik jasad kebiasaan bernuansa tradisionalisme
Gerakan halus selicik virus membaham kulit-kulit konservatif-fundamentalisme
Merayap ke seluruh urat saraf kehidupan senada
Sebuah kemara(h)an yang sulit diubati oleh ribuan tangan-tangan lama

Gerakan hijau ini perlu dipimpin diwarasi sesaksamanya
Landasan disediakan moga kegelinciran kaedah dan akidah kejap dielakkan
Mengnyahkan bibit kesangsian demi menjambatani sebuah kesetiakawanan
Mencipta kehangatan kemesraan berkekalan
Menghulurkan dulang kuasa kepada mereka sehemahnya
Secangkir perkongsian yang beroma ketulusan dan kasih-sayang
Pasti membasahi kerongkong ketidakpuasan hati mereda arus penentangan
Demi menghalatujukan tenaga hijau ke mercu kejayaan
Sebelum “the other” menyusup merasuk ruang kekosongan
Sigap meruntuh sebuah peradaban yang sedia singkat
Agar leluhur dan generasi mendatang dicucuri rahmat.

Ilham Ainol
Segamat, Johor
27 Mac 2009
p.s : Sajak ini telah diterbitkan dalam Dewan Sastera Edisi Julai 2009.

2 comments:

Ahmad Nawawi said...

Tahniah Ainol... kebangkitan seorang sasterawan baru dari uitmj..

Ilham Ainol said...

Salam ziarah ustaz,

Terima kasih. sasterawan? baru menulis udah digelar seenaknya,mungkin masih pucuk dan hijau.tunggulah 10 tahun lagi...hehe..