Tanpa semena-mena benak saya kembali menuju lawang kenang yang geli tergeliat saat jemari rindu mengetuk. Sesayap kenang yang terhimpun di kamar itu bergentayangan. Sebatian nostalgia yang memekat mulai meluluh membentuk indah.
Ninda termanggu sepi di anjung sisi rumah besar pusaka di perut kampung. Kesepian itu menyenak lebih 40 tahun lalu bila Almarhum suaminya tetiba rebah di kebun getah. Mereka sedang tekun menoreh demi sesuap rezeki. Ninda ditinggalkan dengan 10 anak untuk dibesarkan sendirian.
Nenek Itam sedang bersantaian di kaki tangga sambil melontarkan pandangan jauh ke jalan besar. Kelibatku yang samar-samar menuju ke arahnya mulai mencuri tumpuannya. Nenek Itam menggelip-ngelipkan matanya. Saat basikalku berhenti di kaki tangga anjung sisi itu barulah dia mengecam wajahku. Cucunya pulang bercuti menziarah keluarga dan sanak-saudara. Memekar kuntuman rasa di ujana kalbunya.
Senyumannya memercup dan tulus. Salam disambut mesra dan tangannya yang berkedut seribu itu kukucup sepenuh syukur. Sesungguhnya DIA Maha Mengasihi dan Maha Besar. Kerna masih meminjamkan ninda kepada kami meski kaki usianya semakin menginjak ke angka 90.
Kami berbasi basa. Seperti biasa ninda akan bergurau dan mengajukan soalan cepu emas.
“Neniek ko dah lopeh megorik,sikik la e nak masuok waktu isyak. Waang bilo la e nak menikah?” Usai menyudahkan ayat; maka berderaianlah kantung ketawa. Namun secara melucu dan nakal saya membalas usikan ninda pula,” Nenek ajo la yang kawin.”
Hahahahaha…
Setelah 17 tahun ninda ke wilayah abadi, saya masih merinduinya. Al-Fatihah untuk Ninda Itam yang teramat disayangi.
4 comments:
laoshi,,,sometime nostalgia2 seperti itu akan mengamit memori kita..
sebenarnya kenangan indah begini menyebabkan hidup kita lebih sempurna dan bermakna, kita tidak perlu memusatkan atau melayani kisah pahit maung yang pernah tertimpa;jadikan ia sempadan dan bakal mendewasakan kita.xiexie ni lai kan wo...
takziah atas pemergiannya
Assalamualaikum ustaz,
Terima kasih sudi singgah dan membaca coretan saya. Memang arwah sentiasa dikenangi dan dikasihi.Tok Itam adalah bonda kepada ayahanda saya.
Saya masih mempunyai seorang atuk (perempuan)iaitu Tok Putih yang masih hidup. Tok Putih adalah ibu tiri kepada bonda saya. Beliau membela bonda saya semenjak usia bonda saya berusia 4 tahun.
Meskipun usia beliau udah menjangkau 82 tahun, dan sekarang didera hipertensi namun beliau amat kuat semangat dan sering mendoakan yang terbaik untuk anak-anak dan cucu-cicit beliau. Insya-Allah, raya nanti saya akan menemui beliau di teratak beliau
di ujung Kampung Serkai Jadi,Tronoh.
Saya sering bersyukur kerna DIA masih meminjamkan kesempatan untuk bertemu dan bermesra dengan beliau. Tok Putih saya tu anak cina yang dibesarkan oleh keluarga melayu/moyang Isa.
Begitulah kehendak-Nya....
Post a Comment