Thursday, July 8, 2010

Tentang Bengkel,Kg Mukut dan Pulau Tioman

sempat menziarah SK Kg Mukut untuk menyerahkan sumbangan buku;
kebetulan anak-anak murid sedang berhimpun di dewan untuk acara perpisahan cikgu shahir yang bakal berpindah ke menanjung setelah 4 tahun menabur bakti di sana



Gunung Nenek Semukut berseri penuh misteri disinari mentari pagi



Peta lakaran pengunjung asing khusus buat Kg Mukut,Pulau Tioman
(Gambar ihsan PM Ahmad dan Prof SZI)

Bengkel Penulisan Kreatif Siri Ke-4 yang diluncurkan di Kg Mukut,Pulau Tioman telah melabuhkan tirainya pada tengah hari 24 Jun 2010 lepas. 3 hari para peserta bengkel telah diguyuri titisan ilmu bahasa Melayu dan diusapi embun sastera serta terkatarsis geluk rasa lewat dicumbui bayu laut yang bergelora,sesekali dibasahi percikan ombak yang menghempas kejam pantai Kg Mukut dan jeti batu yang dicat putih.

Kala bersantai pada waktu petang,ada yang berkeputusan ke jeram yang terletak tidak jauh dari chalet- puas merendamkan tubuh yang santak diderai rutin seharian di kantor; ada yang gemar mengutip sisa batu karang yang terdampar di dada pantai; dan ada yang hanya menghirup secangkir kopi di anjung kafe sambil menikmati pemandangan laut.
Ah, indah sekali!

Selain berbengkel memurnikan karya,kami juga berkesempatan membaca puisi sambil menikmati pauh yang bertaburan di kaki pokok seputar premis chalet. Yang agak lasak telah ke Air Terjun Kg Juara untuk merasai keindahan dan kedinginan airnya. Yang berminat memancing pula tidak melepaskan peluang untuk melontarkan joran di hujung jeti.

Kami sempat juga mengunjungi Kg Tekek dan Taman Laut Tioman. Di situ terbina sebuah teluk marina yang mengasyikkan kala menyaksikan bot-bot mewah dan feri keluar masuk; manakala di darat pula terdapat kedai bebas cukai tetapi yang berjaya mencuri tumpuan adalah pokok-pokok ru di sepanjang jalan ke kedai tersebut telah dihuni oleh kelelawar. Jeritan dan keriuhan yang terhasil oleh warga yang selesa bergayut terbalik itu amat meralitkan; juga menghairankan. Kenapa 'mereka' berkampung di tengah-tengah kesibukan wilayah yang dihuni oleh manusia?

Di Taman laut Tioman pula tersergam indah Muzium Laut yang menghimpunkan seringkas mungkin namun padat dengan maklumat tentang kelautan dan hidupan kesamuderaan. Di Taman laut yang cetek pula terhimpun ikan-ikan yang jinak dan senang menunggu 'sogokan' makanan daripada para pengunjung. Mereka bebas berenang di sisi perenang dan penikmat alam laut dan hidupan laut yang tidak mungkin dinikmati di menanjung.

Yang paling bermakna adalah kunjungan kami ke SK Kg Mukut untuk menyerahkan buku-buku sumbangan warga UiTM dan para pembimbing bengkel. Kami juga sempat mengucapkan Selamat jalan kepada cikgu Shahir yang akan berpindah ke Cheras pada keesokan harinya. Terlukis garis-garis kesedihan di durja anak-anak murid yang bakal ditinggalkan. Selamat maju jaya cikgu! Kami doakan moga anak-anak murid SK Kg Mukut semakin bijak dan berjaya!

No comments: