Friday, April 27, 2012

Jom Borak Buku bersama-sama Marsli NO 20 April 2012


Puaskah anda sekadar menghirup secangkir ‘hampas’ kopi yang ‘pahit’?
Jom Borak Buku Siri 1
Program Jom Borak Buku terilham seusai membaca blog Fadli-Akhiti.  Seorang pengkritik sastera, buku, filem dan novel yang berbakat. Penulis muda ini kini telah diberi kepercayaan untuk mengepalai majalah Dewan Sastera, DBP awal tahun ini.  Sebuah makalah berat dan penting dalam kalangan pencinta dan pengamal bahasa Melayu tanah air yang kini secara berani diberi suntikan baharu.  Dengan harapan, DS bakal sentiasa ‘memekarkan’ kelopak pertengkaran ilmiah yang terarah untuk mengangkat martabat bangsa di samping memperkasa jati diri bangsa Melayu dan meluaskan fakulti pemikiran dan taakulan penulis-penulis tempatan, yang bukan secara melulu dan tanpa segan meminjam langsung kerangka teori dan kaedah barat untuk mentelaah karya tempatan.



JBB Siri 1 telah menampilkan Marsli NO sebagai pembicara pertama dalam sesi bual bicara, yang diadakan dalam iklim santai.  Marsli NO telah berkecimpung lebih daripada 42 tahun dalam dunia sastera tanah air sejak beliau berusia 13 tahun lagi.  Seperti biasa, kalau kita hendak mengkaji gaya dan tabiat penulisan seseorang penulis, kita perlu melihat dan menyelongkar rak-rak buku yang pernah dibaca, ‘dikunyah’, ‘ditelan’ dan ‘diakrabi’ sepenuh ghairah oleh penulis tersebut.
Buku-buku yang dibaca oleh saudara Marsli NO telah diperkenalkan kepada peserta satu-persatu.  Mungkin setelah mereka mengenali buku-buku tersebut, ia bakal membibit minat para peserta untuk mentelaahnya di kala sengang.
Pada awal karier beliau sebagai penulis, beliau telah terserempak dengan buku-buku seperti ‘Atheis’, karya Akhadiat K. Mihardja.  ‘Pertentangan’, nukilan S.Othman Kelantan, ‘Nyanyi Sunyi’, tulisan Amir Hamzah, ‘Di bawah Lindungan Kaabah’, hasil karya Pak Hamka, ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, sentuhan Shahnon Ahmad, ‘Salina’ dan cerpen ‘Longkang”, karya ilham SN A.Samad Said dan berpulu-puluh buku lain  yang pernah menjadi santapan jiwa dan panduan kepada seorang penulis yang memakai nama pena Marsli NO ini.  Bila salah seorang peserta bertanya tentang ilham di sebalik nama samaran tersebut, beliau menjawab : Biarlah rahsia!. Nama sebenar beliau ialah Ramli bin Selamat, diputerakan di sebuah daerah di Terengganu dan kini menetap di Kuantan, Pahang.
Beliau menggelarkan diri sebagai penulis dari golongan ‘marhaen’.  Rasa rendah diri dan kekurangan pendidikan secara formal telah membentuk perwatakan beliau yang senyap ‘melawan’, memberontak andai wayang ‘hipokrasi’ dimainkan oleh para pemimpin yang ‘cakap tak serupa bikin’ dan hanya berpuisi dalam majlis-majlis rasmi yang palsu dan menjengkelkan beliau.
Bagi Marsli NO, puisi dan sastera perlu mendarahdaging dan dipersubur dalam segenap tindakan dan dijadikan pegangan dan panduan agar penguasa atau pemimpin masyarakat yang diangkat melalui peti undi atau penjawat awam yang tugas dan tanggungjawabnya untuk mempersegar dan memupuk perasaan cintakan sastera bangsa tidak berlaku jujur, dan gigih melaksanakan amanah yang digalas.  Bukannya menjadikan program yang berbasi-basa dan klise serta memualkan untuk menayangkan darjat diri yang tinggi tetapi korup ide dan senteng rasa cinta dan hormat kepada bahasa dan budaya bangsa Melayu itu sendiri.  Makanya, oleh sikap kepalsuan yang berleluasa dan semakin mencambah beliau telah menghasilkan puisi-puisi dan novel seperti Pesan Pada Angin, Politikus, Anjing, dan Babi, dan Negeri mabuk.
Sarana sosial sinis yang pekat dan perasaan meluat beliau kepada pihak-pihak berwewenang yang bobrok telah ditelanjangbulatkan di depan khalayak pembaca agar para pembaca dan pencinta sastera bangsa bisa menjadikan ia sempadan dan ‘dosa’ andai ia dibiarkan berleluasa tanpa dibanteras sekeras-kerasnya.
Seorang penulis perlu membaca dan ‘membaca’ seberapa banyak buku atau ‘peristiwa’ yang berlaku di seputar hayat kita.  Isu-isu yang menyangkut kepentingan bahasa dan masa depan bangsa Melayu perlu dipertahan dan dikembangluaskan agar bahasa Melayu sentiasa perkasa dan bermaruah serta dinamik.  Banyak usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan usaha ini sentiasa berhasil dan mencapai puncak ranumnya setelah banyak karya-karya agung dunia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Korea, Rusia, Inggeris, Portugis dan Jerman.  Karya-karya rentas sempadan kemanusiaan dan kebenaran serta mengangkat martabat bahasa Melayu di persada ilmiah dan komunikasi antara bangsa-bangsa dunia perlu dilakukan tanpa kenal erti lelah dan kalah. 
Bangsa yang cintakan bahasanya sendiri adalah bangsa yang maju dan bervisi serta bakal melangsungkan hayat dan nafas bahasa yang semakin digigit bayu global yang dingin membeku. Makanya bahasa kita hendaklah sentiasa diperhangat dan digelorakan agar kehangatan dan geloranya dirasai dan diakui kepentingan dan kesan pengaruhnya kepada bangsa itu sendiri demi menyaingi dan menseimbangkan perkembangan bahasa Inggeris yang kian pesat dan maju dalam segala aspek kehidupan. Bangsa kita perlulah sentiasa secara sedar berusaha untuk melekangkan diri daripada menjadi ‘span’ yang berperanan ‘meresap’ dan ‘menyaring’ segala sampah dan penemuan mutakhir dalam perkembangan IT dan gajet IT yang merebak bagai barah yang berdikit-dikit menghakis peranan bahasa ibunda kita.  Kita perlu secara sedar dan insaf agar tidak terjerumus ke dalam kancah yang sentiasa ‘memerangkap’ kita agar ‘tunduk’ kepada keadaan demi memberi laluan kepada ‘elemen asing’ atau ‘sekadar memberi alasan ‘menghormati’ pendengar-pendengar asing, yang mana peranan dan kepentingan bangsa kita boleh ditolakketepikan seenteng dan seenak mencicip secangkir kopi pahit di kafe sisi.
Aneh bukan? Kita menghirup secangkir atau mungkin berteko-teko ‘kopi’ pahit hanya untuk menapis hampas dan rasa ‘puas’ yang singkat tanpa secalit singnifikan.  Renung-renungkanlah!

Monday, April 23, 2012

Kursus Pemantapan Kualiti di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 13-15 April 2012

di kejauhan di kelopak awan di pantai Tanjung Balau pada pagi 15 April 2012, mentari pagi siap siaga meminjamkan cahaya untuk menyalakan obor-obor alam. ombak rindu beralun malas saat menggumuli air surut, batu-batu pantai persis sirip naga memecah ombak syahdu.

inap desa di Kampung Nelayan menanti pengunjung kota yang lelah, atau warga penjoran yang teruja ke tengah laut dalam menawan ebek, marlin, tenggiri atau jenahak.

titi yang memanjang ke laut setia menurunkan atau menaikkan pengguna atau nelayan.

bot-bot yang tersadai kala air surut, sedia menunggu kitaran seterusnya untuk dilambung ombak membelah laut.begitulah putaran kehidupan!

mentari pagi tersenyum di balik batu-batu pantai yang beraneka bentuk dan rupa. berlubang-lubang di badangnya, tajam di sisinya dan beraneka warna, setelah kesekian lama dimesrai air laut.


indahnya! sukar 'menangkapnya' dengan susunan kata yang terbatas maksudnya, makanya rasailah sendiri akan 'keindahan' dan 'keanehannya'.






Muzium Nelayan yang berjarak 200 meter dari pintu besar Pelangi Balau Resort setia menanti kunjungan para tetamu. menghimpunkan sejarah tempatan, kisah nelayan, peralatan ke laut - kolek, sekoci, bedar, licang, sampan, perahu, jala, bumbu, terendak, kail, kapal karam, artifak lama dll. ukiran di ulu dan burit bedar juga tinggi nilai seni ukirannya.



belangkas masak bercabai- enak rasanya, isinya yang sedikit, kenyal dan rasanya seperti isi ketam, telurnya pula rasa telur ikan dan di penjuru rasa pahit-pahit lemak...kalau teringin, pesanlah awal-awal dengan pihak resort...

Wednesday, March 14, 2012

Hujan...

Hujan yang turun bagaikan mutiara
berkilau bersinar berkerdipan
subur menghijau bumi terbentang
dan bayu berpuput lembut

cinta yang bersemi di waktu hujan turun
menyirami ketandusan hati
kau datang dan kau pergi jua
rindu lagi...

saat mendengar bait-bait lagu yang dilantunkan oleh gemulah Sudirman maka terasa pipi kenangan turut membasah. di sudut kenangan seolah-olah memainkan perca-perca filem yang dibintangi gemulah. suara dan tawa riang gemulah seolah-olah selsema yang berjangkit, kekadang suaranya yang syahdu saat menghayati lagu Salam Terakhir sesungguhnya mampu menyiat hati kita. kerana apa? mungkin kerana kita pernah melaluinya. ia persis hujan sama ada membasah atau membawa bah dan musibah.

berita kematian adik Nurul Nazirah teramat sukar dihazami dan dimengerti oleh akal yang waras. hanya mereka yang tergelincir dari terjal kewarasan kerna membiarkan api amarah dan dendam merasuk sepuas-puasnya.

akhirnya berlakulah lagi sebuah tragedi, dan seusai itu ramailah penilik, peramal dan pengkritik yang tampil memberikan pandangan dan kritikan, ada yang sanggup mencurah garam ke luka yang dalam yang dialami kedua-dua ibubapa si mangsa.

enakkan? mudah saja kan kita menjatuhkan hukuman? saya hanya mampu meminjam kehadiran sang hujan untuk sama-sama menitiskan air mata. hujan rahmat yang diguyuri-Nya ke jasad bumi yang 'ketandusan' erti kasih dan sayang sesama manusia.

segugus doa yang termampu dipanjarkan kepada si mangsa moga berbahagia menuju Negeri abadi. diharapkan ibubapanya bersabar dan tabah mengharungi dugaan yang teramat dahsyat ini. Al-Fatihah.

Tuesday, February 14, 2012

Sajak: Doa Tertangguh Sekeping Roh

Sajak ini telah muncul dalam Buletin Jendela Selatan Edisi Disember 2011 terbitan DBPWS


Doa Tertangguh Sekeping Roh  

Aku tidak tahu mengeja
Kerna tidak diajari alif ba ta
Aku tidak mampu berkata-kata
Kerna lidah belum dibasahi bahasa ibunda
Aku tidak pandai mengarang doa
Kerna tidak sempat ditunjukinya
Aku hanya terdaya menangis menagih simpati
Kerna belum sempat mengerti
Kenyataan yang teramat ngeri 

Namun kutitip jua doa kudus buat ibubapaku
Kerna DIA dan para malaikat pernah membisik ke cupingku
Lalu kupanjarkan syukur sesempurnanya
Meski pun mereka pernah tergamak mencabulnya
Moga ibubapaku sejahtera bahagia dan diampuni-Nya 

Kini kutunggu mereka di pintu syurga setaatnya
Untuk kucium harum tangan mereka
Memeluk mesra hangat jasad mereka
Kerna melalui mereka aku tercipta
Kuakan buat semampunya
Demi memohon sejagat raya taufik dan keampunan-Nya 

Ainol Hasanal B Jalaluddin
PPJ Segamat
5 Mei 2010 

Sinopsis:
Belakangan ini kes-kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak sehingga membawa maut telah menggoncang hati nurani segenap lapisan rakyat.  Perkara yang amat menyayat hati berlaku hasil daripada keserakahan dan keruntuhan akhlak anak-anak muda kita dewasa ini.  Kasihan bayi atau kanak-kanak yang tidak berdosa telah menjadi mangsa.  Mereka dibuang persis sampah di surau, perhentian bas awam dan dalam semak.  Yang malang dijerut sehingga mati sebelum disumbat ke dalam mangkuk tandas atau longkang; dan ada yang dibiarkan sendirian dihurungi semut dan lalat sehingga menemui ajal. 
Sajak ini cuba memberi suara kepada bayi-bayi yang malang ini.  Di alam barzakh ini, mereka tidak diajar mengeji,mengecam dan membenci ibubapa kandung mereka.  Akan tetapi mereka dengan penuh kasih-sayang sedaya upaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan ibubapa mereka di dunia di samping memohon kepada Tuhan moga diampunkan dosa-dosa ibubapa dan mengharapkan agar Tuhan melorongkan mereka ke jalan taubat dan akhirnya menerima taubat mereka.  Bayi-bayi ini berjanji dengan penuh gembira untuk setia menanti ibubapa mereka di pintu syurga demi mencipta pertemuan yang abadi.

Wednesday, January 11, 2012

Kenapa menulis?

hijau yang mendamaikan jua mengilhamkan

Saya menulis kerana saya suka menulis. Topik yang ditulis santai dan pelbagai. Idea menulis datang pada saat-saat yang aneh dan kekadang idea itu langsung tidak tumbuh. Andai itu berlaku, saya lebih suka membaca atau memerhati alam untuk memungkinkan idea-idea baharu terilham untuk dizahirkan.

Kita tahu, SN A. Samad Said menulis kerna ingin merakamkan sedapat-dapatnya dan setepat-tepatnya zaman pedih yang dilaluinya. Zaman peperangan, pergolakan sosial dan politik amat menggugah perhatiannya. Pendokumentasian bernuansa kreatif dan imaginatif sebegini bakal menghibur dan menginsafkan selain beliau cuba mencari kejernihan daripada suasana yang keruh dan kelabu.

Manakala SN Arenawati pula berkelana jauh ke Malaysia dari Indonesia demi mencari sepicing ruang atau pojok untuk berkongsi wawasan dan harapannya setelah karyanya disisihkan di sana.  Mencari padang lain untuk meragut rumput segar dan mencabar merupakan suatu hijrah yang sukar namun bakal membuahkan hasil andai disertai keazaman yang kental dan usaha mempertingkat ilmu yang gigih.
Penulis novel terkenal Baharuddin Kahar pula menceritakan beliau menulis untuk mencari kejernihan dalam suasana semasa yang kacau.  Isu semasa yang sarat konflik dan kekecohan perlu ditonjolkan lalu dipertemukan kaedah penyelesaian agar isu dan permasalahan yang berlaku tidak berlarutan. Penulis memikul beban bersama-sama pemerintah dan pemimpin sedaya upaya mencari penyelesaian kepada permasalahan dan kebejatan yang semakin menular.  Ia juga bertujuan menyerahkan baton yang bersih dan bermanfaat kepada generasi muda untuk meraih seberapa banyak kejayaan dan kecemerlangan.

Monday, January 2, 2012

Ujana 2012

gambar diambil dari Berita Harian 2 Jan 2012

langit dicahayai gemilang percikan api
diselang-seli dengan dentuman ngeri
begitulah latar ujanamu
yang bakal bersilih tanpa jemu
tiga ratus enam puluh hari hayatmu
menyaksikan hujan menyuburkan tanaman
mendung yang menenangkan
mentari yang terik bergelora
sinau harapan bercempera
bebilah masa berguguran
dijinaki semilir mengimbau
kekadang badai mengacau
seusai badai ujanamu terus aman
dan nyaman menganyam harapan
panjarkan doa dan nafas kesyukuran
nikmat menghuni di ujana pinjaman-Nya



Wednesday, November 23, 2011

Kenangan 'Badai Semalam'

Perasaan usai menonton teater Badai Semalam karya Khadijah Hashim berbaur tapi menghiburkan.  Karya KH yang segar menghangatkan rak-rak buku lewat dekad 70-an, dan berjaya 'mengghairahkan' rasa cinta insan yang masyuk bercinta. Bersandarkan cita-cita, cinta dan pengharapan, maka BS telah mengangkat darjat seorang perempuan ke tahap yang terkedepan sarat pengharapan.  Mazni, peran utama BS yang menyalakan sumbu harapan ibu agar berjaya dalam lapangan hidup melalui kejayaan yang diraih dalam pelajaran. Ibu Mazni penuh yakin bahawa masa hadapan yang cerah terletak kepada kejayaan Mazni menjejakkan kaki di tangga menara gading.  Ibunya tidak mahu Mazni mengikut jejak langkahnya bekerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga Encik Haris sehingga penjuru hayat. Namun, gendala dan cabaran yang terrentang mampu melemahkan, memesongkan atau menggagalkan cita-cita Mazni. Halangan yang dihamparkan seperti fitnah, bujukan dan kutukan Pn Mahani; cinta terlarang Mazni dengan Karim; juga kehadiran Zaki sebagai pelerai masalah dan dalam masa yang sama menjadi racun kepada perhubungan Mazni dan Karim- semuanya menjadi cabaran yang maha hebat bagi seorang anak gadis berusia lewat belasan tahun. BS diakhiri dengan suntikan cahaya pengharapan yang terang buat Mazni dan juga pengharapan yang dipromosihebatkan khusus buat kaum wanita di sebelah timur ini.  Mazni akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading sehingga tertunailah hasrat dan pengharapan seorang ibu kepada anak tunggalnya. Maka segala cabaran dan airmata yang tertumpah hanya salah satu episod dalam kehidupan Mazni mungkin juga kepada semua kaum wanita di luar sana!

 
 
 
 
bersama-sama Datuk Shuhaimi Baba-pengarah Puntianak Harum Sundal Malam,
Hati Malaya, Ringgit Kasorga dll
Zarikh dan Erma Fatimah
sesi autograf bersama-sama Erra, Umi Aida, Fizz dan Aeron