para pelajar bersesak di pintu dewan ST,di luar gebar langit terkuak, titisan hujan santak membasahi bumi; di dalam pula pundak penonton bakal diguyuri titisan seni, dinginnya menyegar ke dasar hati...
batik lepas ditayang menghantar makna tirai pementasan dilabuh,dan ditandai dengan nafas tradisi yang mesti diwarisi, dimartabatkan dan diagungkan...
peran utama digalas oleh Abu Bakar dan Hana; memikul beban menyampaikan pesan dalam dialog yang lancar diucapkan; bukan dijajah atau terjajah oleh 'kuasa' cinta agung,tetapi menterjemah cinta ke laras yang paling mulia dan abadi, yakni cinta kepada-Nya,kepada bahasa dan bangsa.
barisan pelakon sokongan yang serasi menghulurkan sokongan dan peduli; gerak tari memekar berseri; aksi bersahaja mencuit hati; bukan sekadar berbasa-basi; sokongan padu menyimpul erat isi dan inti seni. Syabas kalian! Kami sempat menyaring sari bererti.
Pn Rahimah Muda, penulis skrip teater TLT bersedia melayani pertanyaan pelajar yang rata-rata berisi. Beliau jelas teruja dan terkesan. Syabas Pn Rahimah! Kami akan menantikan buah tanganmu tahun depan di wilayah ini...
Pn Hjh Nor Hashimah Ali,Pengarah DBPWS sudi menerima cenderahati. Tanpa sokongan dan dukungan beliau teater TLT tidak mungkin menjadi realiti. Terima kasih Pn Hjh ! Tahun depan kita berkolaborasi lagi...
Sokongan padu Tn Rusdi dari DBPWS juga telah melincirkan pengurusan teater ini. Kami seronok mendapat peluang keemasan ini, dan ia bakal menjadi pendorong untuk kami menyusun rencana untuk masa depan. Sekalung tahniah Tuan!
Tenaga penggerak teater TLT ceria bergambar. Meskipun jasad dilekiti keringat,penat pula liat melekat namun mereka puas dan berbangga kerna hasilnya cukup HEBAT!
Ahli PBM yang bertungkus lumus memastikan teater berjalan lancar. Dari mula hingga ke akhir persembahan, mereka setia melunasi amanah yang terpikul di jemala. Usaha kalian saya hargai. Percayalah, kamu semua HEBAT!
2 comments:
Tuan Ainol,
Saya secara peribadi amat bangga dengan kesungguhan Tuan dan urus setia dalam menganjurkan pementasan TLT ini.
Sememangnya jika ada ruang dan peluang (kewangan dan petugas) pada masa hadapan pasti boleh dibikinkan lagi di UiTM Johor ya...
Tahniah buat Tuan dan angkatan Persatuan Bahasa Mandarin dalam menjayakan pementasan ini.
Tuan Rusdi,
Syukur Tuhan kerna mengizinkan kita bekerjasama.Meskipun terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan dalam penganjuran teater ini,namun saya rasa seronok dapat 'menjambatani jaringan'ini selaras dengan aspirasi universiti bagi menyediakan peluang dan ruang langsung kepada siswa/siswi menimba pengalaman. Mereka juga dapat mengasah bakat kepimpinan dan menguji kemahiran pengurusan organisasi yang sarat cabaran dan halangan. Yang penting, mereka rata-rata telah memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh dan padu. Syabas kepada mereka! Saya sentiasa menghargai sumbangan mereka dan berbangga dengan pengorbanan grup teater dan DBPWS. Tahniah!
(PM Abdullah,Timbalan Pengarah HEP dan Alumni UiTM Johor juga mengucapkan tahniah dan menyokong (secara lisan) seandainya pihak PBM berhasrat untuk menganjurkannya lagi pada tahun depan. Terima kasih PM Dolah!)
Post a Comment